Psikologi Rasulullah S.A.W

 1 Februari 2012

Alhamdulillah hari ini kita melangkah ke bulan Februari. Begitu cepat masa dirasakan berlalu. Saya tiada cerita best nak dikongsi, cuma saya nak kongsi tentang satu perkara yang setiap orang akan melaluinya iaitu fasa perubahan. Perubahan apa? Perubahan diri dari yang tidak baik kepada yang baik. Umumnya kita mengetahui bahawa perubahan diri atau penghijrahan diri ini adalah bermula dari diri kita sendiri, bukan orang lain. Sebagaimana Firman Allah s.w.t : 

".... Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan  yang ada pada diri mereka sendiri...." (Ar-Ra'd: 11)

Orang lain hanya mampu bagi nasihat, ceramah, leteran, dan yang seangkatannya, namun tidak mampu untuk memberi perubahan totally kepada diri seseorang. Saya tertarik dengan cara Rasulullah s.a.w dalam membawa  perubahan kepada seseorang ke arah yang lebih baik. Jom kita baca bagaimana cara nabi menggunakan psikologinya dalam mendidik umatnya.

* * * * *

Bagaimana Nabi Muhammad Menyuruh Orang Berubah Tanpa Beliau Menyuruh

Nabi Muhammad adalah seorang motivator dan pendorong perubahan tingkah laku yang sangat efektif. Banyak sekali individu yang biasa-biasa telah berubah menjadi orang-orang cemerlang selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad.

Salah satu keistimewaan teknik Nabi Muhammad adalah di mana beliau sebenarnya menyuruh sasaran melakukan sesuatu, tetapi beliau tidak menggunakan ayat suruhan.

Dalam rekod sejarah terdapat banyak catatan yang menunjukkan bagaimana sasaran Nabi Muhammad mengubah sikap dan tingkah laku mereka dengan kehendak mereka sendiri selepas mendengar kata-kata Nabi Muhammad, padahal beliau tidak menyuruh mereka berubah. Di bawah ini adalah salah satu contohnya:


Ibnu Abbas melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki datang dan menghadiahkan kepada Nabi Muhammad sebekas arak. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Adakah saudara tahu bahawa Allah sudah mengharamkannya?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Kemudian lelaki itu berbisik-bisik dengan orang yang di tepinya. Nabi Muhammad bertanya kepada lelaki itu, “Apakah yang saudara bisikkan kepadanya?” Lelaki itu menjawab, “Saya suruh dia menjualkannya sahaja.” Kemudian Nabi Muhammad berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." Kemudian lelaki itu membuka penutup bekas araknya, lalu dituangkan isinya sampai habis sama sekali. -- Hadith No. 930 dalam kitab Ringkasan Sahih Muslim
Dalam peristiwa di atas, Nabi Muhammad tidak menyuruh lelaki itu supaya membuang araknya. Sebaliknya lelaki itu sendiri yang melakukannya tanpa disuruh. Nabi Muhammad hanya berkata, "Sesungguhnya Dia yang mengharamkan meminumnya, Dia mengharamkan menjualnya." tetapi kesannya lelaki itu membuang semua araknya.

Antara perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi Muhammad semasa beliau mendorong lelaki itu supaya mengubah sikap dan tingkah lakunya adalah:

1. Nabi Muhammad tidak bercakap menggunakan ayat suruhan.

Contoh ayat suruhan:
* “Kamu wajib buangkan arak itu sebab arak adalah benda haram.”
* “Lain kami bawalah hadiah lain yang halal, bukan arak.”

2. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat larangan.

Contoh ayat larangan:
* “Jangan gunakan arak sebagai hadiah, hukumnya haram.”
* “Arak benda haram, jangan minum arak lagi.”
* “Arak tidak boleh dijadikan hadiah. Jangan berikan arak kepada sesiapa. Hadiah untuk orang bukan Islam pun tak boleh.”

3. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kritikan.

