SENJATA MUKMIN
 25 FEBRUARI 2011

Doa adalah salah satu ibadah yang menjadikan seorang hamba semakin dekat dengan Sang Pencipta. Ketika seorang hamba menghadap kepada Penciptanya dengan merasa penuh kelemahan, memohon kepada-Nya yang Maha Kuasa dan Sempurna. Dalam doa terdapat pengagungan terhadap Allah S.W.T kerana doa adalah ibadah dan ketahuilah bahawa doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin.

Ada 3 kemungkinan berlaku ketika seseorang berdoa dengan penuh rasa memerlukan, iaitu : 

  • Dikabulkannya doa tersebut, atau
  • Allah akan menggantikan seperti yang di minta karena Allah Maha Mengetahui akan setiap keperluan hamba-Nya, atau 
  • Allah akan menjadikannya sebagai tabungan baginya untuk hari akhir nanti.

Dalam doa juga terdapat adab-adab yang sepatutnya dipraktikkan oleh seorang yang ingin berdoa. Adab-adab tersebut adalah sebagai berikut:

1. Menjadikan makanan, tempat tinggal dan pakaiannya dari hasil yang halal.

Rasulullah -S.A.W- bersabda :

أَيُّهَا النَّاسُ : إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَل إِلاَّ طَيِّبًا ، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ ، فَقَال تَعَالَى : { يَا أَيُّهَا الرُّسُل كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا } وَقَال تَعَالَى : { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ } ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُل يُطِيل السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ ، يَا رَبِّ ، يَا رَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Maksudnya : "Wahai manusia; sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang beriman sebagaimana memerintahkan para Rasul. Allah berfirman (yang ertinya) : "Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh." (QS Al-Mu'minun : 51) dan juga berfirman (yang artinya) : "Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu." (QS Al-Baqarah: 172) Kemudian baginda menyebutkan tentang seseorang yang sedang bermusafir yang kelihatan acak-acakan dan berdebu, sedang mengangkat tangannya ke atas langit berdoa, ya Rabb, ya Rabb. Akan tetapi makanannya dari (hasil) yang haram, minumannya (juga) dari (hasil) yang haram, pakaiannya (juga) dari hasil yang haram, dan penghasilannya dari yang haram, bagaimanakah mungkin dikabulkan (doanya)?!" (HR Muslim)

2. Berdoa pada waktu-waktu yang dimuliakan seperti Hari Arafah untuk tiap tahunnya, bulan Ramadhan untuk bulannya, hari jumaat untuk mingguannya, dan waktu sahur pada tiap harinya.

Allah berfirman :

وَبِالأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya : "Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar." (QS Adz-Dzariyat : 18)

3. Berdoa pada saat-saat penting.

Abu Hurairah berkata : "Sesungguhnya pintu-pintu langit dibuka ketika tergoncangnya barisan-barisan dalam peperangan, dan ketika turunnya hujan, dan ketika solat wajib. Maka perbanyaklah berdoa dalamnya.

Juga memperbanyak doa ketika dalam keadaan sujud dalam tiap solat. Rosulullah -S.A.W- bersabda :

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: Paling dekatnya seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyaklah doa." (HR Ahmad, Muslim, An-Nasai dan Abu Daud)

4. Mengangkat kedua tangan ketika berdoa.


Rosulullah -S.A.W- bersabda :

إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya : "Sesungguhnya Tuhan kalian itu Maha Pemalu dan Mulia, Dia malu ketika melihat hamba-Nya mengangkat tangannya kepada-Nya dan tidak mengkabulkan." (HR Abu Daud & Tirmidzi)

5. Berdoa dengan suara yang lembut.

Allah berfirman :

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

Maksudnya : "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut." 
(QS Al-A'raf : 55)


Jika apabila kita meminta sesuatu dengan ibu bapa, sahabat, guru dan sesiapa sahaja, kita boleh berlembut dan beradab sopan, apatah lagi apabila kita meminta sesuatu daripada Sang Pencipta kita Yang Maha Agung. Jagalah adab dengan Allah S.W.T, insyaAllah mudah-mudahan hajat yang kita minta akan dikabulkan NYA. AMIN.
Syahidnya Zaid Bin Harith, Jaafar Bin Abi Talib Dan Abdullah Bin Rawahah

7 Februari 2011


Peperangan Di Medan Mauta. Menyaksikan Tentera Islam 3,000 menentang Tentera Kristian Rom 200,000



Kebanyakan surat-surat yang dikirimkan oleh Rasulullah S.A.W kepada beberapa orang raja adalah bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam. Salah seorang yang dihantarnya ialah Raja Busra. Surat kepada raja ini dihantar oleh Haris bin Umar Azdi r.a. Apabila sampai di Mauta, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang Gabenor Qaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris Bin Umar r.a. adalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah S.A.W sangat dukacita atas kematian Haris, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Rasulullah S.A.W melantik Zaid Bin Harith sebagai Ketua Pasukan.

