Lelaki & Perempuan Berhubung, Boleh Ke?

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) sering berlaku di mana-mana sama ada dalam menuntut ilmu, bergerak kerja berorganisasi, bidang pekerjaan, bersosial dengan masyarakat.

Namun, masih ramai yang keliru dengan hukum sebenar dan batasan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Ada ulama’ yang berpandangan bahawa ia haram, ada juga yang mengatakan bahawa ia harus.

Bersesuaian dengan zaman yang semakin mendepani cabaran ini, lebih sesuai kita mengambil hukum ikhtilat sebagai harus selagi mana kita mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana yang difatwakan oleh ulama’ kontemporari, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Ini kerana ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Maka, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan seperti penzinaan, bercouple, keruntuhan akhlak dan sebagainya.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, dalam buku beliau Fatawa Al Mar-atul Muslimah, pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh seperti menuntut ilmu, membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun ikhtilat ini dibolehkan, berikut adalah batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam:

[1] Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya, tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Firman Allah s.w.t:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apayang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,’’ (An-Nuur: 30-31)

[2] Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh. Firman Allah s.w.t:
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,” (Surah An-Nuur:31)

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan melalui firmanNya :
Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu.“(Al-Ahzab: 59)

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

[3] Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki, iaitu:

i. Percakapan, hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :
Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,”(Al-Ahzab:32)

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan,” (An-Nuur: 31)

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan,” (Al-Qasas:25)

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

[4] Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

[5] Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram atau teman di sisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama kerana semakin ‘terbakar’ kalau dibiarkan berdua. Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

[6] Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat contohnya mesyuarat dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa (anak-anak).

Jika dilihat kepada syarat-syarat di atas, penekanan untuk menjaga batas-batas adalah lebih kepada kaum perempuan tanpa mengabaikan peranan kaum lelaki dalam memelihara batas-batas pergaulan. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa perempuan jika tidak menjaga diri dengan baik akan mudah terdedah kepada fitnah, sebagaimana disebut dalam hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w:

Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku yang lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka saya menyeru khususnya buat mereka yang bergelar perempuan, wanita, muslimah dan mukminah, sama-samalah kita memelihara diri dengan sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan seharian kita supaya kita tidak mudah terdedah dan terjerumus dengan kebinasaan.

Memenuhi syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan diri kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah di saat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini, Ramadhan yang mulia. Wallahu’alam.

_________________________________________________

Disediakan oleh : Hana’ binti Salleh

Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3, Qur’an & Sunnah,

Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

Pernah Kenal?


Kenal dia? Dialah Dr. Aafia Siddiqui. Seorang muslimah dari Pakistan yang ditangkap oleh Amerika dengan bantuan daripada kerajaan Pakistan sendiri. Dia telah dijatuhkan hukuman penjara selama 86 tahun.

Namun, tiada seorang pun pemimpin umat Islam hari ini tampil untuk membelanya. Malah, kerajaan Pakistan sendiri yang membantu Amerika Laknatullah untuk menangkapnya.

Beliau bukan sahaja dipenjarakan, malah turut dibelasah sehingga mengakibatkan kecederaan teruk pada hidungnya. Bukan sekadar itu, beliau juga turut dirogol di dalam penjara.

Kebobrokan pemimpin umat Islam hari ini jelas terpampang apabila mereka tidak menghantar sebarang bala tentera untuk menjawab kebiadapan Amerika.

Sudah lupakah kita, Khalifah Mu'tasim Billah menghantar bala tentera untuk menyerang Rom kerana beberapa orang kafir telah mempersenda aurat seorang muslimah pada waktu itu? Di mana pula bala tentera muslim hari ini?

Wahai umat Islam, butakah mata hati kita sehingga kita sanggup menyokong pemimpin-pemimpin muslim (yang menzalimi umat Islam sendiri) hari ini? Mahukah perkara yang sama berlaku pada ibu, kakak, atau adik kita? Mahukah ibu, kakak, atau adik kita senasib dengan Dr. Aafia Siddiqui? -soutulmujahid


Rasa Hati
بسم الله الرحمن الرحيم 
سبحن الله والحمد لله والله أكبر 

Baru je buat rutin macam biasa tikamana saya online.. blogwalking.. blog pertama yang dibuka, of course la my lovely blog..tengok status, Mujaddid Revolusi Muslimah.. 5 minggu lalu..  

