SAYANG MEREKA SELAMANYA
11 APRIL 2011




Mereka adalah segala-galanya dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul. Mereka adalah pinjaman sementara dari Allah s.w.t kepada saya di dunia ini, INSYAALLAH semoga kami bersama-sama hingga ke akhirat. Mereka membentuk saya sehingga menjadi SAYA pada hari ini. Terima kasih tak terhingga buat Ummi dan Ayah tersayang, melahirkan, membesarkan, menjaga dan mendidik saya selama 23 tahun ini. Buat adik-adik saya, dari alang sampai la yang si bongsu Widad, terima kasih atas kerenah kalian yang pelbagai, menguji tahap kesabaran yang akhirnya mendidik saya sebagai seorang kakak yang mula mengenali erti tanggungjawab dan kasih-sayang.

Bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, tapi inilah hakikat keluarga saya. Keluarga saya menjadi ikon dalam kehidupan saya, untuk merancang masa depan saya. Kami lahir hasil baitulmuslim dakwah yang dibina antara Ummi dan Ayah di zaman alam kampus mereka 26 tahun yang lalu. Perkahwinan yang di dasari dengan meletakkan keutamaan Islam dan ummah di depan, alhamdulillah hari ini melahirkan kami yang menurut Ummi dan Ayah menjadi kebanggaan paling besar buat mereka. Alhamdulillah. syukur pada-MU Ya Allah, Engkau pelihara kami dalam biah keluarga solehah sehingga hari ini.

Saat ini saya terdetik untuk menulis tentang keluarga selepas teringat saat 4 hari pada minggu lepas saya menghabiskan senggang waktu antara peperiksaan pulang ke rumah. Ketika dalam perjalanan pulang, saya sentiasa terfikir, sempat atau tak untuk berjumpa Ummi dan Ayah ?? Memandangkan hampir 3 bulan saya tidak bertemu mereka. Saya menangis sendirian kerana takut. Takut andai tidak sempat berjumpa, takut untuk menerima hakikat jodoh keluarga kami singkat. Adakah saya benar-benar bersedia hadapi saat itu?? Andai ia tiba sekarang? Dengan keadaan kami yang masih belajar dan belum bekerja dan berkeluarga? Ya Allah, bagi kekuatan kepada kami.

Jarak yang jauh antara kami sekeluarga saban tahun, mengikat kasih sayang yang lebih mendalam sesama kami. Ummi dan Ayah serta si kecil ber3 di rumah dan 2 dara pingitan di asrama, semua di Kelantan, saya bersama 3 lagi adik di Kuala Lumpur, serta abang yang jauh berkelana di bumi Mesir. Sukar untuk kami berkumpul melainkan di Hari Raya Aidilfitri sahaja. Jika cuti semester pun belum boleh menjanjikan kami dapat berkumpul bersama-sama. Itulah hakikat yang Ummi dan Ayah perlu lalui, berpisah dengan anak-anak demi menjadikan kami insan yang berilmu dan berguna kepada agama dan ummah. Terima kasih Ummi dan Ayah.

Saya sangat suka dengan cara Ummi dan Ayah mendidik kami adik-beradik sejak dari kecil hinggalah saat sekarang ini. Kini baru saya faham kenapa Ummi dan Ayah melarang keras kami bergaul dan berkawan dengan kaum berlawanan jenis sejak dari sekolah rendah lagi. Kini baru saya faham kenapa kami dilarang terlibat dengan aktiviti-aktiviti alam maya sejak di sekolah rendah. Kini baru saya faham kenapa kami dilarang itu dan ini. Dunia yang kami lalui saat ini menjadi jawapan kepada segala larangan-larangan dulu. Semoga kami adik-beradik dikuatkan iman dan hati masing-masing menghadapi fitnah akhir zaman ini.

Mereka tetap menjadi keutamaan saya dalam apa jua hal melibatkan semua aspek kehidupan. Segala kemusykilan dibawa berbincang. Segala keputusan yang ingin di buat mendapatkan pandangan Ummi dan Ayah terutamanya. Meskipun kadang-kadang saya terikat dengan komitmen yang agak besar di kampus, tetapi hasil perbincangan dan kepercayaan yang diberikan mampu memudahkan segala urusan. Saya cukup mengambil iktibar dari kisah yang lalu, kisah yang menjadi lipatan sejarah dalam hidup saya, apabila perkara lain lebih di utamakan dari Ummi dan Ayah sendiri, maka Allah s.w.t membuka hijab memberikan petanda sebagai peringatan kepada saya. Maafkan anakmu wahai Ummi dan Ayah!! Benarlah bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapanya. 

