Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label muhasabah. Papar semua catatan
JAGA LIDAH ANDA
 Check FB tadi terjumpa satu status sorang kawan, bunyinya begini:

"Kita ada pilihan untuk tidak sakitkan hati orang. Kalau orang tersebut salah, betulkan. Bukan dengan cara perli. Tolonglah jangan perli. Budaya apa tu?"

Betul kata-kata kawan saya tu, kita kadang-kadang lupa bahawa kata2 yang keluar dari mulut boleh jadi akan menggembirakan orang yang mendengarnya, boleh jadi akan menyakitkan orang yang mendengarnya.

Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah s.w.t mengurniakan lidah yang sempurna kepada kita, tapi kita sebagai hambaNYA sering terlupa untuk BERSYUKUR dan hargai segala kurniaan yang besar ini dengan menyalahgunakan lidah untuk bercakap perkara yang sia-sia hingga boleh menyakitkan hati orang lain.

Daripada status FB kawan saya di atas, mungkin orang itu ingin menegur sahabatnya, tetapi caranya tidak kena iaitu dengan kaedah perli, kerana tidak semua hati manusia boleh menerima perlian walaupun dia adalah orang yang rapat dengan kita. Maka, adalah baik jika kita memilih jalan selamat dengan berkata yang baik-baik dalam teguran, kerana Rasulullah s.a.w apabila berkata-kata, sangat lembut dan berhikmah sehingga boleh menyentuh hati seorang yang bukan islam.

Jom kita muhasabah bersama:



Berdiam diri pula tidak bermakna kita harus jadi seorang yang memang pendiam, sehingga menyebabkan maksiat dan kemungkaran berleluasa. Pilihlah cara yang berhikmah, insyaAllah mudah-mudahan lambat atau cepat, terima atau tidak, bukan kita yang menentukan.


Peringatan buat diriku yang sering terlupa,



Kita di Penghujungnya
28 Ramadhan 1433 H

Ramadhan semakin melabuhkan tirai. Jika di negara Arab, hari ini merupakan hari terakhir mereka bersama-sama Ramadhan. Alhamdulillah berkesempatan mengaminkan doa qunut yang dibaca oleh imam Masjidil haram pagi tadi. Terasa sayu dan sebak. Adakah sempat untukku bersama-sama Ramadhan akan datang? Yang lebih dekat, adakah sempat untukku bersama-sama Ramadhan ini sehingga ke akhirnya? 

Terlalu banyak ibrah yang boleh kita ambil dari bulan yang mulia ini. Apakah kita tahu? Jika kita tahu, adakah kita benar-benar menghayati makna tarbiyah disebalik semua yang berlaku? Jom kita soroti sejarah yang berlaku dalam bulan Ramadhan. 


PERISTIWA-PERISTIWA DALAM BULAN RAMADAN

1. Perang Badar Al-Qubra
Perang Badar terjadi pada tahun ke-2 setelah hijrah di bulan Ramadhan. Bagi kaum muslimin, perang Badar mempunyai arti sejarah tersendiri, sebagai tonggak sejarah terpisahnya kubu Al-Haq dan kubu Al-Bathil. Perang itu tepatnya terjadi tanggal 17 Ramadhan.

2. Peristiwa Nuzul Al-Quran 
Peristiwa turunnya ayat al-Qur'an yang pertama kepada Nabi Muhammad s.a.w. hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada hari ini. Peristiwa Nuzul Al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. ketika baginda sedang beribadat di Gua Hira, bersamaan dengan tanggal 6 Ogos 610M. Perkataan "Nuzul" bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa Al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

3. Persiapan tentera Islam menghadapi Perang Khandaq/Ahzab
Rasulullah saw meminta pandangan para sahabatnya dalam menghadapi peperangan ini. Salman al-Farisi mengusulkan supaya digali parit di sekitar kota Madinah. Kemudian bersama Rasulullah saw kaum Muslimin keluar dari kota Madinah dan berkemah di lereng Gunung Sila dengan membelakanginya. Mereka mulai menggali parit yang memisahkan mereka dengan musuh mereka. Waktu itu jumlah kaum Muslimin sebanyak tiga ribu sedangkan kaum Quraisy bersama kabilah-kabilah lain berjumlah sepuluh ribu.

4. Perang Tabuk 
Dalam sejarah Islam, peperangan ini merupakan peperangan terakhir bagi Nabi Muhammad s.a.w. Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 631 M). Keadaan cuaca pada ketika itu adalah terlalu panas terik dan tempat berlakunya peperangan itu, Tabuk merupakan destinasi padang pasir yang terlalu jauh menyukar para musafir. Setelah segala-galanya selesai tentera Islam berjalan pulang ke Madinah di bulan Ramadan dengan selamatnya tanpa seorang pun yang terkorban nyawa.

5. Pembukaan kota Mekah 

Berikutan dengan perlanggaran perjanjian Hudaibiyah oleh kaum musyrikin Mekah, Nabi Muhammad SAW dan umat islam mengambil keputusan untuk menyerang dan memasuki Kota Mekah. 

6. Tertawannya Garis Bar Lev, Israel
Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung Sinai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di Sinai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev.
Israel bermegah dengan kubu Bar Lev yang didakwa tidak dapat ditawan kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. 

7. Perang Ain Jalut
Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di Ain Jalut. Dalam pertempuran itu, tentera Islam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.

8. Kekalahan Tentera Salib
Perang Hittin, salah satu perang besar dalam sejarah dunia, yang dimenangi pasukan Islam. Guy dan Reynald ditawan dan dihadapkan ke hadapan Salahudin. Reynald dibunuh oleh Salahudin dan Guy diseret Salahudin ke Jerusalem. Pasukan Islam memenangi pertempuran di Arce lima hari selepasnya. Wilayah dari Gaza hingga Jubayl dikuasai Salahudin pada awal September. Pada hari Jumaat, 2 Oktober 1187, Salahudin berjaya menawan Jerusalem. Jatuhnya Jerusalem ke tangan umat Islam adalah puncak kejayaan Salahudin dalam memimpin umat Islam semasa Perang Salib. Merebut Jerusalem dari tangan kaum Frank adalah cita-cita terbesar Salahudin dan Perang Salib Kedua berakhir dengan kemenangan umat Islam.

