Memaparkan catatan dengan label thaqafah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label thaqafah. Papar semua catatan
Lelaki & Perempuan Berhubung, Boleh Ke?

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) sering berlaku di mana-mana sama ada dalam menuntut ilmu, bergerak kerja berorganisasi, bidang pekerjaan, bersosial dengan masyarakat.

Namun, masih ramai yang keliru dengan hukum sebenar dan batasan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Ada ulama’ yang berpandangan bahawa ia haram, ada juga yang mengatakan bahawa ia harus.

Bersesuaian dengan zaman yang semakin mendepani cabaran ini, lebih sesuai kita mengambil hukum ikhtilat sebagai harus selagi mana kita mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana yang difatwakan oleh ulama’ kontemporari, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Ini kerana ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Maka, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan seperti penzinaan, bercouple, keruntuhan akhlak dan sebagainya.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, dalam buku beliau Fatawa Al Mar-atul Muslimah, pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh seperti menuntut ilmu, membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun ikhtilat ini dibolehkan, berikut adalah batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam:

[1] Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya, tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Firman Allah s.w.t:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apayang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,’’ (An-Nuur: 30-31)

[2] Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh. Firman Allah s.w.t:
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,” (Surah An-Nuur:31)

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan melalui firmanNya :
Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu.“(Al-Ahzab: 59)

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

[3] Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki, iaitu:

i. Percakapan, hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :
Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,”(Al-Ahzab:32)

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan,” (An-Nuur: 31)

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan,” (Al-Qasas:25)

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

[4] Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

[5] Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram atau teman di sisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama kerana semakin ‘terbakar’ kalau dibiarkan berdua. Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

[6] Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat contohnya mesyuarat dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa (anak-anak).

Jika dilihat kepada syarat-syarat di atas, penekanan untuk menjaga batas-batas adalah lebih kepada kaum perempuan tanpa mengabaikan peranan kaum lelaki dalam memelihara batas-batas pergaulan. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa perempuan jika tidak menjaga diri dengan baik akan mudah terdedah kepada fitnah, sebagaimana disebut dalam hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w:

Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku yang lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka saya menyeru khususnya buat mereka yang bergelar perempuan, wanita, muslimah dan mukminah, sama-samalah kita memelihara diri dengan sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan seharian kita supaya kita tidak mudah terdedah dan terjerumus dengan kebinasaan.

Memenuhi syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan diri kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah di saat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini, Ramadhan yang mulia. Wallahu’alam.

_________________________________________________

Disediakan oleh : Hana’ binti Salleh

Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3, Qur’an & Sunnah,

Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

NUZUL AL-QUR'AN
22 Ramadhan 1432H

Alhamdulillah syukur atas nikmat iman dan Islam kurniaan Allah SWT ke atas hambaNYA yang hina ini. Tidak terlewat untuk saya kongsikan pengisian mengenai Nuzul al-Quran memandangkan bulan Ramadhan adalah bulan turunnya al-Quran. Semoga bermanfaat untuk semua.


TURUNNYA AL-QURAN SECARA SEKALIGUS

Terdapat tiga ayat yang menjelaskan mengenai turunnya al-Qur’an secara sekaligus. Namun ketiga-tiga ayat tersebut sekilas terlihat bertentangan satu dengan yang lainnya. Ketiga-tiga ayat tersebut adalah:
[1] al-Baqarah, 2: 185
" (beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang bathil.."

[2] al-Qadr, 97:1
"Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan"

[3] ad-Dukhan, 44:3
"Sesungguhnya kami menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan Sesungguhnya Kami-lah yang memberi peringatan."

Sebenarnya ketiga-tiga ayat di atas tidak saling bertentangan, kerana malam yang diberkahi [ad-Dukhan, 44:3] adalah malam lailatul Qadr [al-Qadr, 97:1] yang berada di bulan Ramadhan [ad-Dukhan, 44:3]. Dan diturunkannya secara sekaligus. Namun yang terlihat bertentangan adalah, antara turunnya al-Quran secara sekaligus berdasarkan ayat-ayat di atas, dengan realiti kehidupan Rasulullah SAW, di mana dikatakan bahawa al-Quran diturunkan selama lebih kurang 23 tahun.