Telah jelas dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman: 
Tuhanmu telah menyuruh supaya kamu jangan menyembah (mengesakan) selain padaNya. Dan terhadap kedua ibu bapa harus berbakti (taat dan baik) apabila telah tua salah satunya atau keduanya disisimu, maka jangan menunjukkan sikap jemu atau berkata: Cih, kepada keduanya, umpama jika kau sampai membuang kencing atau najis ibu atau bapa, maka jangan kau tutup hidungmu dan jangan muram mukamu sebab keduanya telah mengerjakan semua itu dimasa kecilmu, dan jangan membentak keduanya dan berkatalah dengan lemah lembut, sopan santun, ramah tamah dan hormat." (AL-ISRA':23)

Kita renung sejenak, dan muhasabah semula, adakah kita pernah berkata walau perkataan 'ahh' kepada mereka. Adakah kita pernah memasamkan muka di hadapan mereka? Mohonlah ampun kepada mereka dan Allah s.w.t sekiranya kita pernah melakukan sedemikian kerana jika kita hati kecil mereka terluka walau sedikit, kesannya kita sukar mendapat keredhaan dalam segala perkara yang kita lakukan. 

Allah s.w.t mengurniakan pahala yang sangat besar kepada Ummi kerana melahirkan 10 orang zuriat penyambung warisan para nabi. 8 puteri dan 2 putera. Tentunya mudah-mudahan lebih besar ganjarannya membesarkan dan mendidik 8 orang anak perempuan yang diketahui lebih sukar di jaga berbanding anak lelaki. Sebagaimana disebut dalam hadis Nabi s.a.w: 

"Barangsiapa yang di uji dengan mendapatkan anak perempuan kemudian ia berbuat baik kepada mereka (dengan mendidiknya) maka anak perempuan itu akan menjadi penghalang baginya dari sentukan api neraka" (H.R Bukhari & Muslim) 

"Allah s.w.t mengharuskan ibu itu masuk syurga membebaskannya dari neraka disebabkan kasih sayangnya terhadap anak perempuannya" (H.R Muslim) 

"Barangsiapa mengurus dan mendidik dua anak perempuan sehingga mereka dewasa maka ia datang di hari kiamat bersamaku" (H.R Muslim)

Hadis-hadis di atas terkandung kisah disebaliknya yang boleh dijadikan iktibar sehingga Nabi Muhammad s.a.w melafazkan sabda baginda tentang kelebihan membesarkan dan mendidik anak perempuan. 

Buat adik-adik perempuan saya, sama-sama kita ambil iktibar dari hadis ini. Jadilah anak-anak Ummi dan Ayah yang solehah dan taat. Buat anak-anak lelaki Ummi dan Ayah, jangan cemburu ye..sama-sama cari hikmah..(",)

Coretan kali ini sekadar perkongsian buat semua pembaca setia blog saya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat bersama untuk semua lebih-lebih lagi sebagai pemangkin dalam merancang kehidupan masa depan. Ini baru coretan permulaan, insyaAllah andai diberi kesempatan saya akan berkongsi lebih lagi. Doakan moga saya dan keluarga sentiasa kekal dan istiqamah dalam suasana keluarga solehah yang mampu membentuk satu ummah Islamiyah.

Nukilan,
-anak perempuan solehah-
11 april 2011
1.33 am
SALAM IMTIHAN


Sudah lama benar saya tidak meng'update' blog nie. Sekarang sudah memasuki fatrah peperiksaan akhir bagi semester ini. Terlalu cepat masa berlalu, pejam celik sudah hampir 2 tahun saya menuntut ilmu di UIA. Masih lagi berbaki dalam 2 tahun sebelum saya tamat belajar. Rasa cemburu juga dengan alang saya yang bakal menamatkan pengajian ijazah muda pada bulan Mei ini. Apa-apa pun saya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk membalas jasa ummi dan ayah yang banyak berjasa serta tidak dilupakan penaja pembelajaran saya, YBR. Buat adik-adik usrah saya, Farah Wahida, Nabilah, MasyitahZulaikha, Ayunni, Sariyana, Shafiqah, Asmah, bittaufiq wannajah buat kalian. Tidak lupa juga adik beradik Usrah Saadah, along, ayong, angah, acik, uda, anje- semoga kalian dipermudahkan segala urusan dalam menjawab peperiksaan.