Memang sah, dah lebih sebulan tak update blog.. tak tahulah kenapa..kata nak gilap skill menulis, tapi blog sendiri, MasyaAllah susah betul nak di update.. just be a silent reader, silent observer..*_* 

Banyak sangat isu-isu besar yang berlaku akhir-akhir nie.. di musim-musim nak tunggu bila pilihnraya umum akan diumumkan.. antara yang paling besar:
(pada pandangan sisi saya- hasil tunjuk ajar Cikgu Azmi TERAS)
-BERSIH 3.0.. dan FATWANYA...BERSIH 4.0?? 
-IRSHAD MANJI 

Saya bukanlah orang yang pandai untuk menganalisa isu semasa, hanya sekadar menjadi silent reader dan silent observer.. tak tahulah sehingga ke mana silent saya ni.. *_*

***

Apa-apa pun, i'm still learning and i want to be myself.. 
belajar memahami diri sendiri yang sekarang dah tahun 3 di UIA.. 
belajar memahami suasana sekeliling di mana tempat saya berada.. 
belajar memahami insan-insan yang bersama saya setiap hari.. 
belajar memahami apa perancangan saya di masa hadapan.. 

Setiap orang ada pengalaman hidup masing-masing.. pahit, manis, masam, masin.. semua ada rasa-rasa ni.. How we cope the challenges, back to ourself.. sape yang kita cari, di mana tempatnya.. hanya kita yang tahu mana yang terbaik..(of course Allah Maha Mengetahui setiap sesuatu).

***

Pejam celik pejam celik, dah di akhir sem untuk sesi pengajian 2011/2012. Alhamdulillah saya dah lepas 2 paper exam yang dicentalized. Berbaki lagi 3 paper yang agak jauh beza masanya. Satu peluang yang berharga untuk mengulangkaji..(sepatutnya..^_^)

" Salam imtihan buat semua sahabat-sahabat"

***

Minggu lepas, sangat seronok dengan Majlis Wada' yang dibuat untuk usrah. Kenangan usrah memang susah dilupakan sebab melalui inilah saya mengenal dunia tarbiyah, saya mengenal erti sebuah ukhuwah..^_^

"Kenangan dari anak2 tersayang" 

***
Banyak rupanya nak tulis, tapi menulis tanpa mana-mana rujukan. Sekadar kongsi rasa dari hati.. 
Kadang-kadang, bila blogwalking.. terasa kerdil dengan diri sendiri sebab kagum melihat blog sahabat-sahabat yang sangat matang dan mantap pengisiannya.. Teringin untuk jadi seperti mereka, tapi saya masih belum mampu, dengan kadar diri yang agak buta IT dan skill yang masih lemah..(*_*) 

 Bersabarlah duhai hati..

PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN

PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN (1938-2004) KEPADA PEMUDA DAN PEMUDI

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada ALLAH bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.

Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.
PEMIMPIN PILIHAN ANAK MUDA
Artikel ini ditulis oleh Ni' Nurul Ain Bt Mohd Nor, mahasiswi Institut Pendidikan UIAM, Gombak.

Sesungguhnya sesebuah negara yang mempunyai pemimpin, untuk membentuk ummah memahami Islam sehingga akhirnya menerima Islam sebagai anutan serta mengamalkan Islam sebagai cara hidup itu sesuatu yang sangat susah pada hari ini, tetapi ia bukan suatu yang mustahil sekiranya proses ke arah tersebut disusun rapi dengan berbekalkan ilmu dan peranan yang dimainkan oleh pemimpin.
PEMIMPIN itu satu amanah dan bukannya tempat mencari kemuliaan kerana ia akan ditanya di akhirat kelak. Namun, sebaliknya yang berlaku kepada pemimpin hari ini.

Realitinya, pemimpin Negara hari ini tidak lagi memainkan peranan yang sepatutnya. Jelas di mata masyarakat Malaysia khususnya, berlaku penyelewengan yang melibatkan penyalahgunaan wang rakyat sehingga mencapai jutaan ringgit seperti kes NFC (National Feedlot Corporation), masalah rasuah yang ibarat cendawan tumbuh selepas hujan dan sebagainya.
Paling mendukacitakan adalah kes yang bersangkut paut dengan wang titik peluh rakyat untuk kegunaan peribadi sehingga mencecah angka juta.

Selain itu, pelbagai kes jenayah dan masalah sosial semakin meruncing yang telah menjejaskan keamanan Malaysia. Kes mati dibunuh menjadi berita utama hampir setiap hari, penderaan dan penganiyaan terhadap kanak-kanak masih tidak dapat dibendung, pembuangan bayi masih lagi berleluasa sehingga tidak mengenal usia.