9. Perluasan negara Islam di Andalus.
Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus. Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

10. Pembebasan Sinai

Tentera Mesir dan Syria menyerang Israel serentak pada hari perayaan Yahudi Yom Kippur. Mesir menyerang kubu sekitar Terusan Suez dan Sinai sementara Syria menyerang kubu di Bukit Golan dan Israel mengalami kerosakan teruk. Walaubagaimanapun, Mesir gagal menembusi kubu pasir Bar Lev walaupun menggunakan teknologi ketenteraan yang mahal. Amerika Syarikat membekalkan senjata kepada Israel selepas tiga minggu peperangan dan mereka berjaya mengundurkan tentera Arab dan merampas kembali Sinai dan Bukit Golan.

Ramadhan tahun ini, kita menyaksikan umat islam di Syria dan Rohingya berada di medan jihad, sebagaimana yang pernah di alami oleh umat Islam terdahulu. Walaupun kemenangan masih bukan milik Islam di saat Ramadhan ini, betapa bertuahnya mereka kerana mereka benar-benar berjihad melalui peperangan dengan nyawa sehingga syahid di bulan mulia dan penuh barakah ini. Semoga Allah menempatkan mereka di dalam Syurga Firdaus dan memberikan kemenangan Islam di mana sahaja.

Sedangkan kita, sebulan ini kita berperang dengan hawa nafsu kita sendiri. Menahan lapar dan dahaga, menahan diri dari melakukan maksiat. Lalu di manakah tempat kita? Adakah segala amalan kita diterima? Adakah kita  berubah ketika Ramadhan tiba sahaja? Tepuk dada, tanya Iman. Kita di takuk sebagai hamba Allah yang sebenar-benarnya atau sekadar menjadi hamba Ramadhan? 

Mudah-mudahan Allah menerima segala amal ibadat yang kita lakukan sepanjang Ramadhan ini. Berdoalah supaya setiap amalan yang kita buat dan mulakan di dalam bulan ini, berterusan menjadi amalan harian kita seharian apabila graduasi dari Madrasah Ramadhan ini. Ramadhan yang sama, natijah yang berbeza.

~اللّهم إنّك عفوّ كريم تحبّ العفوا فاعف عنّا~



Lelaki & Perempuan Berhubung, Boleh Ke?

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) sering berlaku di mana-mana sama ada dalam menuntut ilmu, bergerak kerja berorganisasi, bidang pekerjaan, bersosial dengan masyarakat.

Namun, masih ramai yang keliru dengan hukum sebenar dan batasan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Ada ulama’ yang berpandangan bahawa ia haram, ada juga yang mengatakan bahawa ia harus.

Bersesuaian dengan zaman yang semakin mendepani cabaran ini, lebih sesuai kita mengambil hukum ikhtilat sebagai harus selagi mana kita mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana yang difatwakan oleh ulama’ kontemporari, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Ini kerana ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Maka, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan seperti penzinaan, bercouple, keruntuhan akhlak dan sebagainya.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, dalam buku beliau Fatawa Al Mar-atul Muslimah, pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh seperti menuntut ilmu, membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun ikhtilat ini dibolehkan, berikut adalah batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam:

[1] Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya, tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Firman Allah s.w.t:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apayang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,’’ (An-Nuur: 30-31)

[2] Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh. Firman Allah s.w.t:
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,” (Surah An-Nuur:31)

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan melalui firmanNya :
Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu.“(Al-Ahzab: 59)

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

[3] Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki, iaitu:

i. Percakapan, hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :
Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,”(Al-Ahzab:32)

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan,” (An-Nuur: 31)

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan,” (Al-Qasas:25)

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

[4] Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

[5] Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram atau teman di sisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama kerana semakin ‘terbakar’ kalau dibiarkan berdua. Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

[6] Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat contohnya mesyuarat dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa (anak-anak).

Jika dilihat kepada syarat-syarat di atas, penekanan untuk menjaga batas-batas adalah lebih kepada kaum perempuan tanpa mengabaikan peranan kaum lelaki dalam memelihara batas-batas pergaulan. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa perempuan jika tidak menjaga diri dengan baik akan mudah terdedah kepada fitnah, sebagaimana disebut dalam hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w:

Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku yang lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka saya menyeru khususnya buat mereka yang bergelar perempuan, wanita, muslimah dan mukminah, sama-samalah kita memelihara diri dengan sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan seharian kita supaya kita tidak mudah terdedah dan terjerumus dengan kebinasaan.

Memenuhi syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan diri kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah di saat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini, Ramadhan yang mulia. Wallahu’alam.

_________________________________________________

Disediakan oleh : Hana’ binti Salleh

Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3, Qur’an & Sunnah,

Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN

PESANAN SYEIKH AHMAD YASSIN (1938-2004) KEPADA PEMUDA DAN PEMUDI

Wahai anak-anakku, telah tiba saatnya kalian kembali kepada ALLAH swt dengan meninggalkan pelbagai keseronokan dan kealpaan kehidupan dan menyingkirkannya jauh daripada kehidupan kalian. Telah tiba saatnya kalian bangun dan melakukan solat subuh secara berjemaah. Sudah sampai saatnya untuk kalian menghiasi diri dengan akhlak yang mulia, mengamalkan kandungan al-Quran serta mencontohi kehidupan Nabi Muhammad saw.

Aku menyeru kalian wahai anak-anakku untuk solat tepat pada waktunya. Lebih dari itu, aku mengajak kalian wahai anak-anakku, untuk mendekat diri kepada sunnah Nabi kalian yang agung.

Wahai para pemuda, aku ingin kalian menyedari dan menghayati makna tanggung jawab. Kalian harus tegar menghadapi kesulitan hidup dengan meninggalkan keluh kesah. Aku menyeru kalian untuk menghadap ALLAH SWT dan memohon keampunan dari-Nya agar Dia memberi rezeki yang berkat kepada kalian. Aku menyeru kalian supaya menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.Aku ingin kalian tidak tertidur oleh alunan-alunan muzik yang melalaikan, melupakan kata-kata yang menyebutkan cinta kepada manusia dan dunia serta menggantikannya dengan kata amal, kerja dan zikir kepada ALLAH. Wahai anak-anakku, aku amat berharap kalian tidak sibuk dengan muzik dan tidak terjerumus ke dalam arus syahwat.