Pandangan-pandangan Mengenai Penurunan al-Quran
Menanggapi hal tersebut, ulama memiliki beberapa pandangan yang secara singkat dapat disimpulkan menjadi 3 pandangan:

[1] Mazhab Pertama (Ibnu Abbas dan beberapa ulama’)
Yang dimaksud dengan turunnya al-Quran dalam ketiga-tiga ayat di atas adalah turunnya al-Quran secara sekaligus ke Baitul Izzah di langit dunia. Kemudian setelah itu, al-Quran diturunkan secara bertahap kepada Rasulullah SAW selama lebih kurang 23 tahun, sesuai dengan peristiwa-peristiwa dan kejadiaN-kejadiannya. Ibnu Abbas mengatakan:
أنزل القرآن في ليلة القدر في شهر رمضان إلى سماء الدنيا جملة واحدة ثم أنزل نجوما
"Al-Quran diturunkan pada malam lailatul Qadr pada bulan Ramadhan ke langit dunia secara sekaligus, kemudian diturunkan secara bertahap."

[2] Mazhab Kedua (as-Sya’bi)
Yang dimaksud dengan turunnya al-Quran dalam ketiga-tiga ayat di atas ialah permulaan turunnya al-Quran kepada Rasulullah SAW, yang terjadi pada malam lailatul Qadr di bulan Ramadhan, yang merupakan malam yang diberkahi. Kemudian berlanjut penurunannya secara bertahap sesuai dengan kejadian dan peristiwa-peristiwa selama lebih kurang 23 tahun. Kesimpulan dari pendapat ini adalah bahawa al-quran hanya memiliki satu kali penurunan, iaitu turun secara bertahap ke Rasulullah SAW yang dimulai di bulan Ramadhan pada malam yang diberkahi, iaitu malam lailatul Qadr. Adapun dalil yang digunakan adalah: [al-Isra’, 17: 106]
"Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan berangsur-angsur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkannya bagian demi bagian."

[3] Mazhab Ketiga (ijtihad sebahagian mufassir)
Sebahagian ulama’ lain mengemukakan bahawa al-Quran diturunkan le langit dunia selama 23 malam lailatul Qadr, ertinya pada setiap tahun, Allah menurunkan al-Quran pada malam lailatul Qadr ke langit dunia dengan sejumlah ayat tertentu, untuk kemudian diturunkan secara beransur kepada Rasulullah SAW sepanjang satu tahun.

Daripada ketiga-tiga pendapat di atas, pendapat yang dijadikan sandaran bagi para ulama’ adalah pendapat yang pertama, yang dikemukakan oleh Ibnu Abbas r.a., adapun pendapat kedua yang dikemukan oleh As-Sya’bi, dengan dalil-dalil yang sahih juga diterima dan tidak bertentangan dengan pendapat Ibnu Abbas (al-Qattan, 1995: 103)

Mengenai kesahihan pendapat pertama, Imam al-Qurtubi mengutip riwayat dari Muqatil bin Hayyan yang mengemukakan tentang adanya kesepakatan atau ijma’ ulama’ bahawa al-Quran diturunkan secara sekali gus dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia.

TURUNNYA ALQURAN SECARA BERANSUR-ANSUR

Adapun mengenai diturunkannya al-Quran secara beransur-ansur, dalam al-Quran terdapat beberapa dalil yang menunjukkan al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Di antara dalil-dalil tersebut adalah:
[1] as-Syu'ara, 26:192-195
"Dan Sesungguhnya Al Quran Ini benar-benar diturunkan oleh Tuhan semesta Alam, Dia dibawa turun oleh Ar-Ruh Al-Amin (Jibril), Ke dalam hatimu (Muhammad) agar kamu menjadi salah seorang di antara orang-orang yang memberi peringatan, Dengan bahasa Arab yang jelas."

[2] an-Nahl, 16: 102
"Katakanlah: "Ruhul Qudus (Jibril) menurunkan Al Quran itu dari Tuhanmu dengan benar, untuk meneguhkan (hati) orang-orang yang Telah beriman, dan menjadi petunjuk serta kabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)"."