Contoh ayat kritikan:
* “Kamu mengaku Islam, tetapi bahawa arak adalah benda haram pun kamu tak tahu.”
* “Nampaknya kamu masih jahil tentang hukum meminum dan menjual arak.”
* “Orang lain semua sudah tahu arak adalah haram. Kamu sahaja yang belum tahu.”

4. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat nasihat.

Contoh ayat nasihat:
* “Lain kali jangan buat lagi kesilapan macam ini. Saya tidak boleh minum arak.”
* “Kamu mesti mendalami ilmu agama. Kalau tidak, kamu akan terus berada dalam kejahilan.”
* “Sebagai orang Islam, tuntutlah ilmu agama sampai ke liang lahad.”

5. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat komplen.

Contoh ayat komplen:
* “Nampaknya masih banyak umatku yang jahil agama.”
* “Umatku masih mengambil ringan isu halal-haram.”
* “Sistem pendidikan umatku masih banyak kelemahannya.”

6. Nabi Muhammad tidak menggunakan ayat kutukan.

Contoh ayat kutukan:
* “Apa nak jadi dengan kamu? Nama sahaja kamu sudah Islam. Perangai kamu masih perangai kafir.”
* “Kalau saya katakan kamu ini jahil, nanti kamu marah. Tapi kamu memang jahil!”
* “Apa nak jadi dengan kamu? Jahil murakab betul. Orang macam kamulah yang merosakkan nama baik Islam.”


sumber 

* * * * *

Hebatnya bagaimana didikan yang Rasulullah s.a.w berikan kepada umatnya yang tersayang. Maka haruslah kita sebagai dai'e menjadikan cara didikan Rasulullah s.a.w ini sebagai contoh terbaik dalam membawa perubahan kepada masyarakat duni hari ini yang kita sedia maklum penuh dengan kerosakan. Semoga Allah membuka hati mereka yang sedang dalam kerosakan dan kealpaan. Allahumma Amiin.


STOP! STOP!
Bagaimana pandangan awak tentang remaja kita yang terlanjur?”
“Apa maksud terlanjur?” saya menyoalnya kembali.

Terlanjur melakukan hubungan seks haram” balasnya terus-terang.
“Bagi saya istilah terlanjur itu tidak tepat.”

Apa istilah yang lebih tepat?
“Berzina!” jawab saya pendek.

Lelaki itu kehairanan lalu mencebik seraya berkata, “kasar sangat bunyinya tu. Nanti remaja yang terlanjur takut.
“Mereka tidak akan takut. Mereka berani. Sebab mereka beranilah mereka berzina.”

Lagi-lagi awak gunakan istilah zina. Kasar sangat bunyinya tu.
“Itu istilah yang tepat. Itu istilah Al Quran. Jika digunakan ada impak pada pendengarnya. Kita teringat Allah, Al Quran, iman dan Islam.”
Dia diam. Tetapi riak mukanya jelas seakan tidak bersetuju.
“Saya rasa istilah terlanjur itu yang tidak tepat,” saya pula yang menerjahnya.

Eh, kenapa? Memang mereka terlanjur. Mereka tidak tahu akibat perbuatan mereka.
Saya tersenyum. Lucu. Kenyataan yang separa logik.
“Zina tidak berlaku tiba-tiba. Ia didahului oleh mukadimah-mukadimahnya,” balas saya.

Ai, zina pun ada mukadimahnya?
“Itulah perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan yang boleh membawa zina. Zina itu adalah hasil daripada satu proses yang berlaku satu demi satu. Tingkat demi tingkat.”

Saya tak faham. Cakap awak berbelit-belit!
“Saya hanya menerangkan apa yang telah diterangkan oleh Rasulullah s.a.w.” jawab saya pendek.

Kita jangan libatkan agama. Ini masalah sosial,” katanya terus-terang.
“Saya dan awak orang Islam. Islam tu cara hidup. Dan Nabi Muhammad adalah teladan ikutan kita bersama.”