Wahai puteriku, aku ingin kalian berjanji kepada ALLAH akan mengenakan hijab secara jujur dan betul. Aku meminta kalian berjanji kepada ALLAH bahawa kalian akan mengambil peduli tentang agama dan Nabi kalian yang mulia. Jadikanlah ibunda kalian, Khadijah dan Aisyah, sebagai teladan. Jadikan mereka sebagai pelita hidup kalian. Haram hukumnya bagi kalian untuk melakukan sesuatu yang boleh menarik perhatian pemuda supaya mendekati kalian.Kepada semua, aku ingin kalian bersiap sedia untuk menghadapi segala sesuatu yang akan datang. Bersiaplah dengan agama dan ilmu pengetahuan. Bersiaplah untuk belajar dan mencari hikmah. Belajarlah bagaimana hidup dalam kegelapan yang pekat. Latihlah diri kalian agar dapat hidup tanpa elektrik dan peralatan elektronik. Latihlah diri kalian untuk sementara waktu merasakan kehidupan yang sukar.

Biasakan diri kalian agar dapat melindungi diri dan membuat perancangan untuk masa depan. Berpeganglah kepada agama kalian. carilah sebab-sebabnya dan tawakal kepada ALLAH.
STOP! STOP!
Bagaimana pandangan awak tentang remaja kita yang terlanjur?”
“Apa maksud terlanjur?” saya menyoalnya kembali.

Terlanjur melakukan hubungan seks haram” balasnya terus-terang.
“Bagi saya istilah terlanjur itu tidak tepat.”

Apa istilah yang lebih tepat?
“Berzina!” jawab saya pendek.

Lelaki itu kehairanan lalu mencebik seraya berkata, “kasar sangat bunyinya tu. Nanti remaja yang terlanjur takut.
“Mereka tidak akan takut. Mereka berani. Sebab mereka beranilah mereka berzina.”

Lagi-lagi awak gunakan istilah zina. Kasar sangat bunyinya tu.
“Itu istilah yang tepat. Itu istilah Al Quran. Jika digunakan ada impak pada pendengarnya. Kita teringat Allah, Al Quran, iman dan Islam.”
Dia diam. Tetapi riak mukanya jelas seakan tidak bersetuju.
“Saya rasa istilah terlanjur itu yang tidak tepat,” saya pula yang menerjahnya.

Eh, kenapa? Memang mereka terlanjur. Mereka tidak tahu akibat perbuatan mereka.
Saya tersenyum. Lucu. Kenyataan yang separa logik.
“Zina tidak berlaku tiba-tiba. Ia didahului oleh mukadimah-mukadimahnya,” balas saya.

Ai, zina pun ada mukadimahnya?
“Itulah perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang boleh membawa zina. Zina itu adalah hasil daripada satu proses yang berlaku satu demi satu. Tingkat demi tingkat.”

Saya tak faham. Cakap awak berbelit-belit!
“Saya hanya menerangkan apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.” jawab saya pendek.

Kita jangan libatkan agama. Ini masalah sosial,” katanya terus-terang.
“Saya dan awak orang Islam. Islam tu cara hidup. Dan Nabi Muhammad adalah teladan ikutan kita bersama.”

Baik-baik. Teruskan…
“Zina itu ada mukadimahnya. Antaranya, pandangan mata, lidah yang berkata-kata, sentuhan tangan, deria bau melalui hidung dan akhir sekali barulah melibatkan kemaluan.”

Ok. Apa maksud awak?” Saya renung matanya. Dia bukan orang awam biasa. Dia seorang intelektual yang sering membentangkan kertas kerja tentang masalah sosial remaja di seminar-seminar di IPT.
“Zina dimulakan dengan pandangan. Pandangan mata sangat mempengaruhi hati. Bila pendedahan aurat berleluasa, remaja sukar menjaga mata. Bila ada yang mendedahkan, ramai pula yang melihatnya dan dari situ timbullah rangsangan…”

Habis awak nak semua wanita tutup aurat? Mustahil!” balasnya.
“Ya, saya akui agak sukar. Tetapi itu tidak mustahil. Bukankah ini ajaran Islam? Islam itu ajaran yang praktikal dan sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Remaja perempuan tutup aurat. Remaja lelaki tundukkan pandangan. Jadi, satu proses ke arah zina telah diatasi. Ini yang dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh dahulu.”

Itu dulu. Langit masih tertutup, sekarang langit sudah terbuka!
“Bukan masalah langit, terbuka atau tidak. Tetapi yang lebih penting hati kita mesti terbuka untuk menerima panduan Islam kerana kita orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari akhirat.”

Lagi-lagi akhirat. Sekarang kita bercakap soal dunia. Masalah dunia. Kita di sinilah, bukan di sana.
Tanpa sedar terasa seakan-akan hendak saya gelengkan kepala. Mujur saya cepat sedar dan hanya mengerling mata .
“Tuan, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia.”

Fasal apa pula?
“Sebab orang yang yakin kepada hari Akhirat akan mengatur hidupnya dengan keyakinan bahawa setiap perbuatannya akan diberi pembalasan oleh Allah di akhirat. Ada pahala, ada dosa. Ada syurga, ada neraka. Itulah kawalan dari dalam dirinya untuk tidak melakukan kejahatan sama ada di hadapan atau di belakang orang!”

Kembali kepada topik asallah. Saya tidak suka meleret-leret,” pintasnya agak kasar.
“Zina sentuhan pula ialah pergaulan bebas. Bila dipandang, tergerak untuk disentuh. Islam menyekat pergaulan bebas lelaki wanita. Tidak boleh bergaul sesuka hati apatah lagi sampai ke peringkat berdua-duaan tanpa mahram.”
Belum sempat dia menyampuk saya menambah lagi, “tetapi pergaulan bebas inilah yang terus digalakkan, dipromosikan dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.”

