TERSENTAP

Kisah 1

Dalam satu diskusi, timbul perbincangan mengenai tahap penguasaan ilmu seseorang individu yang masih menuntut ilmu. Perbincangan berkisar tentang kebolehan seseorang yang belajar di bidang professional dalam menguasai ilmu agama. Perbincangan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan ahli diskusi. Lalu bangunlah seorang lelaki berkata:
Saya lihat dalam kelompok kita yang berkecimpung dalam gerak kerja dakwah nie, berapa ramaikah di kalangan mereka yang mengambil jurusan agama mampu mengadaptasi ilmu yang dipelajari ke dalam gerak kerja dakwah samada dalam bentuk teori atau praktikal. Bahkan, jujur saya katakan, saya melihat mereka yang belajar di jurusan bukan agama lebih hebat ilmu agamanya berbanding dengan mereka ini…”

TERSENTAP hati kecil itu mendengarnya....

Kisah 2

Berlangsung satu program untuk melatih dai’e dalam berhadapan dengan fenomena masyarakat hari ini. Dalam satu slot praktikal, salah seorang peserta telah mengeluarkan satu dalil yang diyakininya di ambil dari ayat al-Quran. Tiba-tiba, kenyataannya disangkal oleh seorang fasilitator yang merupakan penghafaz al-Quran, beliau mengatakan bahawa dalil tersebut bukan dari ayat al-Quran. Maka, terkedu peserta tersebut dengan sangkalan tersebut, lalu terus terdiam. Berkata salah seorang fasilitator yang lain:
Bagaimana nak berdakwah, sedangkan dalil pun tak tahu sumbernya dari mana..??”

Hati itu TERSENTAP lagi....

Kisah 3

Satu sesi pembelajaran subjek tafsir sedang berlangsung. Bertanya pensyarah tersebut kepada para pelajarnya, siapakah yang mengikuti program seminar Qiraat yang diadakan hujung minggu sebelum itu? Semua pelajar terdiam.. lalu pensyarah tersebut berkata:
Bagaimana nak menguasai ilmu al-Quran jika ilmu yang berkait rapat dengannya kita tak ikuti. Banyak pengetahuan kita boleh dapat dari seminar tersebut, lebih-lebih lagi pelajar jurusan al-Qur’an seperti antum ..”

Buat kesekian kalinya, hati kecil itu TERSENTAP lagi....

****

Kisah di atas boleh jadi benar dan boleh jadi rekaan semata-mata. Tapi itulah hakikat fenomena yang berlaku pada hari ini. Sesiapa pun yang mengambil jurusan agama apabila berada di situasi sebagaimana di atas pasti akan berasa TERSENTAP dengan apa yang dikatakan.

Mari kita renung sejenak wahai sahabat-sahabat, bagaimanakah nilaian ilmu yang kita sedang pelajari sekarang ini, saat ini, samada masih di bangku sekolah, atau di alam kampus. Berapa ramai dalam kalangan kita (yang dikatakan bijak kerana boleh menyambung pelajaran), mampu untuk mengaplikasikan ilmu yang diperolehi, ke dalam kehidupan sebenar.

Kita perlu berbalik semula kepada tujuan asal kenapa kita belajar sesuatu ilmu, kenapa kita masuk ke kelas untuk subjek tersebut. Adakah hanya kerana memenuhi tuntutan sebagai pelajar jurusan tersebut atau sebab memang kita mahukan ilmu itu sebagai bekalan kehidupan? Tepuk dada tanyalah diri sendiri…

Jika dilihat, masyarakat pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa mereka memandang kepada nilai sesuatu sijil yang diperolehi, samada adakah dia lepasan diploma, atau ijazah, atau master, atau PhD. Tidak terlepas juga pada pandangan mereka ialah nilaian ilmu yang ada pada golongan yang memegang sijil ini. Bagaimanakah perasaan anda jika anda sebagai lepasan jurusan agama, lalu ditanya kepada kita tentang basic fardhu ain dan fiqh, kita tidak mampu menjawab dengan baik dan yakin. Bagaimanakah perasaan anda sebagai graduan hafiz al-Quran, apabila ditanya kedudukan sesuatu ayat, anda tidak mampu menjadi rujukan tersebut. Begitu juga jurusan kepakaran yang lain, apabila tidak mampu menjawab mengikut kepakaran masing-masing, sudah pastilah ilmu yang dipelajari selama bertahun-tahun dilihat kosong dan sia-sia sahaja.