Baik-baik. Teruskan…
“Zina itu ada mukadimahnya. Antaranya, pandangan mata, lidah yang berkata-kata, sentuhan tangan, deria bau melalui hidung dan akhir sekali barulah melibatkan kemaluan.”

Ok. Apa maksud awak?” Saya renung matanya. Dia bukan orang awam biasa. Dia seorang intelektual yang sering membentangkan kertas kerja tentang masalah sosial remaja di seminar-seminar di IPT.
“Zina dimulakan dengan pandangan. Pandangan mata sangat mempengaruhi hati. Bila pendedahan aurat berleluasa, remaja sukar menjaga mata. Bila ada yang mendedahkan, ramai pula yang melihatnya dan dari situ timbullah rangsangan…”

Habis awak nak semua wanita tutup aurat? Mustahil!” balasnya.
“Ya, saya akui agak sukar. Tetapi itu tidak mustahil. Bukankah ini ajaran Islam? Islam itu ajaran yang praktikal dan sesuai untuk semua zaman dan keadaan. Remaja perempuan tutup aurat. Remaja lelaki tundukkan pandangan. Jadi, satu proses ke arah zina telah diatasi. Ini yang dilakukan oleh generasi sahabat, tabiin dan salafussoleh dahulu.”

Itu dulu. Langit masih tertutup, sekarang langit sudah terbuka!
“Bukan masalah langit, terbuka atau tidak. Tetapi yang lebih penting hati kita mesti terbuka untuk menerima panduan Islam kerana kita orang yang mengaku beriman kepada Allah dan Hari akhirat.”

Lagi-lagi akhirat. Sekarang kita bercakap soal dunia. Masalah dunia. Kita di sinilah, bukan di sana.
Tanpa sedar terasa seakan-akan hendak saya gelengkan kepala. Mujur saya cepat sedar dan hanya mengerling mata .
“Tuan, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita hidup di dunia.”

Fasal apa pula?
“Sebab orang yang yakin kepada hari Akhirat akan mengatur hidupnya dengan keyakinan bahawa setiap perbuatannya akan diberi pembalasan oleh Allah di akhirat. Ada pahala, ada dosa. Ada syurga, ada neraka. Itulah kawalan dari dalam dirinya untuk tidak melakukan kejahatan sama ada di hadapan atau di belakang orang!”

Kembali kepada topik asallah. Saya tidak suka meleret-leret,” pintasnya agak kasar.
“Zina sentuhan pula ialah pergaulan bebas. Bila dipandang, tergerak untuk disentuh. Islam menyekat pergaulan bebas lelaki wanita. Tidak boleh bergaul sesuka hati apatah lagi sampai ke peringkat berdua-duaan tanpa mahram.”
Belum sempat dia menyampuk saya menambah lagi, “tetapi pergaulan bebas inilah yang terus digalakkan, dipromosikan dan dijadikan budaya dalam masyarakat kita.”

Awak nak sekat interaksi dan komunikasi antara wanita dan lelaki? Mustahil!
“Interaksi yang bagaimana? Komunikasi yang bagaimana? Dalam Islam cukup jelas bagaimana wanita dan lelaki boleh berinteraksi. Dalam pendidikan, dalam perniagaan, dalam perundangan dan lain-lain. Pergaulan tidak disekat, tetapi dikawal. Islam bukan anti pergaulan atau interaksi sosial tetapi menyekat pergaulan bebas tanpa batas yang menjurus kepada perlakuan seks bebas kerana adanya pandangan yang liar dan sentuhan yang di luar batas!”

Bagaimana awak nak capai semua tu. Itu satu utopia.
“Bukan satu utopia kalau kita bermula. Di peringkat keluarga kita cuba didik, kawal anak-anak kita. Di sekolah peranan guru-guru pula. Di IPT tentulah orang semacam awak, para pensyarah. Dalam media massa cetak dan elektronik tentulah pihak berkuasa yang memainkan peranan.”

