SAYANG MEREKA SELAMANYA
11 APRIL 2011




Mereka adalah segala-galanya dalam hidup saya selepas Allah dan Rasul. Mereka adalah pinjaman sementara dari Allah s.w.t kepada saya di dunia ini, INSYAALLAH semoga kami bersama-sama hingga ke akhirat. Mereka membentuk saya sehingga menjadi SAYA pada hari ini. Terima kasih tak terhingga buat Ummi dan Ayah tersayang, melahirkan, membesarkan, menjaga dan mendidik saya selama 23 tahun ini. Buat adik-adik saya, dari alang sampai la yang si bongsu Widad, terima kasih atas kerenah kalian yang pelbagai, menguji tahap kesabaran yang akhirnya mendidik saya sebagai seorang kakak yang mula mengenali erti tanggungjawab dan kasih-sayang.

Bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk, tapi inilah hakikat keluarga saya. Keluarga saya menjadi ikon dalam kehidupan saya, untuk merancang masa depan saya. Kami lahir hasil baitulmuslim dakwah yang dibina antara Ummi dan Ayah di zaman alam kampus mereka 26 tahun yang lalu. Perkahwinan yang di dasari dengan meletakkan keutamaan Islam dan ummah di depan, alhamdulillah hari ini melahirkan kami yang menurut Ummi dan Ayah menjadi kebanggaan paling besar buat mereka. Alhamdulillah. syukur pada-MU Ya Allah, Engkau pelihara kami dalam biah keluarga solehah sehingga hari ini.

Saat ini saya terdetik untuk menulis tentang keluarga selepas teringat saat 4 hari pada minggu lepas saya menghabiskan senggang waktu antara peperiksaan pulang ke rumah. Ketika dalam perjalanan pulang, saya sentiasa terfikir, sempat atau tak untuk berjumpa Ummi dan Ayah ?? Memandangkan hampir 3 bulan saya tidak bertemu mereka. Saya menangis sendirian kerana takut. Takut andai tidak sempat berjumpa, takut untuk menerima hakikat jodoh keluarga kami singkat. Adakah saya benar-benar bersedia hadapi saat itu?? Andai ia tiba sekarang? Dengan keadaan kami yang masih belajar dan belum bekerja dan berkeluarga? Ya Allah, bagi kekuatan kepada kami.

Jarak yang jauh antara kami sekeluarga saban tahun, mengikat kasih sayang yang lebih mendalam sesama kami. Ummi dan Ayah serta si kecil ber3 di rumah dan 2 dara pingitan di asrama, semua di Kelantan, saya bersama 3 lagi adik di Kuala Lumpur, serta abang yang jauh berkelana di bumi Mesir. Sukar untuk kami berkumpul melainkan di Hari Raya Aidilfitri sahaja. Jika cuti semester pun belum boleh menjanjikan kami dapat berkumpul bersama-sama. Itulah hakikat yang Ummi dan Ayah perlu lalui, berpisah dengan anak-anak demi menjadikan kami insan yang berilmu dan berguna kepada agama dan ummah. Terima kasih Ummi dan Ayah.

Saya sangat suka dengan cara Ummi dan Ayah mendidik kami adik-beradik sejak dari kecil hinggalah saat sekarang ini. Kini baru saya faham kenapa Ummi dan Ayah melarang keras kami bergaul dan berkawan dengan kaum berlawanan jenis sejak dari sekolah rendah lagi. Kini baru saya faham kenapa kami dilarang terlibat dengan aktiviti-aktiviti alam maya sejak di sekolah rendah. Kini baru saya faham kenapa kami dilarang itu dan ini. Dunia yang kami lalui saat ini menjadi jawapan kepada segala larangan-larangan dulu. Semoga kami adik-beradik dikuatkan iman dan hati masing-masing menghadapi fitnah akhir zaman ini.