Kemudian baginda bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran, " Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar Bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki."

Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata, "Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban, kerana itu adalah lumrah sebagaimana para Nabi yang terdahulu selalu meramalkan."

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah S.A.W memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Rasulullah S.A.W kepada Zaid. Rasulullah S.A.W menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan baginda berdoa, " Semoga Allah S.W.T akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan."

Setelah Rasulullah S.A.W selesai berdoa, Abdullah Bin Rawahah menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud, " Aku hanya menginginkan keampunan terhadap segala dosa-dosa dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar seperti air yang mengalir keluar dari mata air...atau sebilah tombak untuk menembusi masuk ke liang hatiku dan isi perutku...dan ketika insan-insan melalui tepi kuburku, mereka akan berkata, semoga engkau telah gugur kerana Allah.. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur. "

Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil. Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam. Sarjil mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk menghadapi serangan tentera Islam. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah S.A.W untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang, "Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini? Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antar dua, Kemenangan atau Syahid."

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah, maka para sahabat pun beriktikad untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mauta.

Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid r.a. mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran. Maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu.

Sarjil telah mengirim berita kepada Qaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan tentera, maka Qaisar pun menghantar tentera yang gagah berani seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja. Dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid (AllahuAkbar), Ketua Panglima tentera Islam.

Jaafar r.a. mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan sengaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan itu, Jaafar membaca beberapa ungkapan syair. " Wahai Manusia ! Betapa Indahnya Syurga. Dan betapa gembiranya tentang kehampiran! Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan, aku mesti hapuskan mereka semua."

Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar r.a (AllahuAkbar). Umur Jaafar r.a. ketika itu ialah 33 tahun.

Abdullah Bin Umar r.a. menceritakan, " Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau."

Sewaktu Jaafar r.a. terbunuh, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan, beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Jaafar, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata, "Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Jaafar telah sampai ke Syurga." (AllahuAkbar)

Tanpa membuang masa, Abdullah Bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya. Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata dalam hatinya, " Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah keran kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah"

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata, "Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama tiga hari."

Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran. Beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau Syahid di medan pertempuran itu. (AllahuAkbar)

*********

Apabila orang-orang Islam berjuang kerana agama Allah, maka perjuangan itu adalah jihad dan doa itu adalah senjata. Orang Islam berjuang dengan iman dan mati dalam syahid. Orang kafir berjuang dengan senjata dan mati mereka seperti mati katak. Orang Islam mendapat Syurga sementara orang kafir mendapat neraka.

Maka apa lagi yang kita ragukan untuk menyahut seruan jihad. Konteks dalam negara kita pada masa kini bukanlah bererti kita turun ke medan pertempuran sebagaimana jihad rakyat Palestin, Tunisia dan Mesir. Tetapi jihad yang dimaksudkan adalah melalui wasilah PILIHANRAYA. Medan ini penting kerana kita yang akan memilih halatuju pembawakan sesebuah negara atau organisasi. 

Bersempena musim Pilihanraya Kampus yang bakal menjelma di UIAM, saya menyeru sahabat-sahabat agar kita sama-sama membanting tulang, memerah tenaga sebaik mungkin memenangkan calon-calon yang terbaik supaya bumi UIAM akan sentiasa terpelihara dari anasir-anasir buruk dan kotor. Wallahu'alam.

(Edit dari SUMBER)
SEBAB TANGAN MANUSIA
3 Februari 2011/ 29 Safar 1432 


Firman Allah s.w.t: 
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar"
(Ar-Rum: 41)

TUNISIA
Pergolakan yang tercetus di negara ini bukanlah yang pertama berlaku di dunia bahkan adalah rentetan dari peristiwa di beberapa negara Arab sebelum-sebelum ini. Pergolakan di Iraq sehingga jatuhnya pemerintahan Saddam Hussin, gerakan Intifadhah di Palestin melawan cubaan penaklukan Palestin oleh Israel laknatullah yang sehingga hari ini tiada penghujungnya, ternyata pemerintahan kuku besi Tunisia di bawah Presiden Zine El-Abidine El-Ali tidak berjaya dipertahankan apabila rakyat negara itu bangkit bertindak menggulingkan pemerintahan diktator tersebut.