Awak nak sekat interaksi dan komunikasi antara wanita dan lelaki? Mustahil!
“Interaksi yang bagaimana? Komunikasi yang bagaimana? Dalam Islam cukup jelas bagaimana wanita dan lelaki boleh berinteraksi. Dalam pendidikan, dalam perniagaan, dalam perundangan dan lain-lain. Pergaulan tidak disekat, tetapi dikawal. Islam bukan anti pergaulan atau interaksi sosial tetapi menyekat pergaulan bebas tanpa batas yang menjurus kepada perlakuan seks bebas kerana adanya pandangan yang liar dan sentuhan yang di luar batas!”

Bagaimana awak nak capai semua tu. Itu satu utopia.
“Bukan satu utopia kalau kita bermula. Di peringkat keluarga kita cuba didik, kawal anak-anak kita. Di sekolah peranan guru-guru pula. Di IPT tentulah orang semacam awak, para pensyarah. Dalam media massa cetak dan elektronik tentulah pihak berkuasa yang memainkan peranan.”

Habis awak ingat semua pihak dah tak berperanan?
“Saya bimbang… Dalam keadaan kita menjerit, melolong dan memekik tentang masalah buang bayi tetapi budaya ‘mukadimah’ zina anehnya terus diperagakan dan dipromosikan. Lihat sahaja media massa kita, kekadang di sebelah cerita buang bayi, ada gambar wanita mendedahkan aurat. Iklan apa sahaja produk, budaya bergaul bebas seperti menari bersama, dating dan bergaul bebas itulah yang diiklankan juga.”

Awak kolot. Itu kan ada nilai komersial?
“Saya kasihan remaja masa kini. Mereka hidup di tengah peluang untuk melakukan zina yang begitu besar dan luas sekali. Jalan ke arah zina diperluas. Tetapi jalan ke arah pernikahan halal dipersempit dengan pelbagai syarat dan adat yang tidak relevan dan signifikan.”

Kita perlu realistik. Kita perlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan kukuh.
“Dan untuk itu kita perlu membayarnya dengan mengorbankan maruah dan iman anak-anak remaja kita?”

Sejak tadi saya bercakap macam mana kita nak atasi masalah buang bayi. Itu sahaja. Tetapi awak yang melencong bercakap tentang zina…
“Tuan, masalah buang bayi ini produk kepada masalah zina. Anak yang dibuang itu hasil zina. Cegah zina, selesailah masalah buang bayi. Dan nak cegah zina perlu dicegah dulu mukadimah-mukadimah zina. Ini bukan pendapat saya. Tetapi ini ditegaskan oleh Allah dalam Al Quran apabila Allah memberi amaran dan peringatan, jangan kamu hampiri zina!”

Awak dah mula emosi. Janganlah emosional.
“Tuan, jika saya salah kerana beremosi. Tuan juga salah kerana tidak beremosi. Sayang, cintakan umat, membenci kemungkaran adalah soal perasaan. Ini soal hati. Ini berkait dengan iman. Tidak ada iman bagi mereka yang melihat kemungkaran tanpa rasa benci!”

Islam menyuruh kita membenci?
“Benci kepada kemungkaran bukan kepada yang melakukannya! Pada yang melakukannya kita perlu berdakwah, memberi didikan, memberi alternatif, dengan penuh kasih sayang dan hikmah.”
“Kalau iman kita kuat, apa sahaja yang di luar tidak mempengaruhi dalaman kita. Kita ada sistem penapis dalam atau ‘self censord’. Kita tidak perlu sekatan mahu pun kawalan.”
“Betul kah iman kita kuat? Betul kah iman remaja kita kuat? Dan satu lagi, betulkah orang yang mempunyai iman yang kuat tidak perlukan kawalan dan peraturan? Sekuat-kuat iman pun masih perlukan syariat. Bahkan mematuhi syariat itulah bukti orang beriman.”

Apa awak cakap ni?
“Maksud saya, benarkah iman kita kuat? Mana program yang membina iman? Memang ada sedikit, tetapi ditenggelamkan oleh program hedonisme yang berlambak-lambak. Iman itu ada bajanya, ada racunnya. Kalau kita menabur racun manakan tumbuh pohonnya, apatah lagi buahnya? Bahkan benihnya yang sedia ada pun boleh mati.”

Banyak sangat perlambangan!
“Dan orang yang kuat iman sekalipun masih diwajibkan mematuhi syariat atau peraturan Islam. Rasulullah s.a.w, manusia yang paling kuat iman, namun semasa menerima bai’ah daripada kaum wanita baginda sendiri tidak bersalaman dengan mereka. Isteri-isteri Rasulullah kuat iman, tetapi mereka tetap menutup aurat dan sangat menjaga pergaulan mereka sekalipun dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang juga kuat imannya.”

Itu sejarah.
“Bukan. Itu bukan hanya sejarah. Sejarah itu adalah ibrah. Untuk dikaitkan dengan masa kini dan dijadikan teladan. Kita jangan gunakan akal semata-mata, tetapi gunakanlah akal dengan suluhan wahyu dan sunnah.”

Awak sindir saya?
Tanpa memberi respons pada provokasinya saya meneruskan, “saya masih ingat dengan akal fikiranlah, dulu ada idea yang menyarankan kita agar tidak menutup pintu langit. Jangan sekat akses itu dalam Internet. Cukup dengan iman masing-masing untuk menapis pornografi. Tetapi sekarang ada idea yang menyarankan perlu disekat akses Internet yang berunsur pornografi. Masalah manusia moden bukan tak pandai… tetapi memandai-mandai.”

Bagaimana pandangan awak tentang sekolah remaja hamil?” tiba-tiba dia pula yang mengalih tajuk perbualan.
“Baguslah. Tetapi saya tidak berminat membuang sampah di hilir atau muara sungai sedangkan ada pihak yang terus membuang sampah di hulunya!”

Apa maksud awak?
“Betul, remaja hamil anak zina perlu dilindungi dan dididik. Tetapi remaja yang belum hamil dan belum dinodai lebih ramai lagi di luar sana. Ramai yang bakal menjadi mangsa jika sikap dan budaya ‘mukadimah’ zina terus disuburkan. Apa gunanya kalau kita hanya mengubat akibat, jika puncanya terus dibiarkan malah diperagakan? “

Jadi awak setuju atau tidak?
“Itu soalan kemudian. Yang pertama atau utama, saya ingin menyoal awak. Awak setuju atau tidak semua mukadimah zina yang ada ini dicegah? Dalam Islam kaedah ini dinamakan ‘sazdus zaraik’. Kempen tutup aurat, kempen anti pergaulan bebas dan kempen mengerjakan solat perlu diperhebat! Ini kempen ‘buka hati’ untuk hadapi langit terbuka!”