Sekiranya kita ingin melihat negara kita berada dalam keadaan aman dan bebas daripada gejala-gejala serta masalah-masalah penyelewengan, menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita memilih pemimpin yang mempunyai sifat القوي الأمين.

Seorang pemimpin yang dilantik mestilah memiliki ciri-ciri yang selayaknya dan sesuai untuk dijadikan sebagai pemimpin dan sifat amanah pada tanggungjawab yang diberikan.

Seorang pemimpin yang berwibawa mestilah berpemikiran yang bijak, cepat menyelesaikan masalah dan tidak berburu-buru membuat keputusan. Selain itu juga, seorang pemimpin mestilah mempunyai sifat integriti yang tinggi. Mendahulukan kepentingan rakyat berbanding diri sendiri, bukan mengenyangkan perut sendiri dikala rakyat bawahan berpenat lelah mengisi periuk yang kosong.

Sepotong kata-kata jawapan yang telah dinyatakan oleh Al-Imam Hasan Al-Basri kepada Amirul Mukminin, Umar bin Abd Aziz ketika ditanya tentang kriteria sebenar seorang pemimpin umat Islam;

"Sesungguhnya Allah telah menjadikan para imam yang adil itu adalah pembaiki kepada kerosakan, pembetul kepada penyelewengan, pemusnah kepada kezaliman dan pembela kepada yang lemah, pembantu kepada yang dizalimi.
Dialah yang melaksanakan hak-hak Allah kepada hambanya, mendengar ayat-ayat Allah dan memperdengarkannya kepada rakyatnya, melihat tanda kekuasaaannya dan memperlihatkannya kepada mereka, berjalan diatas tali Allah dan mengajak manusia bersamanya, dia umpama seorang hamba kepada para rakyatnya –menjaga harta dan juga keluarga tuannya, tidak sekali-kali menghukum dengan cara jahiliah dan mengikut hawa nafsu mereka,tidak menyelusuri jalan orang-orang yang zalim, tidak bersifat dengan golongan pembesar mustakbirin dalam menindas golongan lemah mustad'afin, dialah penjaga anak yatim, pembantu kepada orang–orang miskin, mendidik anak-anak mereka dan menjaga kaum tua mereka."

Inilah ciri-ciri pemimpin yang diidamkan oleh segenap pelusuk manusia demi melihat negara bersih daripada segala kezaliman dan bebas daripada segala bentuk penyelewengan. Besar harapan generasi muda hari ini untuk melihat sebuah negara yang mengamalkan Islam sebagai cara hidup dan sekaligus mencapai keredhaan Allah.

sumber
KELEBIHAN JUMAAT

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (HR Muslim).

Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesungguhnya hari Juma‘at adalah penghulu segala hari dan hari yang paling besar di sisi Allah Subhanhu wa Ta ‘ala iaitu hari yang lebih besar daripada hari raya Adha dan hari raya Fitrah, pada hari Jum‘at itu terdapat lima kejadian iaitu hari yang dijadikan Adam ‘alaihissalam dan Baginda di turunkan daripada syurga ke muka bumi, dan pada hari itu juga wafatnya Adam ‘alaihissalam, dan Allah mengurniakan satu saat di mana doa-doa dikabulkan kecuali doa-doa maksiat, dan hari Jum‘at juga akan terjadinya hari Kiamat”. (HR Ibnu Majah)

Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Perbanyakkanlah membaca selawat padaku pada malam dan hari Jumaat, maka siapa yang membaca selawat untukku satu kali, Allah akan berselawat kepadanya 10 kali (Allah akan memberinya rahmat 10 kali) ". (HR Al Baihaqi)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya harimu yang paling utama adalah hari Jumaat. Maka perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari itu, kerana selawatmu ditunjukkan kepadaku. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana selawat kami ditunjukkan kepadamu sedangkan tubuhmu telah hancur? Rasulullah s.a.w. menjawab: Sesungguhnya Allah mengharamkan tubuh para Nabi bagi bumi (tidak hancur)." (HR Abu Daud, Nasa'i dan Ibnu Majah).