Bersedia untuk bertempur di medan ilmu: 
 
1/4 - tafsir mawdhu'i
2/4 - intro to political science
8/4 - i'jaz al-Qur'an
10/4 - madkhal ila Fiqh
15/4 - takhrij al-Hadith
16/4 - tahfiz 3

Sudah cukup kelengkapan senjata??
Tepuk dada tanya diri ....
JANGAN BENCI
4 MAC 2011

Firman Allah s.w.t :
" Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka tidak akan memberi bantuan kepada kerabatnya, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Adakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." 
(Surah an-Nur : 22)

Terima kasih buat ateh Yok  kerana sudi berkongsi perbincangan ayat di atas pada petang semalam. Satu perkongsian yang sangat bermakna bagi diri saya bila saya membaca dan menghayati makna isi kandungan ayat tersebut.

Saya terus teringat dengan kejadian yang melibatkan seorang sahabat saya baru-baru ini. Bukan sahabat biasa-biasa, tapi dialah antara yang memahami saya, bertindak sebagai kakak dan sahabat kepada saya. Walau apa pun yang berlaku, dia tetap akan menjadi sahabat saya dunia dan akhirat. Kejadian yang saya pasti ramai orang sangat memarahi, membenci dan menyampah dengan apa yang dia lakukan. Keberadaan saya di tengah-tengah 2 pihak membuatkan saya tersepit, terhimpit dan sesak dada dengan situasi yang berlaku. Bukan saya tidak marah dengan apa yang dilakukan, memang saya terkilan dengan tindakan tersebut. Tapi dia juga manusia biasa, bukan ma'sum seperti wali Allah dan tidak lepas dari melakukan kesilapan.


Kemarahan dan kebencian yang wujud dalam diri lebih bahaya dan akan membawa kepada perpecahan sesama umat Islam. Jika di hayati ayat dari surah an-Nur di atas, mengapa kita susah untuk berlapang dada dan memafkan orang lain yang melakukan kesilapan kepada kita? Tidak kiralah dalam apa-apa situasi sekalipun, kemarahan dan kebencian tidak memberikan sebarang keuntungan kepada diri kita. Malahan, akan lebih menambahkan dosa dalam buku amalan kita kerana sifat tersebut akan membawa kepada tindakan yang lebih buruk seperti mengumpat, tidak bertegur sapa, dan saling menyalahkan. 

Saya bukanlah berpihak pada mana-mana pihak, sekadar ingin membuka mata, minda dan hati sahabat-sahabat sekalian (pada sesiapa yang sudi baca blog saya) bahawa kemarahan dan kebencian bukanlah sifat seorang mukmin. Sebagaimana disebutkan oleh Allah s.w.t  dalam surah al-Fath ayat 29 tentang sifat orang-orang yang bersama Rasulullah s.a.w dalam perjuangan Islam :
"Muhammad adalah utusan Allah, dan orang-orang yang bersama dengan dia bersikap keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka..."

Dan banyak lagi ciri-ciri yang disebutkan dalam ayat di atas menggambarkan bagaimana sifat seorang yang mengaku bersama-sama Rasulullah berada di jalan perjuangan ini. 

Pesanan dan nasihat saya, bagi yang melakukan kesalahan dan kesilapan, rendahkan hati dan diri anda untuk memohon kemaafan atas kesalahan yang dilakukan. Dan bagi yang menjadi mangsa kesalahan, berlapang dadalah dengan apa yang berlaku. Percaturan yang Allah s..w.t letakkan pasti ada hikmah yang besar yang kita mungkin tidak nampak pada hari ini, tetapi pada suatu masa yang akan tiba. Semoga ia menjadi muhasabah buat kita semua dalam menjadi pewaris perjuangan para nabi dan rasul. Wallahua'lam.


p/s : saya menulis bukan untuk memburukkan dan memalukan mana-mana pihak apatah lagi membela sesiapa. Sekadar luahan hati dari insan yang hina sebagai muhasabah bersama di hari jumaat yang berkat ini. Sentiasalah perbaharui niat dan memohon keampunan kepada Allah..astaghfirullahal'azim..


Sayyidulayyam
11.28am
HS cafe


SENJATA MUKMIN
 25 FEBRUARI 2011

Doa adalah salah satu ibadah yang menjadikan seorang hamba semakin dekat dengan Sang Pencipta. Ketika seorang hamba menghadap kepada Penciptanya dengan merasa penuh kelemahan, memohon kepada-Nya yang Maha Kuasa dan Sempurna. Dalam doa terdapat pengagungan terhadap Allah S.W.T kerana doa adalah ibadah dan ketahuilah bahawa doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin.

