MUJAHADAH DALAM ILMU
4 FEBRUARI 2010

Alhamdulillahi rabbil 'alamin..hari ini saya berkesempatan mem'post' entri ke-3 bagi tahun 2010. Dalam tempoh 4 hari sebelum hari ini, saya melalui fasa-fasa yang menguji hati dan kesabaran saya. Ketenangan seolah-olah hilang dari hidup saya. Macam-macam yang terkeluar di fikiran, antaranya teringat keadaan keluarga di rumah. Melihat adik-adik kesayangan membesar di depan mata dan melihat ummi dan ayah keluar rumah seharian mencari rezeki  walaupun hanya dalam tempoh 10 hari meruntun rasa hiba di hati saya.
adik-adik kesayangan: widad (darjah 1), uda (darjah 4), nadia (darjah 2)

Kini hanya tinggal mereka bertiga dari 10 orang adik-beradik bersama-sama ayah dan umi. Melalui proses pembesaran dan pembelajaran tanpa kehadiran kakak-kakak dan abang-abang yang menuntut ilmu jauh dari rumah. Pening kepala juga melayan kerenah mereka yang macam-macam ragam bilamana kakak sulung yang jarang-jarang pulang ini ada di rumah. Ummi dan ayah pula kembali menjadi ibu bapa muda dengan 3 orang anak gadis yang masih kecil. Tersenyum saya sendirian bila mengingatkan.

Sekadar selingan mengenai keluarga saya. Apa yang saya ingin kongsikan di sini adalah mengenai mujahadah menuntut ilmu. Ummi dan ayah saya seorang yang sangat bermujahadah dalam melakukan sesuatu perkara lebih-lebih lagi untuk kepentingan kami anak-anak. Ummi sangat mujahadah dan komited dengan tugasnya dalam mendidik anak bangsa, mencurahkan ilmu sebagai seorang guru, apatah lagi dalam mencari rezeki buat kami semua. Begitu juga dengan ayah, meskipun memiliki perniagaan sendiri yang masih bertatih, namun usahanya memajukan perniagaan sangat saya kagumi sehingga sanggup turun ke Kuala Lumpur setiap bulan meninggalkan ummi dan adik-adik. Ayah juga sangat mujahadah dalam menuntut ilmu. Walaupun usianya mencecah 40-an, namun halaqah usrah mingguan bersama-sama sahabatnya tidak pernah di abaikan. Dia seorang yang mengutamakan tarbiah dalam diri. Begitulah yang ditekankan kepada kami anak-anak mereka.

2 hari yang lepas, saya telah menerima markah bagi ujian midterm. Meskipun ia hanya sekadar 'carry mark' dan latihan untuk menghadapi exam akhir nanti, satu perkara telah saya perolehi dari pensyarah yang mengajar subjek tersebut. Iaitu tentang adab kita dalam menuntut ilmu lebih-lebih lagi subjek yang kami pelajari, Akidah. Ada di kalangan kami yang gagal mendapat keputusan yang baik dan ada yang mendapat keputusan yang baik. Masing-masing diberikan rezeki. Pensyarah tersebut menegaskan tentang pentingnya mujahadah dalam menuntut ilmu bukan sahaja belajar untuk peperiksaan tetapi belajar untuk memahami hakikat Islam yang sebenar dan mengenali siapa Pencipta sekalian alam. Contohnya, kita telah belajar tentang tauhid Allah ( Rububiyyah, Uluhiyyah, Asma' wa Sifat) sejak di bangku sekolah lagi samada di zaman sekolah rendah atau sekolah menengah. Namun apabila berada di peringkat ijazah, masih tidak mampu untuk menghuraikan dengan baik apa yang dimaksudkan dengan tiga tauhid tersebut. Sesuatu yang sangat menyedihkan bilamana kita yang mengaku sebagai islam dan beriman dengan Allah tidak dapat menerangkan dengan baik tentang perkara-perkara asas ini.  Sebagai muhasabah kita bersama jika kita hanya berorientasikan peperiksaan semata-mata dalam menuntut ilmu, maka ilmu tersebut hanya terhenti setakat peperiksaan sahaja dan tidak dapat di bawa ke mana-mana.

Kesan dari teguran pensyarah tersebut yang sangat menyentuh hati mengenai penggunaan ayat al-Quran yang tersilap ejaan dan tertinggal perkataan betul-betul membuatkan saya terfikir kembali peranan sebagai hamlatul Quran dan insan yang belajar di bidang agama meskipun kesilapan tersebut kadang-kadang terlepas pandang tetapi bagaimana dengan sahabat-sahabat kita yang kurang cakna dengan perkara besar seperti ini? Itulah pentingnya kita dalam belajar ini mesti kerana Allah, bukan kerana peperiksaan dan mak ayah semata-mata. Pentingnya kita bermujahadah dalam pencarian ilmu Allah yang sangat luas dan semoga semakin mendalam ilmu kita, semakin tinggi keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Saya harus bermula semula, membangkitkan suasana ilmu yang kian pupus dalam kalangan sahabat-sahabat saya setelah sekian lama saya agak menyepi dengan 'dunia saya sendiri'. Dan saya mengaku kesilapan yang telah saya lakukan ini, kerana berada di dunia sendiri ibarat seekor kambing yang terlepas dari kumpulannya dan bakal menjadi mangsa habuan serigala. Semoga saya istiqamah dengan apa yang disampaikan kerana saya takut untuk tergolong dalam kalangan mereka yang berkata tetapi tidak melakukan.Nauzubillah..

" Wahai orang-orang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?"
( As-Soff : 2 )