Lelaki & Perempuan Berhubung, Boleh Ke?

Ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan) sering berlaku di mana-mana sama ada dalam menuntut ilmu, bergerak kerja berorganisasi, bidang pekerjaan, bersosial dengan masyarakat.

Namun, masih ramai yang keliru dengan hukum sebenar dan batasan ikhtilat antara lelaki dan perempuan. Ada ulama’ yang berpandangan bahawa ia haram, ada juga yang mengatakan bahawa ia harus.

Bersesuaian dengan zaman yang semakin mendepani cabaran ini, lebih sesuai kita mengambil hukum ikhtilat sebagai harus selagi mana kita mengikuti syarat-syarat yang ditetapkan sebagaimana yang difatwakan oleh ulama’ kontemporari, Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi.

Ini kerana ikhtilat adalah perkara fitrah, ia memang perkara yang tidak boleh dielakkan kerana manusia hidup di dunia ini saling bantu-membantu antara satu sama lain. Maka, ia memerlukan etika yang betul supaya manusia tidak jatuh kepada jurang kebinasaan seperti penzinaan, bercouple, keruntuhan akhlak dan sebagainya.

Menurut Syeikh Dr Yusuf Al Qaradhawi, dalam buku beliau Fatawa Al Mar-atul Muslimah, pertemuan ataupun perjumpaan di antara lelaki dan perempuan tidaklah diharamkan secara mutlak, bahkan harus mahupun dituntut jika tujuannya adalah mulia, memberi manfaat dan menambah amal soleh seperti menuntut ilmu, membawa kebaikan, dan perkara-perkara yang mana berhajatkan bantuan dan pertolongan dari kedua-dua belah pihak (lelaki dan perempuan) berlandaskan batas-batas, tujuan yang betul dan penguatkuasaan yang berkesan.

Walaupun ikhtilat ini dibolehkan, berikut adalah batas-batas dan syariat yang telah ditetapkan oleh Islam:

[1] Hendaklah menjaga pandangan oleh kedua-duanya, tidak memandang kepada aurat, tidak juga memandang dengan syahwat, dan tidak memanjangkan pandangan jika tidak berhajat. Firman Allah s.w.t:
Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apayang mereka perbuat. Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya,’’ (An-Nuur: 30-31)

[2] Seorang perempuan hendaklah sentiasa mengenakan pakaian yang disyariatkan dan sopan, menutupi seluruh badannya selain dua tangan dan wajah, tidak jarang (tipis) dan tidak menampak bentuk tubuh. Firman Allah s.w.t:
dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang nampak dari padanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya,” (Surah An-Nuur:31)

Allah SWT menjelaskan mengenai pakaian yang sopan melalui firmanNya :
Yang demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak di ganggu.“(Al-Ahzab: 59)

Perempuan muslimah yang sopan berbeza pakaian mereka dari perempuan yang semberono perangainya, dia juga tidak berakhlak buruk, dengan itu setiap yang memandang pakaian dan akhlaknya, pasti akan menghormati dan menyeganinya.

[3] Sentiasa berakhlak muslimah pada setiap perkara, terutama ketika bermuamalat dengan lelaki, iaitu:

i. Percakapan, hendaklah menjauhi dari suara yang boleh merangsang dan membangkitkan perasaan, Allah SWT berfirman :
Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,”(Al-Ahzab:32)

ii. Berjalan, Allah SWT berfirman :
Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan,” (An-Nuur: 31)

Allah SWT menyifatkan sopan santun seorang perempuan dengan firmanNya :
Kemudian datanglah kepada Musa salah seorang dari kedua wanita itu berjalan kemalu-maluan,” (Al-Qasas:25)

iii. Pergerakan, tidak berlenggok, seperti yang disifatkan dalam hadith sebagai (berlenggok itu adalah perempuan) dan tidak berhias (tabarruj) seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita jahiliyyah dahulu mahupun sekarang.

[4] Menjauhi bau-bauan ataupun wangi-wangian yang boleh membuatkan lelaki tertarik dengannya, dan menjauhi juga warna-warna terang dan terlampau menarik yang mana sepatutnya hanya dipakai di rumah bukannya ketika perjumpaan dengan lelaki.

[5] Jangan sesekali membiarkan hanya seorang lelaki dan seorang perempuan berjumpa tanpa mahram atau teman di sisi mereka, ianya ditegah dengan sebuah hadith sahih mengenainya, (Sesungguhnya yang ketiga daripada keduanya ialah syaitan), tidak patut membiarkan api dan kayu bersama kerana semakin ‘terbakar’ kalau dibiarkan berdua. Yang patut diambil berat juga ialah kaum keluarga terdekat, seperti ayah mertua, ipar dan sesiapa pun yang bukan mahramnya daripada berduaan.

[6] Hendaklah sepanjang perjumpaan itu hanya dalam lingkungan hajat contohnya mesyuarat dan perkara-perkara yang diperlukan, tidak perlu hendak memanjangkan dengan perkara luar dari hajat itu tadi dengan berbual-bual kosong, bergosip-gosipan, ataupun perkara-perkara yang boleh mengabaikan kerja sebenar yang amat suci seorang perempuan, iaitu tanggungjawabnya di rumah dan pertarbiyahan bangsa (anak-anak).

Jika dilihat kepada syarat-syarat di atas, penekanan untuk menjaga batas-batas adalah lebih kepada kaum perempuan tanpa mengabaikan peranan kaum lelaki dalam memelihara batas-batas pergaulan. Ini adalah kerana kita sedia maklum bahawa perempuan jika tidak menjaga diri dengan baik akan mudah terdedah kepada fitnah, sebagaimana disebut dalam hadith:

Sabda Rasulullah s.a.w:

Tidak aku tinggalkan suatu fitnah sesudahku yang lebih merbahaya kepada kaum lelaki melainkan godaan wanita” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka saya menyeru khususnya buat mereka yang bergelar perempuan, wanita, muslimah dan mukminah, sama-samalah kita memelihara diri dengan sentiasa menjaga batas-batas syariat dalam pergaulan seharian kita supaya kita tidak mudah terdedah dan terjerumus dengan kebinasaan.

Memenuhi syarat-syarat ini, bukan untuk menyusahkan diri kita, bahkan demi kebaikan bersama, kerana Allah SWT tahu apa yang terbaik untuk hambaNya yang taat. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, dengan keyakinan ini, marilah di saat ini kita mula menjadi seorang yang terbaik disisiNya insyAllah lebih-lebih lagi dalam bulan yang penuh barakah ini, Ramadhan yang mulia. Wallahu’alam.

_________________________________________________

Disediakan oleh : Hana’ binti Salleh

Penulis merupakan mahasiswa Tahun 3, Qur’an & Sunnah,

Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

0 Responses

Catat Ulasan