Maka sedarlah wahai penuntut ilmu sekalian, belum terlambat untuk anda TERSENTAP sekarang kerana kita masih mempunyai masa dan ruang untuk membaiki keadaan ini. Luruskanlah niat dalam menuntut ilmu, moga-moga ilmu yang dipelajari bukan sekadar di buku, tetapi lekat dihati supaya mudah untuk kita keluarkan apabila ia diperolehi. Mohonlah kepada Allah s.w.t supaya ilmu yang kita perolehi sebelum ini, sekarang dan akan datang diberkati. Ingatlah segala penat jerih ibu bapa kita dalam mencari duit untuk menyara pendidikan kita, jangan biarkan peluh mereka yang mengalir sia-sia dengan kita hanya sekadar mnjadi “burung kakak tua” yang tidak memberi manfaat kepada orang lain.

Berterima kasihlah kepada mereka yang pernah membuat anda TERSENTAP, kerana tanpa mereka, kita tidak akan tahu di manakah tahap ilmu dan kedudukan kita pada saat ini. Dan akhirnya, janganlah serik dan cepat puas dalam menuntut ilmu, kerana ilmu Allah ini Maha Luas. FirmanNYA dalam surah al-Kahfi:
katakanlah (Muhammad), ‘seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)’” (18: 109)


Diri yang menulis ini juga sangat berasa rendah diri dengan penguasaan ilmu yang ada. Ramai yang ingin merujuk dan bertanya, tetapi hanya mampu menjawab sekadar yang tahu dan ingat. Moga-moga penulisan ini mampu menjadi muhasabah buat diri ini sendiri khususnya, dan sahabat-sahabat yang lain amnya. Pesanan terakhir:

“ فسألوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون ...“
...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui (16:43)



Al-Faqirah ila Allah,


Ummi..Ayah..Kalian Segalanya
Terjumpa post nie di kala sedang menahan rindu teramat sangat kepada ummi dan ayah..


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia” (Surah Al-Isra’, ayat 23)


Hayati bait-bait puisi ini…

Bila mak kata dia teringat, kita jawab kita sibuk sangat…

Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu…

Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang…

Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum sudah…

Bila hati kita terguris, kita kata… “Mak memang tak pernah faham”

Bila hati kita terhiris, kita kata… “Ayah memang tak ambil kisah”

Tetapi…

Bila hati mak kita pula kita guris, mak kata… “Tak apa, dia masih muda…”

Bila hati ayah kita juga hiris, ayah kata… “Tak mengapa, belum sampai akalnya…”

Bila kita menangis tanda lapar, mak berlari hingga bagai hilang kaki…

Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena…

Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal…

Bila kita pilu kerana kecewa, ayah tetap teguh berkata dia tetap bangga…

                                                                SubhanaALLAH!

Tidakkah engkau masih tidak sedar wahai anak? Berdoalah buat kesejahteraan mereka dunia akhirat setiap solat, BERDOALAH! Pandang mereka dengan kemuliaan kerana itu buat kamu tenang…

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tidak ada seorang pun yang memandang wajah kedua ibu bapanya dengan pandangan penuh kasih sayang kecuali Allah menuliskan (pahala) untuknya oleh sebab pandangannya itu seperti (pahala) haji yang maqbul (diterima) lagi mabrur (berpahala).”

(Hadis riwayat Ar-Rafi’i dengan sanad yang dha’if.)