Presiden Zine El-Abidine El-Ali- sekutu USA

Mesir
Hanya beberapa minggu berlaku isu Tunisia, Mesir menggemparkan dunia dengan kejadian yang sama seperti Tunisia. Kebangkitan rakyat Tunisia rupa-rupanya  menjadi pemangkin semangat kepada umat Islam Mesir untuk menjatuhkan pemerintahan kuku besi Husni Mubarak. Sehingga hari ini dan saat ini, pergolakan masih belum berhenti. Rakyat Malaysia turut terkesan dengan keadaan Mesir jika di bandingkan di Tunisia kerana di sana terdapat hampir 11 ribu rakyat Malaysia yang menuntut ilmu. Dan semalam menyaksikan perhimpunan besar-besaran di Wisma Putra, Putrajaya bagi mendesak kerajaan Malaysia menghantar bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana.

 Husni Mubarak-pemerintah kuku besi

Medan Tahrir tempat perhimpunan besar-besaran rakyat Mesir 

Malaysia
Negara yang terkenal dengan aman dan damai ini pula sebenarnya tidak terlepas dari isu-isu yang tak pernah sunyi dari kontroversi. Umpamanya, selepas Pilihanraya Kecil Tenang, dan kemenangan memihak kepada Parti Barisan Nasional dengan majoriti 3 ribu lebih, ternyata tidak mampu memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia. Sehari selepas kemenangan mereka, rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga minyak ron97 sebanyak 10 sen. Sudahlah isu Pilihanraya Kecil Tenang, dan banjir yang semakin meruncing di Johor masih belum reda, kerajaan Malaysia membuka satu lagi isu yang bakal membawa kemarahan rakyat Malaysia. Adakah Malaysia bakal menyusul Tunisia dan Mesir?? Adakah rakyat kita ada kesedaran tersebut?? 

Pada pandangan saya, tidak mustahil rakyat Malaysia bakal menjejak langkah rakyat Tunisia dan Mesir jika pihak kerajaan terus-menerus menyusahkan rakyat dan mengenyangkan perut 'orang-orang' mereka. Slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanya sekadar menjadi slogan syok sendiri mereka. Realiti yang berlaku adalah sebaiknya.

*****
Isu pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir masih menjadi tajuk perbualan di laman-laman internet. Dapat dilihat bahawa pelajar-pelajar tajaan didahulukan jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar persendirian lebih-lebih lagi pelajar jurusan agama. Pro dan kontra  isu ini dibincangkan dan tidak dinafikan Kerajaan Malaysia sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Namun masih ada segelintir pihak yang mempolitikkan isu ini. Antara petikan blog yang saya dapat :

"Majoriti pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Mesir adalah penyokong-penyokong Pas. Disana boleh dikatakan kilang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin Pas.

Oleh yang demikian saya mencadangkan kepada Kerajaan BN , jika hendak hantar pesawat untuk angkut mereka pulang, pastikan beri keutamaan kepada pelajar-pelajar yang menyokong Umno dan BN terlebih dahulu. Jangan pedulikan mereka-mereka yang menyokong Pas. Biarkan mereka melalak-lalak, utamakan orang kita terlebih dahulu.

Orang-orang seperti mereka tidak perlu diutamakan untuk diberi pertolongan. Waktu mereka susah baru mereka ingat nak minta tolong kerajaan. Waktu senang merekalah yang menjadi barua-barua menghentam kerajaan.

Selama ini mereka-merekalah yang sering menghentam Kerajaan BN kononnya zalim, rasuah dan sebagainya sedangkan dalam masa yang sama mereka menikmati pelbagai kemudahan untuk pergi belajar disana."

Dalam saat-saat genting begini masih wujud golongan manusia sebegini yang mementingkan diri. Adakah benar mereka takut kepulangan pelajar-pelajar Malaysia yang digelar pro-pembangkang bakal mengubah politik Malaysia menjelang PRU-13 tidak lama lagi?? 

