PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN

PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN (1938-2004) KEPADA PEMUDA DAN PEMUDI

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada ALLAH bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.

Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.
PEMIMPIN PILIHAN ANAK MUDA
Artikel ini ditulis oleh Ni' Nurul Ain Bt Mohd Nor, mahasiswi Institut Pendidikan UIAM, Gombak.

Sesungguhnya sesebuah negara yang mempunyai pemimpin, untuk membentuk ummah memahami Islam sehingga akhirnya menerima Islam sebagai anutan serta mengamalkan Islam sebagai cara hidup itu sesuatu yang sangat susah pada hari ini, tetapi ia bukan suatu yang mustahil sekiranya proses ke arah tersebut disusun rapi dengan berbekalkan ilmu dan peranan yang dimainkan oleh pemimpin.
PEMIMPIN itu satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan kerana ia akan ditanya di akhirat kelak. Namun, sebaliknya yang berlaku kepada pemimpin hari ini.

Realitinya, pemimpin Negara hari ini tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya. Jelas di mata masyarakat Malaysia khususnya, berlaku penyelewengan yang melibatkan penyalahgunaan wang rakyat sehingga mencapai jutaan ringgit seperti kes NFC (National Feedlot Corporation), masalah rasuah yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan sebagainya.
Paling mendukacitakan adalah kes yang bersangkut paut dengan wang titik peluh rakyat untuk kegunaan peribadi sehingga mencecah angka juta.

Selain itu, pelbagai kes jenayah dan masalah sosial semakin meruncing yang telah menjejaskan keamanan Malaysia. Kes mati dibunuh menjadi berita utama hampir setiap hari, penderaan dan penganiyaan terhadap kanak-kanak masih tidak dapat dibendung, pembuangan bayi masih lagi berleluasa sehingga tidak mengenal usia.

Sekiranya kita ingin melihat negara kita berada dalam keadaan aman dan bebas daripada gejala-gejala serta masalah-masalah penyelewengan, menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita memilih pemimpin yang mempunyai sifat القوي الأمين.

Seorang pemimpin yang dilantik mestilah memiliki ciri-ciri yang selayaknya dan sesuai untuk dijadikan sebagai pemimpin dan sifat amanah pada tanggungjawab yang diberikan.

Seorang pemimpin yang berwibawa mestilah berpemikiran yang bijak, cepat menyelesaikan masalah dan tidak berburu-buru membuat keputusan. Selain itu juga, seorang pemimpin mestilah mempunyai sifat integriti yang tinggi. Mendahulukan kepentingan rakyat berbanding diri sendiri, bukan mengenyangkan perut sendiri dikala rakyat bawahan berpenat lelah mengisi periuk yang kosong.

Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri kepada Amirul Mukminin, Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam;

"Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi.
Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Inilah ciri-ciri pemimpin yang diidamkan oleh segenap pelusuk manusia demi melihat negara bersih daripada segala kezaliman dan bebas daripada segala bentuk penyelewengan. Besar harapan generasi muda hari ini untuk melihat sebuah negara yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup dan sekaligus mencapai keredhaan Allah.

sumber