Ei, ada kempen solat juga?
“Ya Allah, bukankah solat mampu mencegah kemungkaran? Cuba lihat statistik berapa ramai remaja yang meninggalkan solat? Ada kajian dulu yang saya dengar sudah di tahap 80% umat Islam sudah tidak solat. Remaja kita bagaimana? ‘Retua’ yang mendidik remaja pula bagaimana?”

Wah, awak nak cakap tentang solat pula...”
Saya diam. Berdoa. Betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami, menghayati dan mengamalkan serta memperjuangkan agamanya. Padahal ajaran Islam itu berkait antara satu sama lain. Ada kesan berangkai yang jika diamalkan, ada kesan baik kepada bidang yang lain. Dan ada kesan buruk secara berangkai bila salah satu ajarannya ditinggalkan. 

Justeru, Allah telah memberi peringatan: Masuklah Islam secara keseluruhan! Soalnya, apakah kita sudah Islam seluruh, sepenuh? Langit sejak dulu telah terbuka dengan turunnya wahyu, bukankah Islam itu agama samawi? Tetapi hati kitalah yang tertutup untuk menerima cahayanya. Apa gunanya langit terbuka, jika mata hati tertutup? Hasilnya, hati dan diri kita tetap gelap dalam limpahan cahaya!


"SHARING IS CARING"




TERSENTAP

Kisah 1

Dalam satu diskusi, timbul perbincangan mengenai tahap penguasaan ilmu seseorang individu yang masih menuntut ilmu. Perbincangan berkisar tentang kebolehan seseorang yang belajar di bidang professional dalam menguasai ilmu agama. Perbincangan mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan ahli diskusi. Lalu bangunlah seorang lelaki berkata:
Saya lihat dalam kelompok kita yang berkecimpung dalam gerak kerja dakwah nie, berapa ramaikah di kalangan mereka yang mengambil jurusan agama mampu mengadaptasi ilmu yang dipelajari ke dalam gerak kerja dakwah samada dalam bentuk teori atau praktikal. Bahkan, jujur saya katakan, saya melihat mereka yang belajar di jurusan bukan agama lebih hebat ilmu agamanya berbanding dengan mereka ini…”

TERSENTAP hati kecil itu mendengarnya....

Kisah 2

Berlangsung satu program untuk melatih dai’e dalam berhadapan dengan fenomena masyarakat hari ini. Dalam satu slot praktikal, salah seorang peserta telah mengeluarkan satu dalil yang diyakininya di ambil dari ayat al-Quran. Tiba-tiba, kenyataannya disangkal oleh seorang fasilitator yang merupakan penghafaz al-Quran, beliau mengatakan bahawa dalil tersebut bukan dari ayat al-Quran. Maka, terkedu peserta tersebut dengan sangkalan tersebut, lalu terus terdiam. Berkata salah seorang fasilitator yang lain:
Bagaimana nak berdakwah, sedangkan dalil pun tak tahu sumbernya dari mana..??”

Hati itu TERSENTAP lagi....

Kisah 3

Satu sesi pembelajaran subjek tafsir sedang berlangsung. Bertanya pensyarah tersebut kepada para pelajarnya, siapakah yang mengikuti program seminar Qiraat yang diadakan hujung minggu sebelum itu? Semua pelajar terdiam.. lalu pensyarah tersebut berkata:
Bagaimana nak menguasai ilmu al-Quran jika ilmu yang berkait rapat dengannya kita tak ikuti. Banyak pengetahuan kita boleh dapat dari seminar tersebut, lebih-lebih lagi pelajar jurusan al-Qur’an seperti antum ..”

Buat kesekian kalinya, hati kecil itu TERSENTAP lagi....

****

Kisah di atas boleh jadi benar dan boleh jadi rekaan semata-mata. Tapi itulah hakikat fenomena yang berlaku pada hari ini. Sesiapa pun yang mengambil jurusan agama apabila berada di situasi sebagaimana di atas pasti akan berasa TERSENTAP dengan apa yang dikatakan.

Mari kita renung sejenak wahai sahabat-sahabat, bagaimanakah nilaian ilmu yang kita sedang pelajari sekarang ini, saat ini, samada masih di bangku sekolah, atau di alam kampus. Berapa ramai dalam kalangan kita (yang dikatakan bijak kerana boleh menyambung pelajaran), mampu untuk mengaplikasikan ilmu yang diperolehi, ke dalam kehidupan sebenar.

Kita perlu berbalik semula kepada tujuan asal kenapa kita belajar sesuatu ilmu, kenapa kita masuk ke kelas untuk subjek tersebut. Adakah hanya kerana memenuhi tuntutan sebagai pelajar jurusan tersebut atau sebab memang kita mahukan ilmu itu sebagai bekalan kehidupan? Tepuk dada tanyalah diri sendiri…

Jika dilihat, masyarakat pada hari ini, tidak dapat dinafikan bahawa mereka memandang kepada nilai sesuatu sijil yang diperolehi, samada adakah dia lepasan diploma, atau ijazah, atau master, atau PhD. Tidak terlepas juga pada pandangan mereka ialah nilaian ilmu yang ada pada golongan yang memegang sijil ini. Bagaimanakah perasaan anda jika anda sebagai lepasan jurusan agama, lalu ditanya kepada kita tentang basic fardhu ain dan fiqh, kita tidak mampu menjawab dengan baik dan yakin. Bagaimanakah perasaan anda sebagai graduan hafiz al-Quran, apabila ditanya kedudukan sesuatu ayat, anda tidak mampu menjadi rujukan tersebut. Begitu juga jurusan kepakaran yang lain, apabila tidak mampu menjawab mengikut kepakaran masing-masing, sudah pastilah ilmu yang dipelajari selama bertahun-tahun dilihat kosong dan sia-sia sahaja.