[3] al-Jathiyah, 45:2
"Kitab (ini) diturunkan dari Allah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

[4] al-Baqarah, 2: 23
"Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al Quran yang kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), buatlah satu surat (saja) yang semisal Al Quran itu dan ajaklah penolong-penolongmu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar."

[5] al-Baqarah, 2: 97
"Katakanlah: "Barang siapa yang menjadi musuh Jibril, Maka Jibril itu Telah menurunkannya (Al Quran) ke dalam hatimu dengan seizin Allah; membenarkan apa (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjadi petunjuk serta berita gembira bagi orang-orang yang beriman."

Berdasarkan ayat2 di atas, dapat disimpulkan hal-hal berikut:
[1] al-Quran adalah kalam Allah yang lafaznya berbahasa arab.
[2] Jibril telah menurunkannya ke dalam hati Rasulullah SAW.
[3] turunnya al-Quran ini bukanlah yang pertama ke langit dunia, namun yang dimaksud adalah turunnya secara bertahap.

Kemudian kita perhatikan, ayat-ayat di atas menggunakan lafaz tanzil dan bukan lafaz inzal. Dan dalam kaedah bahasa arab, para ulama’ juga membezakan antara keduanya:
الإنزال والتنزيل
Tanzil bererti turun secara beransur-ansur, sedangkan inzal hanya menunjukkan turun atau menurunkan dalam erti umum.

Dan jika diperhatikan ayat-ayat di atas, Allah SWT menggambarkannya dengan lafaz tanzil dan tidak menggunakan lafaz inzal. (Tanzil merupakan bentuk masdar dari nazzala; dengan tasydid pada huruf za’). Hal ini menunjukkan bahawa al-Quran diturunkannya secara bertahap. Menguatkan hal tersebut adalah firman Allah SWT: [Al-Isra’, 17;106]
"Dan Al Quran itu telah Kami turunkan dengan berangsur-angsur agar kamu membacakannya perlahan-lahan kepada manusia dan kami menurunkannya bagian demi bagian."

Apakah Kitab-Kitab Terdahulu Juga Diturunkan Secara Beransur-Ansur?

Dari penjelasan ini, muncul pertanyaan: jika al-Quran diturunkan dari Baitul Izzah di langit dunia kepada Rasulullah SAW secara bertahap, maka bagaimanakah dengan kitab-kitab yang terdahulu. Apakah kitab-kitab terdahulu itu diturunkan secara bertahap atau secara sekaligus?

Menanggapi pertanyaan tersebut, al-Qattan (1995: 106) mengemukakan,bahawa kitab-kitab samawi yang lain seperti Taurat, Injil dan Zabur diturunkan secara sekaligus dan tidak beransur-ansur. Hal ini dikuatkan dengan firman Allah SWT: [al-Furqan, 25: 32]
"Berkatalah orang-orang yang kafir: "Mengapa Al Quran itu tidak diturunkan kepadanya sekali turun saja?"; demikianlah supaya kami perkuat hatimu dengannya dan kami membacanya secara tartil (teratur dan benar)."

Ayat ini menunjukkan bahawa kitab-kitab samawi yang terdahulu diturunkan secara sekaligus. Kerana sekiranya kitab-kitab terdahulu diturunkan secara beransur-ansur, tentulah orang kafir tidak akan merasa hairan terhadap al-Quran yang turun secara beransur-ansur.

HIKMAH DITURUNKAN AL-QURAN SECARA BERTAHAP

[1] تثبيت فؤاد رسول الله صلى الله عليه وسلم
Untuk menguatkan dan meneguhkan hati Rasulullah SAW.

[2] للتحدي والإعجاز
Untuk memberikan tentangan dan menbuktikan kemukjizatan.

[3] تيسيرحفظه وفهمه
Agar mempermudahkan hafalan dan pemahamannya.

[4] مسايرة الحوادث والتدرج في التشريع
Adanya keselarasan dengan peristiwa-peristiwa, serta tadarruj (pentahapan) dalam penetapan hukum.

[5] الدلالة القاطعة أن القرآن الكريم تنزيل من حكيم حميد
Sebagai bukti bahawa al-Quran bersumber dari Allah SWT.

والله أعام بالصواب
by Rikza Maulan Lc., M. Ag
sumber: Nuzulul Quran.pdf