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Pada hari Jumaat terdapat satu waktu, tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Allah akan mengabulkannya. Carilah ia di akhir waktu selepas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur (soalan di dalam kubur). (HR At-Tirmizi. Al-Albani mengatakan hadis ini hasan dalam Ahkam Janaiz).
Psikologi Rasulullah S.A.W

 1 Februari 2012

Alhamdulillah hari ini kita melangkah ke bulan Februari. Begitu cepat masa dirasakan berlalu. Saya tiada cerita best nak dikongsi, cuma saya nak kongsi tentang satu perkara yang setiap orang akan melaluinya iaitu fasa perubahan. Perubahan apa? Perubahan diri dari yang tidak baik kepada yang baik. Umumnya kita mengetahui bahawa perubahan diri atau penghijrahan diri ini adalah bermula dari diri kita sendiri, bukan orang lain. Sebagaimana Firman Allah s.w.t : 

".... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan  yang ada pada diri mereka sendiri...." (Ar-Ra'd: 11)

Orang lain hanya mampu bagi nasihat, ceramah, leteran, dan yang seangkatannya, namun tidak mampu untuk memberi perubahan totally kepada diri seseorang. Saya tertarik dengan cara Rasulullah s.a.w dalam membawa  perubahan kepada seseorang ke arah yang lebih baik. Jom kita baca bagaimana cara nabi menggunakan psikologinya dalam mendidik umatnya.

* * * * *

Bagaimana Nabi Muhammad Menyuruh Orang Berubah Tanpa Beliau Menyuruh

Nabi Muhammad adalah seorang motivator dan pendorong perubahan tingkah laku yang sangat efektif. Banyak sekali individu yang biasa-biasa telah berubah menjadi orang-orang cemerlang selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad.

Salah satu keistimewaan teknik Nabi Muhammad adalah di mana beliau sebenarnya menyuruh sasaran melakukan sesuatu, tetapi beliau tidak menggunakan ayat suruhan.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana sasaran Nabi Muhammad mengubah sikap dan tingkah laku mereka dengan kehendak mereka sendiri selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad, padahal beliau tidak menyuruh mereka berubah. Di bawah ini adalah salah satu contohnya:


Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak menyuruh lelaki itu supaya membuang araknya. Sebaliknya lelaki itu sendiri yang melakukannya tanpa disuruh. Nabi Muhammad hanya berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." tetapi kesannya lelaki itu membuang semua araknya.

Antara perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa beliau mendorong lelaki itu supaya mengubah sikap dan tingkah lakunya adalah:

1. Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan ayat suruhan.

Contoh ayat suruhan:
* “Kamu wajib buangkan arak itu sebab arak adalah benda haram.”
* “Lain kami bawalah hadiah lain yang halal, bukan arak.”

2. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat larangan.

Contoh ayat larangan:
* “Jangan gunakan arak sebagai hadiah, hukumnya haram.”
* “Arak benda haram, jangan minum arak lagi.”
* “Arak tidak boleh dijadikan hadiah. Jangan berikan arak kepada sesiapa. Hadiah untuk orang bukan Islam pun tak boleh.”

3. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kritikan.

Contoh ayat kritikan:
* “Kamu mengaku Islam, tetapi bahawa arak adalah benda haram pun kamu tak tahu.”
* “Nampaknya kamu masih jahil tentang hukum meminum dan menjual arak.”
* “Orang lain semua sudah tahu arak adalah haram. Kamu sahaja yang belum tahu.”

4. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat nasihat.

Contoh ayat nasihat:
* “Lain kali jangan buat lagi kesilapan macam ini. Saya tidak boleh minum arak.”
* “Kamu mesti mendalami ilmu agama. Kalau tidak, kamu akan terus berada dalam kejahilan.”
* “Sebagai orang Islam, tuntutlah ilmu agama sampai ke liang lahad.”

5. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat komplen.

Contoh ayat komplen:
* “Nampaknya masih banyak umatku yang jahil agama.”
* “Umatku masih mengambil ringan isu halal-haram.”
* “Sistem pendidikan umatku masih banyak kelemahannya.”

6. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kutukan.

Contoh ayat kutukan:
* “Apa nak jadi dengan kamu? Nama sahaja kamu sudah Islam. Perangai kamu masih perangai kafir.”
* “Kalau saya katakan kamu ini jahil, nanti kamu marah. Tapi kamu memang jahil!”
* “Apa nak jadi dengan kamu? Jahil murakab betul. Orang macam kamulah yang merosakkan nama baik Islam.”


sumber 

* * * * *

Hebatnya bagaimana didikan yang Rasulullah s.a.w berikan kepada umatnya yang tersayang. Maka haruslah kita sebagai dai'e menjadikan cara didikan Rasulullah s.a.w ini sebagai contoh terbaik dalam membawa perubahan kepada masyarakat duni hari ini yang kita sedia maklum penuh dengan kerosakan. Semoga Allah membuka hati mereka yang sedang dalam kerosakan dan kealpaan. Allahumma Amiin.