Ada 3 kemungkinan berlaku ketika seseorang berdoa dengan penuh rasa memerlukan, iaitu : 

  • Dikabulkannya doa tersebut, atau
  • Allah akan menggantikan seperti yang di minta karena Allah Maha Mengetahui akan setiap keperluan hamba-Nya, atau 
  • Allah akan menjadikannya sebagai tabungan baginya untuk hari akhir nanti.

Dalam doa juga terdapat adab-adab yang sepatutnya dipraktikkan oleh seorang yang ingin berdoa. Adab-adab tersebut adalah sebagai berikut:

1. Menjadikan makanan, tempat tinggal dan pakaiannya dari hasil yang halal.

Rasulullah -S.A.W- bersabda :

أَيُّهَا النَّاسُ : إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى طَيِّبٌ لاَ يَقْبَل إِلاَّ طَيِّبًا ، وَإِنَّ اللَّهَ أَمَرَ الْمُؤْمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ الْمُرْسَلِينَ ، فَقَال تَعَالَى : { يَا أَيُّهَا الرُّسُل كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحًا } وَقَال تَعَالَى : { يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ } ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُل يُطِيل السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ ، يَا رَبِّ ، يَا رَبِّ ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ ، وَغُذِّيَ بِالْحَرَامِ ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Maksudnya : "Wahai manusia; sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima kecuali yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang-orang beriman sebagaimana memerintahkan para Rasul. Allah berfirman (yang ertinya) : "Hai rasul-rasul, makanlah dari makanan yang baik-baik, dan kerjakanlah amal yang soleh." (QS Al-Mu'minun : 51) dan juga berfirman (yang artinya) : "Hai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu." (QS Al-Baqarah: 172) Kemudian baginda menyebutkan tentang seseorang yang sedang bermusafir yang kelihatan acak-acakan dan berdebu, sedang mengangkat tangannya ke atas langit berdoa, ya Rabb, ya Rabb. Akan tetapi makanannya dari (hasil) yang haram, minumannya (juga) dari (hasil) yang haram, pakaiannya (juga) dari hasil yang haram, dan penghasilannya dari yang haram, bagaimanakah mungkin dikabulkan (doanya)?!" (HR Muslim)

2. Berdoa pada waktu-waktu yang dimuliakan seperti Hari Arafah untuk tiap tahunnya, bulan Ramadhan untuk bulannya, hari jumaat untuk mingguannya, dan waktu sahur pada tiap harinya.

Allah berfirman :

وَبِالأَسْحَارِ هُمْ يَسْتَغْفِرُونَ

Maksudnya : "Dan selalu memohonkan ampunan diwaktu pagi sebelum fajar." (QS Adz-Dzariyat : 18)

3. Berdoa pada saat-saat penting.

Abu Hurairah berkata : "Sesungguhnya pintu-pintu langit dibuka ketika tergoncangnya barisan-barisan dalam peperangan, dan ketika turunnya hujan, dan ketika solat wajib. Maka perbanyaklah berdoa dalamnya.

Juga memperbanyak doa ketika dalam keadaan sujud dalam tiap solat. Rosulullah -S.A.W- bersabda :

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: Paling dekatnya seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sujud, maka perbanyaklah doa." (HR Ahmad, Muslim, An-Nasai dan Abu Daud)

4. Mengangkat kedua tangan ketika berdoa.


Rosulullah -S.A.W- bersabda :

إِنَّ رَبَّكُمْ حَيِيٌّ كَرِيمٌ يَسْتَحْيِي مِنْ عَبْدِهِ إِذَا رَفَعَ يَدَيْهِ إِلَيْهِ أَنْ يَرُدَّهُمَا صِفْرًا

Maksudnya : "Sesungguhnya Tuhan kalian itu Maha Pemalu dan Mulia, Dia malu ketika melihat hamba-Nya mengangkat tangannya kepada-Nya dan tidak mengkabulkan." (HR Abu Daud & Tirmidzi)

5. Berdoa dengan suara yang lembut.

Allah berfirman :

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً

Maksudnya : "Berdoalah kepada Tuhanmu dengan berendah diri dan suara yang lembut." 
(QS Al-A'raf : 55)


Jika apabila kita meminta sesuatu dengan ibu bapa, sahabat, guru dan sesiapa sahaja, kita boleh berlembut dan beradab sopan, apatah lagi apabila kita meminta sesuatu daripada Sang Pencipta kita Yang Maha Agung. Jagalah adab dengan Allah S.W.T, insyaAllah mudah-mudahan hajat yang kita minta akan dikabulkan NYA. AMIN.
Syahidnya Zaid Bin Harith, Jaafar Bin Abi Talib Dan Abdullah Bin Rawahah