Menggeleng kepala saya melihat situasi ini. Sesama umat Islam sendiri berpecah-belah membandingkan sumbangan masing-masing kepada masyarakat. Tanpa kita sedar, syaitan-syaitan Yahudi sedang bertepuk tangan kerana berjaya memecah-belahkan orang-orang Islam. 

Namun begitu, dalam pada isu-isu di atas berlaku, wujud juga golongan 'katak di bawah tempurung' yang langsung tidak tahu-menahu mengenai apa yang sedang berlaku kepada dunia hari ini. Lebih menyedihkan bilamana golongan ini adalah terdiri daripada mahasiswa bijak pandai universiti. Sedarlah wahai anak muda! Bangun dari tidurmu! Sama-sama bertindak ! 

****

Mungkin sedikit perkongsian dari saya sekadar sebagai ulasan terhadap krisis dunia yang berlaku hari ini. Kiamat kian menghampiri kita semua, lalu di manakah persediaan kita semua untuk menghadapinya?? Sebagaimana dalam firman Allah s.w.t yang saya titipkan di awal penulisan bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi adalah berpunca dari tangan manusia itu sendiri, dan apa yang berlaku hari ini itulah buktinya. Pertumpahan darah, peperangan-semuanya tercetus dari manusia itu sendiri. Tirai 2011 masih baru di angkat, pejam celik 2012 bakal menyusul. Adakah ada agenda tersembunyi di sebalik semua yang berlaku..?? Mari kita sama-sama singkap...

BERINGATLAH WAHAI MUSLIMAH

Jangan engkau kahwini wanita yang enam iaitu wanita yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

1) Wanita Ananah :
Banyak mengeluh & mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

2) Wanita Mananah :
Suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu.”

3) Wanita Hananah :
Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4) Wanita Hadaqah :
Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5) Wanita Baraqah :
Ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkan bahagiannya.

6) Wanita Syadaqah :
Banyak cakap tidak menentu lagi bising.

(Dicatat oleh Imam Al-Ghazali)
SEMBUHKAN DIA YA ALLAH
'Alia Nur Syuhada' 
(gambar di ambil pada tahun lepas)

Semalam 27 November 2010, sambil-sambil menyiapkan kerja pemprosesan data jualan, saya sempat melayari facebook dan terbaca tentang keadaan anak naqibah saya semasa di DQ dulu, puteri sulung dalam usrah kami Paradise Seekers. Puteri yang bernama 'Alia Nur Syuhada' ini telah dimasukkan ke hospital Selayang pada jam 3 petang 26 November kerana terkena jangkitan kuman dalam paru-paru. Si kecil ini baru mencapai umur 2 tahun. Ya Allah!! berat sungguh dugaan yang diberikan kepada pasangan muda ustaz Muhammad dan Ayong Syazila. Semoga Allah memberikan kesabaran dan kekuatan kepada mereka berdua.

 puteri Paradise Seekers
( mujahidah cilik Islam)

Baru tadi saya menghubungi naqibah bertanya keadaan 'Alia. Alhamdulillah demam yang dialaminya telah kebah cuma masih batuk dan selesema. Namun, si kecil ini masih dalam pemerhatian doktor. Semoga Allah memberikan kesembuhan kepada 'Alia Nor Syuhada'. Ameen....

 telah pun bergelar kak long (",)

putera Paradise Seekers ('Izz Abdussalam)


TAUFIQ+NAJAH= GOOD LUCK !!
Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Menghadapi  Imtihan Akhir buat sahabat-sahabat di UIA Gombak especially usrah Saadah, usrah Ghuraba' dan adik di UPM (yang tidak dapat pulang beraya ^_^). Semoga kalian dipermudahkan segala urusan memburu NAJAH dalam 'peperangan' dunia ini.

Jadual Exam:

29 Oktober   : RKQS 3231A - Tadwin al-Sunnah
30 Oktober   : RKQS 1030 - Revelation as A Source of Knowledge

7 November : PSYC 1000 - Introduction to Psychology
8 November : RKQS 1046A - Dirasah fi Al-Quran

15 November : RKQS 3131A - Ayat al-Ahkam

ت - ق - و - ى

Firman Allah s.w.t :
" Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah KAMI telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan KAMI telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih TAQWAnya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya." (al-Hujurat: 13)

Persoalannya, bagaimana kita nak jadi semulia-mulia hamba di sisi Allah seperti dinyatakan dalam ayat di atas ?

