Jika Allah mencintai seorang hamba, maka Allah memasukkan kecintaan ini ke dalam hati para malaikat. Jika Allah membenci terhadap seorang hamba, maka Allah memasukkan kebencian ini ke dalam hati para malaikat, kemudian memasukkannya pula ke dalam hati manusia.
(Riwayat Anas)
Pertama kali saya menatap buku di atas, saya sangat tertarik dengan tajuk buku tersebut. Saya rasa sesiapa saja akan tertarik dengan buku ini. Ditambah lagi dengan warna merah menyala yang boleh menaikkan semangat. Macam blog saya ni(“,). Fitrah manusia memang tidak dapat lari daripada sukakan perkataan CINTA, SAYANG, HUBBU, LOVE, PYAR, AMOR, SARANGHE, AINI..(banyak pulak bahasa kat sini..). Tapi bukan tujuan saya di sini untuk membicarakan soal cinta dunia antara lelaki dan perempuan apatah lagi menggalakkan anda bercinta sebagaimana yang kita lihat pada hari ini ia di anggap biasa diamalkan sebelum berkahwin sehingga membawa kepada budaya ‘couple’ dan yang lebih teruk berakhir dengan penzinaan. Bahkan dikatakan sesiapa yang tidak bercinta atau tidak ber’couple’ sebelum kahwin adalah ketinggalan zaman dan tak ‘up to date.’ Cetek betulkan pemikiran orang zaman moden ni..
APA ITU CINTA?
Frasa yang selalu kita dengar…
Cintakan bunga, bunga akan layu..
Cintakan manusia, manusia akan mati..
Cinta yang kekal abadi adalah cintakan Allah s.w.t..
Cinta itu sangat luas skopnya dan ia adalah fitrah semulajadi manusia. Mengikut bahasa arabnya ialah al-hubb yang dimaksudkan juga dengan kasih sayang. Dalam sesebuah perhubungan, ikatan kasih sayang perlu ada dalam diri masing-masing agar kita boleh hidup dalam keadaan yang aman damai dan harmoni. Contohnya hubungan kekeluargaan, antara ibu bapa dan anak-anak serta adik-beradik perlulah ada perasaan cinta dan kasih sayang agar baitulmuslim yang dibina diredhai dan mampu melahirkan mujtama’ muslim yang gemilang. Selain itu, antara seorang ketua dengan orang bawahannya juga perlu disemai sifat ini supaya tidak berlaku ketidakadilan dan kezaliman. Dalam bersahabat pula, nilai cinta dan kasih sayang sangat penting untuk membina kepercayaan dan ikatan hati yang kuat. (di sinilah pentingnya kita mengamalkan bacaan doa rabithah)
Tapi perlu DIINGAT!!! Hubungan cinta dan kasih sayang yang saya sebutkan di atas haruslah berlandaskan iman dan bukan nafsu semata-mata terutama apabila melibatkan kaum berlainan jenis. Cinta yang halal bagi seorang lelaki dan wanita ialah apabila telah termeterai ikatan perkahwinan antara mereka. Inilah cinta yang diredhai oleh Allah jika disertakan dengan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ۬ وَلَا مُؤۡمِنَةٍ إِذَا قَضَى ٱللَّهُ وَرَسُولُهُ ۥۤ أَمۡرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ ٱلۡخِيَرَةُ مِنۡ أَمۡرِهِمۡۗ وَمَن يَعۡصِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُ ۥ فَقَدۡ ضَلَّ ضَلَـٰلاً۬ مُّبِينً۬ا
"Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata."
(Al-Ahzab,33:36)
AGAR DICINTAI, DIHARGAI, DIHORMATI DAN BERKARISMA
Rasulullah s.a.w bersabda : “Bersikap zuhudlah di dunia, nescaya Allah akan mencintaimu. Bersikap zuhudlah atas apa yang dimiliki manusia , nescaya manusia akan mencintaimu”
(HR Ibnu Majah dan Al-Hakim)
Cinta yang paling hakiki sememangnya adalah cintakan Allah s.w.t. Dan kita sukar memperolehi cinta manusia jika cinta kita kepada Allah s.w.t. tidak sebenar-benarnya. Namun dalam kita berusaha mendapatkan cinta hakiki kepada Allah Rabbul Jalil kita juga perlu berusaha untuk menjadikan diri kita dicintai bukan sahaja oleh Sang Pencipta bahkan oleh manusia di sekeliling kita. Inilah tujuan kenapa saya membicarakan soal cinta ini kerana dalam kita berjuang untuk menegakkan agama Islam dan mengembalikan ajaran Islam dalam masyarakat hari ini memerlukan kita agar dicintai, dihargai, dan dihormati oleh mereka melalui karismatik kita sebagai seorang dai’e, pemimpin, dan sahabat.
Setiap manusia inginkan hidup yang tenteram, berjaya bahkan ingin menjadi pemimpin atau seseorang yang mana perkataanya ingin didengar, diperhatikan, sekaligus dituruti sesuai dengan kehendak hatinya. Namun, banyak masalah yang kita alami apabila berinteraksi atau berhubung dengan orang lain. Ada yang bersungguh-sungguh bekerja, tetapi pekerjaannya masih tetap tidak dihargai. Ada juga yang berusaha bergaul, tapi masih belum mendapat tempat di hati orang lain. Ada yang sudah memiliki ilmu yang tinggi, tetapi perkataan dan nasihatnya susah diterima dan diikuti. Lebih menyedihkan lagi, seseorang itu sudah berhempas pulas berusaha agar dirinya disukai, dicintai dan dijadikan contoh, tetapi dirinya masih dibenci dan dijadikan musuh.