Mereka tetap menjadi keutamaan saya dalam apa jua hal melibatkan semua aspek kehidupan. Segala kemusykilan dibawa berbincang. Segala keputusan yang ingin di buat mendapatkan pandangan Ummi dan Ayah terutamanya. Meskipun kadang-kadang saya terikat dengan komitmen yang agak besar di kampus, tetapi hasil perbincangan dan kepercayaan yang diberikan mampu memudahkan segala urusan. Saya cukup mengambil iktibar dari kisah yang lalu, kisah yang menjadi lipatan sejarah dalam hidup saya, apabila perkara lain lebih di utamakan dari Ummi dan Ayah sendiri, maka Allah s.w.t membuka hijab memberikan petanda sebagai peringatan kepada saya. Maafkan anakmu wahai Ummi dan Ayah!! Benarlah bahawa keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapanya. 

Telah jelas dalam al-Quran, Allah s.w.t berfirman: 
Tuhanmu telah menyuruh supaya kamu jangan menyembah (mengesakan) selain padaNya. Dan terhadap kedua ibu bapa harus berbakti (taat dan baik) apabila telah tua salah satunya atau keduanya disisimu, maka jangan menunjukkan sikap jemu atau berkata: Cih, kepada keduanya, umpama jika kau sampai membuang kencing atau najis ibu atau bapa, maka jangan kau tutup hidungmu dan jangan muram mukamu sebab keduanya telah mengerjakan semua itu dimasa kecilmu, dan jangan membentak keduanya dan berkatalah dengan lemah lembut, sopan santun, ramah tamah dan hormat." (AL-ISRA':23)

Kita renung sejenak, dan muhasabah semula, adakah kita pernah berkata walau perkataan 'ahh' kepada mereka. Adakah kita pernah memasamkan muka di hadapan mereka? Mohonlah ampun kepada mereka dan Allah s.w.t sekiranya kita pernah melakukan sedemikian kerana jika kita hati kecil mereka terluka walau sedikit, kesannya kita sukar mendapat keredhaan dalam segala perkara yang kita lakukan. 

Allah s.w.t mengurniakan pahala yang sangat besar kepada Ummi kerana melahirkan 10 orang zuriat penyambung warisan para nabi. 8 puteri dan 2 putera. Tentunya mudah-mudahan lebih besar ganjarannya membesarkan dan mendidik 8 orang anak perempuan yang diketahui lebih sukar di jaga berbanding anak lelaki. Sebagaimana disebut dalam hadis Nabi s.a.w: 

"Barangsiapa yang di uji dengan mendapatkan anak perempuan kemudian ia berbuat baik kepada mereka (dengan mendidiknya) maka anak perempuan itu akan menjadi penghalang baginya dari sentukan api neraka" (H.R Bukhari & Muslim) 

"Allah s.w.t mengharuskan ibu itu masuk syurga membebaskannya dari neraka disebabkan kasih sayangnya terhadap anak perempuannya" (H.R Muslim) 

"Barangsiapa mengurus dan mendidik dua anak perempuan sehingga mereka dewasa maka ia datang di hari kiamat bersamaku" (H.R Muslim)

Hadis-hadis di atas terkandung kisah disebaliknya yang boleh dijadikan iktibar sehingga Nabi Muhammad s.a.w melafazkan sabda baginda tentang kelebihan membesarkan dan mendidik anak perempuan. 

Buat adik-adik perempuan saya, sama-sama kita ambil iktibar dari hadis ini. Jadilah anak-anak Ummi dan Ayah yang solehah dan taat. Buat anak-anak lelaki Ummi dan Ayah, jangan cemburu ye..sama-sama cari hikmah..(",)

Coretan kali ini sekadar perkongsian buat semua pembaca setia blog saya. Semoga perkongsian ini memberi manfaat bersama untuk semua lebih-lebih lagi sebagai pemangkin dalam merancang kehidupan masa depan. Ini baru coretan permulaan, insyaAllah andai diberi kesempatan saya akan berkongsi lebih lagi. Doakan moga saya dan keluarga sentiasa kekal dan istiqamah dalam suasana keluarga solehah yang mampu membentuk satu ummah Islamiyah.

Nukilan,
-anak perempuan solehah-
11 april 2011
1.33 am