Maka langkah pembersihan hati perlu kita lakukan!!

Menurut Syeikh Salim bin Eid Al-Hilali dalam kitabnya Manhajul Aanbiya’ Fi Tazkiyatun Nufus, proses tazkiyah ini akan berlaku dengan syarat kita berTAQWA, yang hanya akan di capai dengan langkah2 di bawah :

  • AL-MUSYARATAH/AL-MU'ADALAH : membuat perjanjian seperti seorang usahawan pasti akan menandatangani perjanjian.
  • AL-MURAQABAH : setelah mengawasi diri, apabila seseorang telah mengikat perjanjian, harus baginya merasakan keperluan menjaga dan mengawasi perjanjiannya agar tidak dilanggar.
  • AL-MUJAHADAH : bersungguh-sungguh dalam melakukan amalan.
  • AL-TASLIM  : menerima segala ketetapan Allah s.w.t.
  • AL-REDHA : merasa bahawa segala pemberian Allah s.w.t adalah yang terbaik buatnya.
TAQWA itu terkandung makna yang sangat luas. Sebahagian ulama' menafsirkan bahawa taqwa ialah :
" Bahawa Allah tidak melihat engkau ketika mana DIA menegah engkau dan bahawa Allah tidak tidak mengurangi (merugikan) engkau ketika mana DIA memerintahkan."

Sebahagian yang lain menakrifkan taqwa ialah memelihara diri daripada azab Allah dengan mengerjakan amal soleh dan takut kepadaNYA ketika terang dan tersembunyi. 

Jika dilihat dan dikaji dalam al-Quran, sebilangan besar ayat-ayat yang terkandung di dalamnya hampir-hampir tidak tertinggal satu pun muka surat atau sebahagiannya melainkan akan di dapati kalimah "AT-TAQWA". Subhanallah!! Betapa tingginya martabat golongan MUTTAQIN ini di sisi Allah s.w.t !!

Bahkan para sahabat dan salafussoleh juga sangat menitik beratkan tentang persoalan TAQWA pada zaman kehidupan mereka sehingga menjadi tunjang utama dengan bermujahadah ke arah mencapainya.

Khalifah Umar al-Khatab r.a pernah bertanya kepada Ubai bin Kaab tentang TAQWA . 

Ubai bertanya," Pernahkah engkau berjalan di jalanan yang berduri?".
Umar menjawab," Pastinya pernah!!". 
Ubai bertanya lagi," Apa yang engkau lakukan ketika melalui jalan tersebut?" 
Umar menjawab," Aku berhati-hati dan berusaha melepasinya." 
Lalu Ubai berkata," Maka yang demikian itulah ketaqwaan."

***

Menurut Imam Al-Kalbi dalam kitab tafsirnya, Al-Tashil Li-‘Ulum Al-Tanzil, ketika beliau menafsirkan ayat ke 2 surah al-Baqarah, keTAQWAan menatijahkan 15 perkara berikut :
  • mendapat hidayah.
  • mendapat bantuan Allah s.w.t
  • mendapat perlindungan
  • memperoleh kasih sayang
  • memperoleh keampunanNYA
  • mendapat penyelesaian dalam kesusahan
  • memperoleh pelepasan daripada segala masalah
  • mendapat rezeki
  • dipermudahkan segala urusan
  • dilipatgandakan nilai amalan
  • diterima amalan
  • dapat kejayaan.
  • memperoleh kegembiraan
  • mendapat syurga dan selamat daripada azab neraka. 
Tingkatan TAQWA menurut Imam Al-Kalbi dalam tafsirnya terbahagi kepada 5 :
  • takut kepada kufur, ini merupakan maqam ISLAM.
  • takut melakukan maksiat, ini adalah maqam TAUBAT.
  • takut melakukan hal yang syubhah, ini merupakan maqam WARA'.
  • takut melakukan hal yang harus, ini tingkatan orang yang ZUHUD.
  • takut jika terfikir selain daripada Allah, ini merupakan tingkatan orang yang sampai kepada tahap MUSYAHADAH .
Firman Allah s.w.t:
" Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedangkan dia menyaksikannya. " (surah Qaf: 37)


SUMBER :
-Buku 101 Doa Daripada Hadis-Hadis Sahih karangan Ustaz Zahazan Mohamad.
-PDF Menuju Ketakwaan oleh Abdullah Nasih Ulwan.