Maka sedarlah wahai penuntut ilmu sekalian, belum terlambat untuk anda TERSENTAP sekarang kerana kita masih mempunyai masa dan ruang untuk membaiki keadaan ini. Luruskanlah niat dalam menuntut ilmu, moga-moga ilmu yang dipelajari bukan sekadar di buku, tetapi lekat dihati supaya mudah untuk kita keluarkan apabila ia diperolehi. Mohonlah kepada Allah s.w.t supaya ilmu yang kita perolehi sebelum ini, sekarang dan akan datang diberkati. Ingatlah segala penat jerih ibu bapa kita dalam mencari duit untuk menyara pendidikan kita, jangan biarkan peluh mereka yang mengalir sia-sia dengan kita hanya sekadar mnjadi “burung kakak tua” yang tidak memberi manfaat kepada orang lain.

Berterima kasihlah kepada mereka yang pernah membuat anda TERSENTAP, kerana tanpa mereka, kita tidak akan tahu di manakah tahap ilmu dan kedudukan kita pada saat ini. Dan akhirnya, janganlah serik dan cepat puas dalam menuntut ilmu, kerana ilmu Allah ini Maha Luas. FirmanNYA dalam surah al-Kahfi:
katakanlah (Muhammad), ‘seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula)’” (18: 109)


Diri yang menulis ini juga sangat berasa rendah diri dengan penguasaan ilmu yang ada. Ramai yang ingin merujuk dan bertanya, tetapi hanya mampu menjawab sekadar yang tahu dan ingat. Moga-moga penulisan ini mampu menjadi muhasabah buat diri ini sendiri khususnya, dan sahabat-sahabat yang lain amnya. Pesanan terakhir:

“ فسألوا أهل الذكر ان كنتم لا تعلمون ...“
...maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui (16:43)



Al-Faqirah ila Allah,


Ummi..Ayah..Kalian Segalanya
Terjumpa post nie di kala sedang menahan rindu teramat sangat kepada ummi dan ayah..


“Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia” (Surah Al-Isra’, ayat 23)


Hayati bait-bait puisi ini…

Bila mak kata dia teringat, kita jawab kita sibuk sangat…

Bila ayah kata dia rindu, kita jawab nantilah hujung minggu…

Bila mak minta kita pulang, kita jawab kita belum lapang…

Bila ayah minta kita singgah, kita jawab kerja kita belum sudah…

Bila hati kita terguris, kita kata… “Mak memang tak pernah faham”

Bila hati kita terhiris, kita kata… “Ayah memang tak ambil kisah”

Tetapi…

Bila hati mak kita pula kita guris, mak kata… “Tak apa, dia masih muda…”

Bila hati ayah kita juga hiris, ayah kata… “Tak mengapa, belum sampai akalnya…”

Bila kita menangis tanda lapar, mak berlari hingga bagai hilang kaki…

Bila kita merintih tanda derita, ayah bersengkang mata bagaikan tiada lena…

Bila kita sedih kerana gagal, mak setia membekalkan cekal…

Bila kita pilu kerana kecewa, ayah tetap teguh berkata dia tetap bangga…

                                                                SubhanaALLAH!

Tidakkah engkau masih tidak sedar wahai anak? Berdoalah buat kesejahteraan mereka dunia akhirat setiap solat, BERDOALAH! Pandang mereka dengan kemuliaan kerana itu buat kamu tenang…

Sabda Rasulullah s.a.w:

“Tidak ada seorang pun yang memandang wajah kedua ibu bapanya dengan pandangan penuh kasih sayang kecuali Allah menuliskan (pahala) untuknya oleh sebab pandangannya itu seperti (pahala) haji yang maqbul (diterima) lagi mabrur (berpahala).”

(Hadis riwayat Ar-Rafi’i dengan sanad yang dha’if.)


KISAH RAMADHAN
13 RAMADHAN 1432 H

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam, Yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih.

Malam ini 13 Ramadhan 1432H, sudah memasuki fasa ke 2 bulan barakah ini. Moga-moga amalan kita dalam hari-hari yang telah berlalu di bulan ini diangkat dan diterima untuk timbangan amal kita di akhirat nanti. Ameen insyaAllah..

Tiada kisah menarik yang berlaku, cuma rutin harian saya di bulan Ramadhan tahun ini sangat berbeza seperti tahun lepas dan sebelumnya. Kenapa?? Sebabnya Ramadhan kali ini berpeluang puasa sepenuh masa di rumah bersama-sama keluarga tersayang. Pastinya sangat berbeza kerana dalam tempoh 2 tahun ini saya langsung tidak berkesempatan merasai Ramadhan di bumi Serambi Mekah. Jujur boleh dikatakan saya lebih tenang dan damai berpuasa di rumah berbanding di kampus seperti sebelum-sebelum ini. Pastinya kerana saya tidak disibukkan dengan kelas-kelas, assignment, exam dan sebagainya. Pasti semua sahabat turut merasainya kan?

TRAGEDI 

Tanggal 7 Ramadhan baru-baru ini, sedikit musibah melanda keluarga saya. Ummi terlibat dengan kemalangan kereta semasa pulang dari sekolah, setelah selesai membeli lauk basah untuk dimasak berbuka puasa. Walhal pagi tersebut sebenarnya, ummi menemani saya ke klinik untuk pemeriksaan kesihatan. Usai menghantar saya pulang ke rumah pada jam 12 tengah hari, ummi kembali ke sekolah. Memang terkejut bila dengar berita, tapi alhamdulillah ummi tidak mengalami sebarang kecederaan cuma sedikit terkejut dan terpana kerana ini kali pertama ummi mengalami kemalangan.(ummi saya seorang pemandu berhemah ^_^). Menurut ummi, kereta ummi dirempuh oleh sebuah motor (kemungkinan motor tu dibawa laju) dari arah belakang semasa ummi membuat pusingan U. Nasib ummi saya baik, kerana motor tersebut merempuh pintu belakang sebelah bahagian pemandu. Berkecai dan bersepai cermin kereta, lantas ummi serta merta membrek kereta dan dapat 'melandas' dengan baik di tepi jalan. Pemuda yang melanggar ummi, alhamdulillah tidak mengalami kecederaan parah, cuma ada luka-luka yang perlukan rawatan juga.





