HARGAILAH IA..
14 DISEMBER 2009

Hari-hari yang dilalui dalam minggu pertama semester kedua di kampus sangat mencabar dan memenatkan. Masa seolah-olah sangat laju berputar mengikut hari, jam, minit dan saat seperti keretapi elektrik yang paling laju di Jepun. Pada hari Sayyidulayyam, saya hanya mampu terlantar di atas katil diuji dengan kesakitan kesan daripada 5 hari yang dilalui sebelumnya (‘culture shock’ kot..). Hujung minggu pula saya ditinggalkan keseorangan (roommate semua balik kampung). Semua ini membawa diri saya mengingatkan kembali kepada beberapa perkara. Antara yang utama adalah 5 perkara yang sering disebut-sebut, bukan sahaja dari lisan Nabi Muhammad s.a.w bahkan sehingga ia diadaptasikan dalam bentuk lirik lagu nasyid nyanyian kumpulan Raihan..




Ya. 5 perkara ini sering menjadi peringatan buat diri manusia.

*Masa sihat sebelum datangnya masa sakit *Masa muda sebelum datangnya masa tua *Masa kaya sebelum datangnya masa miskin *Masa lapang sebelum tibanya masa sibuk *Masa hidup sebelum kematian datang menjengah.

Teringat dulu masa di kampus lama, hari-hari di awal semester dilalui dengan tenang, tidak kelam-kabut. Kenapa ya?? Sebabnya suasana di kampus lama jauh sangat bezanya dengan suasana yang saya lalui sekarang. Di kampus lama, semua perkara tentang pembelajaran baik dari sudut kelas, subjek, pensyarah diuruskan oleh pihak pentadbiran. Saya dan sahabat-sahabat diibaratkan seperti anak burung yang menunggu di sarang, sambil membuka mulut menantikan ibunya pulang membawa makanan dan menyuapkannya. Hari ini, saya menjadi anak burung yang semakin dewasa dan perlu hidup berdikari mencari makanan sendiri. Kalau saya tidak berusaha keluar mencari makanan, alamatnya akan mati kelaparanlah saya di dalam sarang. Begitulah diibaratkan dengan suasana menuntut ilmu. Jika kita mencari kita akan dapat. Siapa cepat dan berusaha dia yang akan mendapat tempat yang terbaik.

Kenapa saya kaitkan hal ini dengan 5 perkara yang disebut di atas?? Saya ingin mengambil 2 perkara dari 5 perkara tersebut.

*Masa lapang sebelum masa sibuk

Kerana ketika saya melalui masa yang sibuk di semester ini walaupun baru minggu pertama kuliah, saya terkenang kembali masa yang saya ada dalam semester lepas yang jauh lebih berkelapangan. Saya tidak tahu apakah tugas-tugas mendatang yang akan di hadapi. Adakah ruang kelapangan untuk saya selepas ini? Kenapa saya begitu risau? Sedangkan Allah s.w.t telah mengurniakan kepada semua manusia jumlah masa yang sama banyak iaitu 24 jam sehari dalam kehidupan, tiada lebih atau kurang walau sesaat.

Sebenarnya, saya sangat risau saya akan mensia-siakan masa yang telah dikurniakan untuk saya menuntut ilmu kerana saya menyesal dengan masa-masa lalu saya yang terbuang. Begitulah manusia. Sesuatu perkara akan mula dihargai apabila telah kehilangannya. Masa yang telah berlalu akan sentiasa terkenang-kenang di benak minda manusia namun bukan kuasa kita untuk kembali dan memutarkan masa yang telah berlalu itu. Apa yang penting, masa-masa yang akan dihadapi akan datang perlulah digunakan sebaiknya tanpa ada penyesalan di kemudian hari. Dan ketika ini saya sedang berusaha mencuri-curi peluang dan ruang masa yang ada walaupun sedikit untuk menghabiskan beberapa bahan bacaan yang telah tertangguh kerana saya tahu, jika saya tidak merancang masa dengan baik, saya akan menjadi seorang muslim dan mukmin yang gagal. Ya Allah, permudahkanlah urusanku dalam mendalami ilmu MU yang sangat luas.

*Masa sihat sebelum sakit

Dan ketika diuji dengan kesakitan selama sehari, saya terkenang dengan kesakitan yang di alami oleh tokoh gerakan muslimat, Hajah Zainab al-Ghazali al-Jubaili ketika mana beliau diseksa dengan teruk semasa dalam tahanan penjara. Apalah sangat kesakitan yang saya alami jika nak dibandingkan dengan kesakitan beliau yang diseksa seperti seorang lelaki. Beliau disebat beratus-ratus kali, kemudian direndam di dalam penjara berair yang kotor dan banyak lagi penyeksaan yang diluar jangkauan belas ihsan seorang manusia malahan lebih teruk dari binatang. Namun beliau masih mampu melakukan ibadat kepada Allah s.w.t dengan baik walaupun keadaan beliau ketika itu sangat dhaif dan tertekan. Bagaimana dengan kita? Tatkala diuji dengan kesakitan, kita merasakan ibadah yang dilakukan tidak sesempurna kebiasaan. Kita merasakan bahawa hilangnya nikmat beribadah ketika itu. Dan ketika itulah kita terkenang masa sihat kita yang jarang-jarang  digunakan sebaiknya untuk melakukan ibadah. Namun,itulah kafarah yang diberikan Allah s.w.t atas dosa-dosa yang telah kita lakukan. Mungkin Allah s.w.t hendak membersihkan diri kita dari dosa-dosa lampau dengan menguji hambaNYA melalui nikmat kesihatan yang ditarik sekejap.