Habis awak ingat semua pihak dah tak berperanan?
“Saya bimbang… Dalam keadaan kita menjerit, melolong dan memekik tentang masalah buang bayi tetapi budaya ‘mukadimah’ zina anehnya terus diperagakan dan dipromosikan. Lihat sahaja media massa kita, kekadang di sebelah cerita buang bayi, ada gambar wanita mendedahkan aurat. Iklan apa sahaja produk, budaya bergaul bebas seperti menari bersama, dating dan bergaul bebas itulah yang diiklankan juga.”

Awak kolot. Itu kan ada nilai komersial?
“Saya kasihan remaja masa kini. Mereka hidup di tengah peluang untuk melakukan zina yang begitu besar dan luas sekali. Jalan ke arah zina diperluas. Tetapi jalan ke arah pernikahan halal dipersempit dengan pelbagai syarat dan adat yang tidak relevan dan signifikan.”

Kita perlu realistik. Kita perlukan kekuatan ekonomi yang ampuh dan kukuh.
“Dan untuk itu kita perlu membayarnya dengan mengorbankan maruah dan iman anak-anak remaja kita?”

Sejak tadi saya bercakap macam mana kita nak atasi masalah buang bayi. Itu sahaja. Tetapi awak yang melencong bercakap tentang zina…
“Tuan, masalah buang bayi ini produk kepada masalah zina. Anak yang dibuang itu hasil zina. Cegah zina, selesailah masalah buang bayi. Dan nak cegah zina perlu dicegah dulu mukadimah-mukadimah zina. Ini bukan pendapat saya. Tetapi ini ditegaskan oleh Allah dalam Al Quran apabila Allah memberi amaran dan peringatan, jangan kamu hampiri zina!”

Awak dah mula emosi. Janganlah emosional.
“Tuan, jika saya salah kerana beremosi. Tuan juga salah kerana tidak beremosi. Sayang, cintakan umat, membenci kemungkaran adalah soal perasaan. Ini soal hati. Ini berkait dengan iman. Tidak ada iman bagi mereka yang melihat kemungkaran tanpa rasa benci!”

Islam menyuruh kita membenci?
“Benci kepada kemungkaran bukan kepada yang melakukannya! Pada yang melakukannya kita perlu berdakwah, memberi didikan, memberi alternatif, dengan penuh kasih sayang dan hikmah.”
“Kalau iman kita kuat, apa sahaja yang di luar tidak mempengaruhi dalaman kita. Kita ada sistem penapis dalam atau ‘self censord’. Kita tidak perlu sekatan mahu pun kawalan.”
“Betul kah iman kita kuat? Betul kah iman remaja kita kuat? Dan satu lagi, betulkah orang yang mempunyai iman yang kuat tidak perlukan kawalan dan peraturan? Sekuat-kuat iman pun masih perlukan syariat. Bahkan mematuhi syariat itulah bukti orang beriman.”

Apa awak cakap ni?
“Maksud saya, benarkah iman kita kuat? Mana program yang membina iman? Memang ada sedikit, tetapi ditenggelamkan oleh program hedonisme yang berlambak-lambak. Iman itu ada bajanya, ada racunnya. Kalau kita menabur racun manakan tumbuh pohonnya, apatah lagi buahnya? Bahkan benihnya yang sedia ada pun boleh mati.”

Banyak sangat perlambangan!
“Dan orang yang kuat iman sekalipun masih diwajibkan mematuhi syariat atau peraturan Islam. Rasulullah s.a.w, manusia yang paling kuat iman, namun semasa menerima bai’ah daripada kaum wanita baginda sendiri tidak bersalaman dengan mereka. Isteri-isteri Rasulullah kuat iman, tetapi mereka tetap menutup aurat dan sangat menjaga pergaulan mereka sekalipun dengan sahabat-sahabat Rasulullah yang juga kuat imannya.”