7 Februari 2011


Peperangan Di Medan Mauta. Menyaksikan Tentera Islam 3,000 menentang Tentera Kristian Rom 200,000



Kebanyakan surat-surat yang dikirimkan oleh Rasulullah S.A.W kepada beberapa orang raja adalah bertujuan supaya mereka memeluk agama Islam. Salah seorang yang dihantarnya ialah Raja Busra. Surat kepada raja ini dihantar oleh Haris bin Umar Azdi r.a. Apabila sampai di Mauta, beliau telah dibunuh oleh Sharabbil Ghassani, yakni salah seorang Gabenor Qaisar. Pembunuhan ini adalah bertentangan dengan semua undang-undang kesusilaan di antara suku-suku, sebab Haris Bin Umar r.a. adalah utusan untuk menyampaikan surat.

Rasulullah S.A.W sangat dukacita atas kematian Haris, lalu beliau mengumpul seramai 3,000 pejuang yang gagah berani untuk menentang musuh yang jahat itu. Rasulullah S.A.W melantik Zaid Bin Harith sebagai Ketua Pasukan.

Kemudian baginda bersabda kepada para pejuang yang akan ke medan pertempuran, " Sekiranya Zaid terbunuh maka Jaafar Bin Abi Talib hendaklah mengetuai pasukan dan jika Jaafar juga terbunuh, maka Abdullah Bin Rawahah hendaklah mengetuai pasukan. Dan sekiranya Abdullah juga terbunuh, maka bolehlah kamu semua memilih seorang ketua di kalangan kamu yang kamu kehendaki."

Seorang Yahudi yang kebetulan berada di situ berkata, "Pasti ketiga-tiga mereka ini akan terkorban, kerana itu adalah lumrah sebagaimana para Nabi yang terdahulu selalu meramalkan."

Sebelum tentera Islam berangkat menuju ke medan pertempuran, Rasulullah S.A.W memberikan sehelai bendera putih yang diperbuat sendiri oleh Rasulullah S.A.W kepada Zaid. Rasulullah S.A.W menemani tentera-tentera Islam beberapa langkah di luar Kota Madinah dan baginda berdoa, " Semoga Allah S.W.T akan mengembalikan kamu semua dengan selamat dan memperoleh kejayaan. Semoga Allah memelihara kamu semua dari segala kejahatan."

Setelah Rasulullah S.A.W selesai berdoa, Abdullah Bin Rawahah menyampaikan tiga rangkap syair yang bermaksud, " Aku hanya menginginkan keampunan terhadap segala dosa-dosa dan sebilah pedang untuk menyebabkan darah-darah merahku memancar seperti air yang mengalir keluar dari mata air...atau sebilah tombak untuk menembusi masuk ke liang hatiku dan isi perutku...dan ketika insan-insan melalui tepi kuburku, mereka akan berkata, semoga engkau telah gugur kerana Allah.. berjaya dan makmur. Engkau sesungguhnya insan yang berjaya dan makmur. "

Pihak musuh pula diketuai oleh Sarjil. Mereka telah mengetahui mengenai persediaan tentera Islam. Sarjil mengumpulkan 100,000 tentera yang lengkap dengan alat kelengkapan perang untuk menghadapi serangan tentera Islam. Ketika Sarjil dan bala tenteranya hendak mara, dia mendapat tahu bahawa Qaisar sendiri sedang mara dengan satu batalion tentera yang terdiri 100,000 orang untuk menolong Sarjil. Apabila berita ini sampai kepada para sahabat yang sedang dalam perjalanan untuk berperang dengan pihak musuh, mereka merasa ragu-ragu dan mereka berfikir sama ada untuk menentang musuh Islam yang berjumlah 200,000 orang itu, atau pun tidak. Atau mereka mengirim utusan kepada Rasulullah S.A.W untuk mendapatkan nasihat.

Dalam ragu-ragu itu, Abdullah Bin Rawahah dengan penuh semangat pejuang berkata dengan suara yang lantang, "Wahai para sahabatku, apakah yang membimbangkan kamu semua. Apakah tujuan sebenar kamu datang ke sini? Bukankah kamu semua datang ke sini untuk MATI SYAHID. Kita sebagai pejuang-pejuang Islam tidak pernah memperjuangkan tenaga kita dengan kekuatan senjata dan kekuatan bilangan tentera. Perjuangan kita adalah semata-mata kerana Islam yang telah dimuliakan oleh Allah S.W.T ke atas setiap kita pejuang-pejuang agama-Nya. Kita hendaklah mempastikan salah satu antar dua, Kemenangan atau Syahid."