3 perkara lagi iaitu, masa muda sebelum datangnya masa tua. Masa kaya sebelum datangnya masa miskin. Masa hidup sebelum datangnya masa kematian. Semua perkara ini adalah nikmat yang dikurniakan Allah s.w.t kepada hamba-hambaNYA. Nikmat usia yang muda, nikmat kekayaan dan harta benda dan nikmat dapat hidup dan bernafas di atas muka bumi ini, semuanya berkaitan dengan kehidupan kita hari ini. Lantas bagaimana kita menghargai dan mensyukuri nikmat-nikmat ini, hanya kita yang mengetahui samada kita salurkan ke arah kebaikan atau keburukan.

Suka saya kongsikan di sini antara 5 sifat orang beriman yang disebutkan dalam surah al-Anfal ayat 2 dan 3 ialah mereka yang apabila disebut nama Allah s.w.t akan bergetarlah hatinya dan bertambah keimanannya, memiliki sifat tawakkal yang tinggi kepada Allah s.w.t, melaksanakan solat dan menginfakkan sebahagian rezeki yang diberikan kepada mereka. REZEKI yang dimaksudkan di sini adalah segala nikmat yang Allah s.w.t berikan kepada hamba-hambaNYA iaitu nikmat Islam, Iman, pernafasan, ilmu, harta benda, tenaga dan sebagainya. Maka nikmat-nikmat ini hendaklah digunakan serta diinfakkan sebahagiannya pada 5 masa yang disebut di atas (muda,sihat,lapang,kaya dan hidup) sebelum tiba 5 masa yang seterusnya(tua,sakit,sibuk,miskin dan mati) barulah kita dikatakan sebagai hamba Allah yang memiliki sebenar-benar iman(mukmin yang hak).

Masa itu sangat penting. Bahkan Allah s.w t telah bersumpah dengan masa dalam surah al-Asr:

“Demi masa.sesungguhnya manusia berada di dalam kerugian.melainkan yang beriman dan yang beramal soleh serta berpesan-pesan kepada kepada kebenaran dan kesabaran.”

Ada juga pepatah yang menyebut: masa ibarat pedang,jika kita tidak memotongnya maka ia (masa) akan memotong kita.

Saya bukanlah orang yang terbaik untuk bercakap tentang masa kerana saya sendiri masih gagal dalam pengurusan masa. Kadang-kadang ramai dalam kalangan kita mungkin hebat dari sudut teori mengenai pengurusan masa tapi dari sudut praktikalnya ramai yang masih gagal kerana kurangnya kefahaman dan penghayatan terhadap matlamat dan tujuan hidup di bumi Allah s.w.t.

Cuma peringatan buat diri saya sendiri dan sahabat-sahabat yang lain, dalam kita bertungkus lumus menggunakan masa terluang yang kita miliki dengan mencari manfaat buat diri kita, jangan kita terlupa kepada orang disekeliling kita kerana peranan yang perlu dimainkan masih banyak sebagai seorang anak, pelajar dan dai’e. Kerana sesungguhnya mukmin yang baik itu adalah yang dapat memberi manfaat kepada manusia lain.

Semalam saya terlepas satu peluang mengikuti satu seminar ilmiah bertajuk "Pengukuhan Pandangan Alam Islam" yang membariskan pembentang dari kalangan anak-anak didik Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang diadakan di Jalan Duta anjuran PKPIM. Saya rasa sangat menyesal dengan tindakan saya membatalkan hasrat dan keinginan saya di saat-saat akhir dalam mengejar ilmu baru tetapi disebabkan ada hal lain yang perlu diuruskan dan tidak mampu dielakkan. Saya mempositifkan diri mungkin ada peluang lain yang lebih besar Allah s.w.t akan sediakan buat saya. Namun saya bernasib baik kerana akhirnya saya berkesempatan mengikuti Syarahan Perdana selama 2 jam yang disampaikan sendiri oleh Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas dan bertemu mata dan mencedok ilmu dengan beliau adalah pengalaman yang sangat berharga pada sesi pencarian ilmu saya pada kali ini. Apa pun, kita perlu bijak merancang masa dan peluang yang datang dalam kehidupan kita dan hargailah masa dan peluang yang datang itu kerana mensia-siakan masa dan peluang itu akan memberi sejuta penyesalan kepada diri kita.

Apa yang baik dan berfaedah dalam penulisan ini datang dari Allah s.w.t dan apa yang lemah dalam penulisan saya ini dari kelemahan saya yang masih lagi dalam proses pembelajaran dan hakikatnya ia datang dari Allah s.w.t tetapi disandarkan kepada diri penulis yang lemah dan hina ini. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat.
0 Responses

Catat Ulasan