Tetapi ramai juga orang yang sangat berjaya dalam bidangnya samada dia seorang professional, atau orang biasa. Contoh paling dekat yang kita boleh ambil ialah Nabi Muhammad s.a.w. Baginda adalah orang yang paling berjaya mengambil hati manusia sehingga baginda dicintai, dihormati, dikagumi, disegani dan diakui kawan mahupun lawan. Bagaimana baginda berjaya?? Kerana baginda telah menerapkan metod dan sistem yang sangat ‘brilliant’ dalam mendekati manusia yang tentunya berdasarkan bimbingan dari Allah s.w.t . Metod-metod inilah antara yang yang dikupas oleh Muhammad bin Ismail ‘Umrani dalam buku berjudul “TAARUF CINTA”.
Buku yang menggariskan 31 cara untuk mengetuk pintu hati orang lain terhadap kita ini dibahaskan secara ringkas oleh penulis dengan berpandukan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Rasulullah s.a.w. Ini menunjukkan bahawa segala perkara yang berkaitan kehidupan seorang manusia di dunia ini telah digariskan oleh dua sumber utama ini tetapi ramai dalam kalangan kita tidak tahu cara mengaplikasikannya dalam hidup dengan betul walaupun ayat Al-Quran dan hadis sentiasa kita baca dan hafal.(sama-sama kita muhasabah ye..). Maka buku ini sedikit sebanyak memberikan panduan kepada mereka yang ingin memiliki karisma yang mampu menarik hati orang lain terhadapnya.
PEMBERSIHAN JIWA (THAYYIBAH)
Kunci kepada segala amalan, sifat, dan akhlak seseorang adalah bermula dari hati (jiwa). Hasil yang baik lahir dari jiwa dan hati yang bersih. Begitu juga sebaliknya. Meskipun elemen ini tidak diletakkan di awal kupasan buku ini, namun ia adalah elemen pertama dan terpenting perlu dititikberatkan oleh kita untuk mencapai martabat dicintai dan disayangi.
Thayyibah bererti kelapangan dada, kebersihan jiwa dan kelembutan hati. Akhlak yang thayyibah ini berpunca dari kesucian jiwa sebagaimana disebutkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadisnya:
“ Syaitan membuat tiga simpul di bahagian belakang kepala seorang dari kalian apabila sedang tidur, ia(syaitan) berada di atas setiap simpul tersebut dan berkata,” Engkau mempunyai malam yang panjang, maka tidurlah!”. Jika kamu bangun bangun, lantas menyebut nama Allah, terlepaslah satu simpulannya. Lalu jika kamu berwudhuk, terlepaslah satu simpulan lagi. Kemudian jika kamu melakukan solat, maka terlepaslah semua simpulan itu sehingga kamu menyambut pagi dengan penuh semangat dan jiwa yang bersih, tetapi jika tidak, kamu akan menyambutnya dengan jiwa yang kotor” (HR Al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah: kalimat thayyibun-nafsi(bersih jiwa) yakni menunjukkan kegembiraannya dengan adanya taufiq yang Allah berikan kepadanya dengan ketaatan, atas pahala yang dijanjikan untuknya dan kerana terlepasnya simpulan-simpulan syaitan tersebut. Secara zahir, sesungguhnya dalam solat malam terdapat rahsia yang berkaitan dengan kebersihan jiwa. (kitab Fathul Bari)
Orang yang memiliki hati yang bersih akan lebih berlapang dada dan lebih ceria pada sebahagian besar waktunya. Pernah sekali para sahabat melihat kepada Rasulullah s.a.w dan berkata salah seorang dari mereka:
“ Kami melihat diri engkau Ya Rasulullah hari ini begitu bersih jiwa.” Maka baginda berkata, “Benar, segala puji hanya bagi Allah.” Kemudian sebahagian dari mereka mencurahkan perhatian mereka kepada masalah kekayaan, maka baginda bersabda,” Kekayaan tidak menjadi masalah bagi orang yang bertakwa , kesihatan bagi orang bertakwa lebih baik dari kekayaan, dan kebersihan jiwa adalah salah satu bahagian dari nikmat Allah.” (HR Ibnu Majah)
Maka sangat tepatlah perbahasan hadis pertama (dari matan arba’in) yang membicarakan tentang niat kerana niat itu datangnya dari hati. Jika elok niat kita, maka baiklah amalan kita, begitu juga sebaliknya. Maka di sinilah bermula pembinaan karismatik kita sebagai seseorang yang akan DICINTAI, DIHARGAI, DAN DIHORMATI.
Berusahalah menjaga hati orang lain dari sesuatu yang menyakitkan..
Sebab mengembalikannya setelah kehancurannya sungguh menyulitkan..
Sesungguhnya jika hati orang lain telah lari dari kecintaan..
Laksana sebuah kaca yang hancur, tak lagi dapat disatukan..
Semoga manfaatnya dapat kita perolehi bersama sekiranya kita mengambil perbincangan ini untuk kegunaan bagi mendapatkan redha Allah s.w.t dalam kehidupan.
Jadilah insan berkarisma yang dicintai, dihargai dan dihormati dengan "TAARUF CINTA"….(“,)