Apabila para sahabat yang lain mendengar kata-kata semangat dari Abdullah Bin Rawahah, maka para sahabat pun beriktikad untuk bertemu dengan tentera-tentera Kristian di medan perang Mauta.

Apabila sampai di medan pertempuran, Zaid r.a. mengenggam bendera di tangan dan mengarahkan tugas bagi menghadapi pertempuran. Maka berlakulah pertempuran yang sengit di antara tentera Islam dengan tentera Kristian. Dalam pertempuran yang sedang rancak berjalan itu, saudara lelaki Sarjil mati dan Sarjil sendiri melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah kubu.

Sarjil telah mengirim berita kepada Qaisar tentang masalahnya dan meminta bantuan tentera, maka Qaisar pun menghantar tentera yang gagah berani seramai 200,000 untuk membantu Sarjil. Tentera Islam tetap bertarung dengan semangat jihad walaupun angka tentera musuh jauh berbeza dari tentera Islam yang cuma 3,000 orang sahaja. Dalam pertempuran yang sengit itu, maka syahidlah Zaid (AllahuAkbar), Ketua Panglima tentera Islam.

Jaafar r.a. mengambil alih sebagai ketua dan menggenggam bendera. Beliau dengan sengaja melumpuhkan kaki kudanya agar beliau tidak dapat meninggalkan medan pertempuran jika datang perasaannya untuk meninggalkan medan pertempuran itu. Dalam peperangan yang sedang rancak berjalan itu, Jaafar membaca beberapa ungkapan syair. " Wahai Manusia ! Betapa Indahnya Syurga. Dan betapa gembiranya tentang kehampiran! Kecelakaan orang-orang Rom berada di dalam genggaman tangan, aku mesti hapuskan mereka semua."

Dengan memegang bendera Islam yang berkibaran di sebelah tangan, dan sebelah tangan lagi beliau memegang pedang, beliau terus meluru ke arah musuh. Sewaktu meluru tangan kanan beliau yang memegang bendera telah ditetak, beliau dengan segera memegang bendera dengan tangan kiri, tetapi tangan kiri beliau juga ditetak, beliau tetap memegang kuat dengan mengigit bendera dengan bantuan kedua belah bahunya yang telah kudung. darah mengalir seperti air paip, datanglah musuh dari arah belakang lalu menetak Jaafar sehingga terbelah dua, dan syahidlah Jaafar r.a (AllahuAkbar). Umur Jaafar r.a. ketika itu ialah 33 tahun.

Abdullah Bin Umar r.a. menceritakan, " Ketika kami mengangkat beliau keluar dari medan pertempuran, kami mengira bahawa terdapat 90 liang luka di badan beliau."

Sewaktu Jaafar r.a. terbunuh, Abdullah Bin Rawahah sedang makan daging di penjuru medan peperangan, beliau sudah tiga hari kelaparan. Sebaik sahaja beliau mendengar tentang kematian Jaafar, dengan segera beliau mencampakkan daging dengan berkata, "Abdullah kamu ini asyik sibuk dengan makan, sedang Jaafar telah sampai ke Syurga." (AllahuAkbar)

Tanpa membuang masa, Abdullah Bin Rawahah terus mencapai bendera dan meluru ke arah musuh. Dalam pertempuran itu anak-anak jarinya banyak yang parah dan tergantung isi. Beliau meletakkan anak-anak jarinya ke bawah lalu dipijak dengan kaki dan ditarik sehingga jari-jarinya bercerai dari tangannya. Kemudian beliau terus mara dan beliau berhenti sebentar dan memikirkan tentera Islam yang sedikit berbanding tentera musuh yang ramai. Dalam tengah berangan-angan itu, dia tersentak dan berkata dalam hatinya, " Wahai hati, apa yang menyebabkan kamu memikirkan demikian? Adakah kerana cinta kepada isteriku? Kalau begitu aku ceraikan kamu pada saat ini juga. Adakah kerana hamba-hamba? Kalau begitu aku bebaskan mereka semua. Adakah keran kebun? Kalau begitu aku berikan sebagai sedekah"

Oleh kerana keletihan dan kelaparan, beliau turun dari kudanya, sementara sepupunya datang membawa sekeping daging kepadanya dengan berkata, "Kamu tidak dapat tidur dan makan kerana kelaparanmu selama tiga hari."