2 hari kemudiannya, pada 9 Ramadhan, kereta ayah pula ditimpa musibah semasa mengambil ummi pulang dari sekolah, apabila turut dilanggar motor yang dibawa laju. Alhamdulillah tiada apa-apa yang serius berlaku, kerana kebetulan ketika itu adik-adik berada dalam kereta tersebut, cuma tayar depan kereta ayah pecah serta merta kerana bergesel dengan motor tersebut (mungkin terkena komponen besi dari motor). Alhamdulillah ayah tidak terkena apa-apa kecederaan, cuma lelah menyerang semasa ayah menukar tayar.
(tiada gambar)

Kata ayah kepada kami adik-beradik, musibah yang melanda kami sangat kecil jika dibandingkan apa yang berlaku kepada orang lain. Kami bersyukur kerana tiada apa-apa serius yang berlaku. Mudah-mudahan Allah sentiasa melindungi keluarga kami dari sebarang kecelakaan, supaya kami dapat menghabisi bulan barakah ini dengan sebaiknya.

Terasa sangat seronok pada Ramadhan kali ini, dapat bermahabbah bersama-sama ahli keluarga yang entah bila lagi saya dapat tempoh masa yang lama seperti ini. Seronok mendengar ramai sahabat-sahabat meluangkan masa di bulan ini dengan beruzlah di pusat pengajian pondok. Sampai sanggup tinggalkan rumah..=) Seronok juga kerana mendapat banyak undangan sahabat-sahabat yang bakal mendirikan masjid pada bulan Syawal nanti. Moga-moga keseronokan yang ku rasai ini tidak melalaikan diri untuk terus memburu ketaqwaan di bulan Ramadhan Mubarak. Siiru 'ala barkatillah buat semua sahabat-sahabat.






Untitled
>> cuti semester dah masuk minggu ke-4, hampir sebulan >> berada di rumah hampir 3 minggu >> setelah berhempas-pulas menuntut ilmu sebulan setengah * mengerah tulang 4 kerat pulang lewat ke kampung halaman demi kelangsungan tarbiyah * paling tidak dilupakan, bermandi hujanan gas2 kimia pada ''HARI ITU'', diiringi restu keluarga >> "Ya Allah, semoga hari-hari yang telah aku lalui ketika itu dikira amal di sisiMU sebagai timbanganku di akhirat nanti."


Lama benor blog di biarkan tanpa isi, kadang-kadang timbul rasa putus asa. Tapi teringat kembali tujuan kenapa memulakan blog nie, kena kuat semangat la ye. Tambah-tambah usia semakin meningkat...=)

Terlalu banyak isu yang ketinggalan untuk di ulas. Lebih suka mengambil sikap baca sendiri, analisa sendiri, then bincang sikit-sikit ngan family time2 tengah rehat2 waktu malam. Baikkah sikap ini? Nampak selfish kan? HUHU....

Tapi itulah hakikat diri ini. Tak tahulah di mana silapnya, terasa hilang self-confidence sedikit demi sedikit > dari hari ke hari > dari minggu ke minggu > dari bulan ke bulan > dan mungkin hampir dari tahun ke tahun. Terfikir jugak APAKAH sumbangan yang telah diberikan kepada Islam sepanjang hidup hampir 23 tahun? Itulah manusia, sentiasa merasa kekurangan diri bila berhadapan dengan insan2 yang jauh lebih hebat dari diri sendiri. "Ya Allah, ikhlaskan diriku menerima ketentuan yang telah KAU tetapkan buat diriku, jadikan aku hambaMU yang bersyukur."

Firman Allah s.w.t:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan, " Sesungguhnya jika kamu BERSYUKUR, nescaya AKU akan menambahkan nikmat kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari nikmat-KU, maka pasti azab-KU sangat berat."  (Ibrahim : 7)


Sebenarnya, tak tahu nak tulis apa. Just tulis apa yang nak ditulis dari hati dan ada kat kepala. Tak banyak pun, sebab rasa sikit sangat ilmu yang ada dalam kepala ni nak di  kongsi dengan pembaca yang sudi baca blog dhaif ini. 

Teringat kisah tentang seorang pesakit  Spinocerebellar Degeneration (sejenis penyakit saraf ) dalam movie 1 Litres of Tears (sebuah kisah benar), kisah seorang gadis Jepun bernama Kitou Aya yang berjuang sehingga saat akhir kematiannya melawan penyakitnya yang tiada penawar. Eventhough she's not a muslim, but the most important thing that I got from her was about her COURAGE !! sangat amazing!! kekentalan diri yang ada, terutama apabila menyedari kemampuan diri makin hilang sedikit demi sedikit, satu perkara yang dia masih kuatkan usaha adalah dengan MENULIS. Dan dengan menulislah, kisah hidupnya tersebar ke seluruh dunia hampir lebih 30 tahun dan menjadi sumber kekuatan kepada insan-insan yang mengalami penyakit sepertinya.


Menulis. Menulis. Dan saya akan terus cuba menulis dalam blog ini, biarlah takde sape2 yang nak baca. Apa yang penting, dan yang saya tahu, saya akan rasa sangat puas hati bila dapat menulis. ALHAMDULILLAH..!!

" Ya Allah, aku terasa sangat kekurangan diri dalam menyampaikan ilmu-ilmu MU yang Maha Luas. Lapangkanlah dadaku, bukalah fikiranku, kurniakanlah aku kefahaman sebagaimana yang KAU berikan kepada para anbiya', supaya aku dapat menjadi ilmuan yang hebat sebagaimana Saidatina 'Aisyah Rahimahallah..AMEEN"

Nukilan hati,
ibnatussolehah88

28 JULAI 2011
0005 am
~bilik along~
IKTIBAR BERSAMA


KEADAAN Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Batu 14, Hulu Langat, Kajang, dalam kejadian tanah runtuh, 21 Mei 2011 baru-baru ini. Seramai 25 orang penghuni rumah anak yatim itu tertimbus dalam kejadian tanah runtuh pada jam 2.20 petang, 16 daripada mereka terkorban, manakala 9 orang lagi selamat.