Apabila Abdullah hendak mengambil daging tersebut, beliau telah mendengar laungan musuh di salah satu sudut medan pertempuran. Beliau melempar daging tersebut, dengan pedang yang terhunus, beliau meluru ke arah musuh dan berjuang sehingga beliau Syahid di medan pertempuran itu. (AllahuAkbar)

*********

Apabila orang-orang Islam berjuang kerana agama Allah, maka perjuangan itu adalah jihad dan doa itu adalah senjata. Orang Islam berjuang dengan iman dan mati dalam syahid. Orang kafir berjuang dengan senjata dan mati mereka seperti mati katak. Orang Islam mendapat Syurga sementara orang kafir mendapat neraka.

Maka apa lagi yang kita ragukan untuk menyahut seruan jihad. Konteks dalam negara kita pada masa kini bukanlah bererti kita turun ke medan pertempuran sebagaimana jihad rakyat Palestin, Tunisia dan Mesir. Tetapi jihad yang dimaksudkan adalah melalui wasilah PILIHANRAYA. Medan ini penting kerana kita yang akan memilih halatuju pembawakan sesebuah negara atau organisasi. 

Bersempena musim Pilihanraya Kampus yang bakal menjelma di UIAM, saya menyeru sahabat-sahabat agar kita sama-sama membanting tulang, memerah tenaga sebaik mungkin memenangkan calon-calon yang terbaik supaya bumi UIAM akan sentiasa terpelihara dari anasir-anasir buruk dan kotor. Wallahu'alam.

(Edit dari SUMBER)
SEBAB TANGAN MANUSIA
3 Februari 2011/ 29 Safar 1432 


Firman Allah s.w.t: 
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar"
(Ar-Rum: 41)

TUNISIA
Pergolakan yang tercetus di negara ini bukanlah yang pertama berlaku di dunia bahkan adalah rentetan dari peristiwa di beberapa negara Arab sebelum-sebelum ini. Pergolakan di Iraq sehingga jatuhnya pemerintahan Saddam Hussin, gerakan Intifadhah di Palestin melawan cubaan penaklukan Palestin oleh Israel laknatullah yang sehingga hari ini tiada penghujungnya, ternyata pemerintahan kuku besi Tunisia di bawah Presiden Zine El-Abidine El-Ali tidak berjaya dipertahankan apabila rakyat negara itu bangkit bertindak menggulingkan pemerintahan diktator tersebut.

Presiden Zine El-Abidine El-Ali- sekutu USA

Mesir
Hanya beberapa minggu berlaku isu Tunisia, Mesir menggemparkan dunia dengan kejadian yang sama seperti Tunisia. Kebangkitan rakyat Tunisia rupa-rupanya  menjadi pemangkin semangat kepada umat Islam Mesir untuk menjatuhkan pemerintahan kuku besi Husni Mubarak. Sehingga hari ini dan saat ini, pergolakan masih belum berhenti. Rakyat Malaysia turut terkesan dengan keadaan Mesir jika di bandingkan di Tunisia kerana di sana terdapat hampir 11 ribu rakyat Malaysia yang menuntut ilmu. Dan semalam menyaksikan perhimpunan besar-besaran di Wisma Putra, Putrajaya bagi mendesak kerajaan Malaysia menghantar bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana.

 Husni Mubarak-pemerintah kuku besi

Medan Tahrir tempat perhimpunan besar-besaran rakyat Mesir 

Malaysia
Negara yang terkenal dengan aman dan damai ini pula sebenarnya tidak terlepas dari isu-isu yang tak pernah sunyi dari kontroversi. Umpamanya, selepas Pilihanraya Kecil Tenang, dan kemenangan memihak kepada Parti Barisan Nasional dengan majoriti 3 ribu lebih, ternyata tidak mampu memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia. Sehari selepas kemenangan mereka, rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga minyak ron97 sebanyak 10 sen. Sudahlah isu Pilihanraya Kecil Tenang, dan banjir yang semakin meruncing di Johor masih belum reda, kerajaan Malaysia membuka satu lagi isu yang bakal membawa kemarahan rakyat Malaysia. Adakah Malaysia bakal menyusul Tunisia dan Mesir?? Adakah rakyat kita ada kesedaran tersebut?? 

Pada pandangan saya, tidak mustahil rakyat Malaysia bakal menjejak langkah rakyat Tunisia dan Mesir jika pihak kerajaan terus-menerus menyusahkan rakyat dan mengenyangkan perut 'orang-orang' mereka. Slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanya sekadar menjadi slogan syok sendiri mereka. Realiti yang berlaku adalah sebaiknya.

*****
Isu pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir masih menjadi tajuk perbualan di laman-laman internet. Dapat dilihat bahawa pelajar-pelajar tajaan didahulukan jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar persendirian lebih-lebih lagi pelajar jurusan agama. Pro dan kontra  isu ini dibincangkan dan tidak dinafikan Kerajaan Malaysia sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Namun masih ada segelintir pihak yang mempolitikkan isu ini. Antara petikan blog yang saya dapat :

"Majoriti pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Mesir adalah penyokong-penyokong Pas. Disana boleh dikatakan kilang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin Pas.

Oleh yang demikian saya mencadangkan kepada Kerajaan BN , jika hendak hantar pesawat untuk angkut mereka pulang, pastikan beri keutamaan kepada pelajar-pelajar yang menyokong Umno dan BN terlebih dahulu. Jangan pedulikan mereka-mereka yang menyokong Pas. Biarkan mereka melalak-lalak, utamakan orang kita terlebih dahulu.

Orang-orang seperti mereka tidak perlu diutamakan untuk diberi pertolongan. Waktu mereka susah baru mereka ingat nak minta tolong kerajaan. Waktu senang merekalah yang menjadi barua-barua menghentam kerajaan.

Selama ini mereka-merekalah yang sering menghentam Kerajaan BN kononnya zalim, rasuah dan sebagainya sedangkan dalam masa yang sama mereka menikmati pelbagai kemudahan untuk pergi belajar disana."

Dalam saat-saat genting begini masih wujud golongan manusia sebegini yang mementingkan diri. Adakah benar mereka takut kepulangan pelajar-pelajar Malaysia yang digelar pro-pembangkang bakal mengubah politik Malaysia menjelang PRU-13 tidak lama lagi?? 

Menggeleng kepala saya melihat situasi ini. Sesama umat Islam sendiri berpecah-belah membandingkan sumbangan masing-masing kepada masyarakat. Tanpa kita sedar, syaitan-syaitan Yahudi sedang bertepuk tangan kerana berjaya memecah-belahkan orang-orang Islam. 

Namun begitu, dalam pada isu-isu di atas berlaku, wujud juga golongan 'katak di bawah tempurung' yang langsung tidak tahu-menahu mengenai apa yang sedang berlaku kepada dunia hari ini. Lebih menyedihkan bilamana golongan ini adalah terdiri daripada mahasiswa bijak pandai universiti. Sedarlah wahai anak muda! Bangun dari tidurmu! Sama-sama bertindak ! 

****

Mungkin sedikit perkongsian dari saya sekadar sebagai ulasan terhadap krisis dunia yang berlaku hari ini. Kiamat kian menghampiri kita semua, lalu di manakah persediaan kita semua untuk menghadapinya?? Sebagaimana dalam firman Allah s.w.t yang saya titipkan di awal penulisan bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi adalah berpunca dari tangan manusia itu sendiri, dan apa yang berlaku hari ini itulah buktinya. Pertumpahan darah, peperangan-semuanya tercetus dari manusia itu sendiri. Tirai 2011 masih baru di angkat, pejam celik 2012 bakal menyusul. Adakah ada agenda tersembunyi di sebalik semua yang berlaku..?? Mari kita sama-sama singkap...

BERINGATLAH WAHAI MUSLIMAH

Jangan engkau kahwini wanita yang enam iaitu wanita yang Ananah, yang Mananah, dan yang Hananah, dan jangan engkau kahwini yang Hadaqah, yang Baraqah dan yang Syadaqah.”

1) Wanita Ananah :
Banyak mengeluh & mengadu dan tiap saat memperalatkan sakit atau buat-buat sakit.

2) Wanita Mananah :
Suka membangkit-bangkit terhadap suami. Wanita ini sering menyatakan, “Aku membuat itu keranamu.”

3) Wanita Hananah :
Menyatakan kasih sayangnya kepada suaminya yang lain, yang dikahwininya sebelum ini atau kepada anaknya dari suami yang lain.

4) Wanita Hadaqah :
Melemparkan pandangan dan matanya pada tiap sesuatu, lalu menyatakan keinginannya untuk memiliki barang itu dan memaksa suaminya untuk membelinya.

5) Wanita Baraqah :
Ada 2 makna, pertama yang sepanjang hari mengilatkan dan menghias mukanya, kedua dia marah ketika makan dan tidak mahu makan kecuali sendirian dan diasingkan bahagiannya.

6) Wanita Syadaqah :
Banyak cakap tidak menentu lagi bising.

(Dicatat oleh Imam Al-Ghazali)