Berikut ialah senarai nama penuh mangsa yang diperoleh dari bilik gerakan bergerak yang dibuka di lokasi kejadian: 

Enam belas yang terkorban ialah: 

1) Mohd Kamarul Amizan, 11 tahun 
2) Nurahimi Rosdi, 14 
3) Dzahir Haziq M. Muin, 11 
4) Ahmad Lokman Hakim, 11 
5) Farid Ibrahim, 34 
6) Mohd Azret Azahari, 8 
7) Wan Ahmad Hasril Hazim, 11 
8) Zahid Assawal Zamri, 19 
9) Mohd Mustakim Mamat, 12 
10) Mohd Naerzein M. Nor, 8 
11) Mohd Aiman Abdullah, 10 
12) Shahrul Nurimran Adnan, 9 
13) Mohd Zaid Azahari, 14 
14) Mohd Imal Fahad, 9 
15) Mohd Riezman Abdul Latif, 9 
16) Mohd Hazim Sapri, 10 

Sembilan yang terselamat ialah: 

1) Aizat Khusairi, 12 
2) M. Allaudin Sobri, 14 
3) M. Syatiq Ibrahim, 21 
4) Khairul Anuar Nasri, 9 
5) M. Harris Izuddin Sahrul, 11 
6) Zulkhairi Aminuddin, 13 
7) Izzuddin Abdullah, 30 
8) Izuan Zakaria, 33 
9) Mohd Akmal Mohd Jefri, 10 

Lapan daripada mereka sedang dirawat di Hospital Ampang manakala Mohd Akmal di KPJ Kajang.-Bernama

Gambar-gambar di sekitar tempat kejadian:





Mangsa-mangsa runtuhan di bawa keluar dari tempat runtuhan, ada yang dapat diselamatkan, dan ada yang sebaliknya.

Menurut seorang saksi:
Pak Mat, 40, berkata ketika kejadian, dia yang tinggal kira-kira 50 meter dari tempat kejadian terdengar bunyi runtuhan lalu segera berlari ke situ. 

“Sebaik tiba, saya nampak beberapa kanak-kanak tertimbus akibat tanah runtuh. Dalam keadaan kelam kabut, saya segera gali dengan tangan dan berjaya menarik dua kanak-kanak (yang meninggal). 

“Saya kasihan melihat keadaan pelajar berkenaan. Air mata menitis kerana terbayangkan nasib mereka yang masih mentah,” katanya hiba.


PEMANDANGAN bahagian dalam bangunan lokasi tragedi tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Taqwa, Hulu Langat yang rosak teruk dengan dipenuhi tanah dan batu daripada sisa runtuhan.

Sebahagian Al-Quran yang tetap tersusun kemas di rak. Allahu Akbar.


Suasana sedih dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding, Batu 14 di sini semalam apabila tujuh mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa selamat disemadikan dalam satu liang lahad. Tujuh jenazah itu ialah Dzahir Haziq M Muin, 18; Mohd Zaid Azahari, 14; Mohd Mustakim Mamat, 12; Wan Ahmad Hasrim Hazim, 11; Mohd Hazim Sapri, 10; Mohd Imal Fahad, 9, dan Mohd Azret Azahari, 8.

pilu...salah seorang mangsa, Mohd Awie Abdul Latif, 11, yang terselamat ditenangkan oleh saudaranya.

Luahan Mohd Awie Abdul Latif, 11, menceritakan detik kematian adiknya, Mohd Riezman, 9.

"Saya tarik tangan adik ketika kami lari menyelamatkan diri, tapi kaki adik tersangkut pada besi khemah dan dia jatuh. Saya tarik lagi tangannya tapi runtuhan batu mula menuju ke arah kami dan menimpa kepala adik."


"Masa itu saya terdengar jeritan meminta saya lari menyelamatkan diri. Sambil berlari, saya menoleh ke arah adik saya dan lihat batu besar menghempap kepalanya."

"Saya mahu mengorek tanah mencari adik, namun orang ramai menghalang. Saya terus menangis kerana hanya mampu melihat adik tertimbus di depan mata." 

"Ketika berlari keluar dari dewan saya meraung kerana teringat apa yang terjadi kepada adik," kata Mohd Awie Abdul Latif, 11, yang terselamat dalam tragedi tetapi kehilangan adiknya.

Menceritakan mengenai adiknya, Mohd Awie berkata dia bersyukur kerana dapat memenuhi permintaan arwah yang mahukan jam tangan dan minyak wangi sebagai hadiah hari lahirnya Januari lalu. 

"Bapa kami sudah meninggal dunia...saya berbelanja RM56 untuk membelikan dia jam tangan Ben 10 dan minyak wangi yang dibeli melalui seorang rakan senior, adik sangat gembira dan sentiasa memakai jam tangan itu," katanya.


Awie yang masih trauma tidak dapat melupakan kejadian yang sekelip mata mengorbankan adiknya, Mohd Riezman Abdul Latif, 9, dan 15 yang lain berkata dia sangat sayangkan adik bongsunya dan sentiasa ke mana-mana bersama, namun semuanya tinggal kenangan.

Ibunya, Intan Anisah Alang, 40, yang bertugas sebagai pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di Kajang, berkata dimaklumkan kejadian itu oleh anak saudaranya sekitar jam 5 petang.

Kenangan gambar sebelum kejadian..comel anak² kecil ini..al fatihah buat yg pergi..

Ya Allah Ya Tuhanku, Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Engkau Ampunilah dosa² Penghuni² dan Anak² ini. Amin

Sama-sama kita ambil iktibar atas apa yang berlaku, semoga ia menjadi pengajaran buat kita bersama. Kematian itu datang bila-bila masa sahaja tanpa mengira usia walau di mana kita berada. Sentiasalah kita beringat.


Berikut adalah petikan video sepanjang pengebumian mangsa-mangsa yang terkorban dalam runtuhan. Sungguh sedih dan pilu apabila menyaksikan 16 orang yang terkorban dalam sekelip mata. Subhanallah..Allah Maha Berkuasa dalam segala hal. Semoga mereka semua ditempatkan dalam kalangan hamba-hambaNYA yang beriman dan bertakwa. Ameen..