Itu sejarah.
“Bukan. Itu bukan hanya sejarah. Sejarah itu adalah ibrah. Untuk dikaitkan dengan masa kini dan dijadikan teladan. Kita jangan gunakan akal semata-mata, tetapi gunakanlah akal dengan suluhan wahyu dan sunnah.”

Awak sindir saya?
Tanpa memberi respons pada provokasinya saya meneruskan, “saya masih ingat dengan akal fikiranlah, dulu ada idea yang menyarankan kita agar tidak menutup pintu langit. Jangan sekat akses itu dalam Internet. Cukup dengan iman masing-masing untuk menapis pornografi. Tetapi sekarang ada idea yang menyarankan perlu disekat akses Internet yang berunsur pornografi. Masalah manusia moden bukan tak pandai… tetapi memandai-mandai.”

Bagaimana pandangan awak tentang sekolah remaja hamil?” tiba-tiba dia pula yang mengalih tajuk perbualan.
“Baguslah. Tetapi saya tidak berminat membuang sampah di hilir atau muara sungai sedangkan ada pihak yang terus membuang sampah di hulunya!”

Apa maksud awak?
“Betul, remaja hamil anak zina perlu dilindungi dan dididik. Tetapi remaja yang belum hamil dan belum dinodai lebih ramai lagi di luar sana. Ramai yang bakal menjadi mangsa jika sikap dan budaya ‘mukadimah’ zina terus disuburkan. Apa gunanya kalau kita hanya mengubat akibat, jika puncanya terus dibiarkan malah diperagakan? “

Jadi awak setuju atau tidak?
“Itu soalan kemudian. Yang pertama atau utama, saya ingin menyoal awak. Awak setuju atau tidak semua mukadimah zina yang ada ini dicegah? Dalam Islam kaedah ini dinamakan ‘sazdus zaraik’. Kempen tutup aurat, kempen anti pergaulan bebas dan kempen mengerjakan solat perlu diperhebat! Ini kempen ‘buka hati’ untuk hadapi langit terbuka!”

Ei, ada kempen solat juga?
“Ya Allah, bukankah solat mampu mencegah kemungkaran? Cuba lihat statistik berapa ramai remaja yang meninggalkan solat? Ada kajian dulu yang saya dengar sudah di tahap 80% umat Islam sudah tidak solat. Remaja kita bagaimana? ‘Retua’ yang mendidik remaja pula bagaimana?”

Wah, awak nak cakap tentang solat pula...”
Saya diam. Berdoa. Betapa ramainya umat Islam yang tidak memahami, menghayati dan mengamalkan serta memperjuangkan agamanya. Padahal ajaran Islam itu berkait antara satu sama lain. Ada kesan berangkai yang jika diamalkan, ada kesan baik kepada bidang yang lain. Dan ada kesan buruk secara berangkai bila salah satu ajarannya ditinggalkan. 

Justeru, Allah telah memberi peringatan: Masuklah Islam secara keseluruhan! Soalnya, apakah kita sudah Islam seluruh, sepenuh? Langit sejak dulu telah terbuka dengan turunnya wahyu, bukankah Islam itu agama samawi? Tetapi hati kitalah yang tertutup untuk menerima cahayanya. Apa gunanya langit terbuka, jika mata hati tertutup? Hasilnya, hati dan diri kita tetap gelap dalam limpahan cahaya!


"SHARING IS CARING"




Bulatan Bulat
4 Januari 2012

Bulatan bulat itu
tempat pertama aku mengenalinya
semasa Tingkatan 1 di Maahad Muhammadi (P) Kota Bharu
menjadi kewajipan bagi pelajar baru ketika itu
aku diberi, aku dicurahi
Tingkatan 2 aku pula memberi
dengan kadar penerima yang sangat ramai
bulatan bulat itu tidak efektif
Tingkatan 3 menyusul
baru aku rasai kemanisaan bulatan bulat itu
ketika berada dalam Badan Disiplin sekolah
walaupun gerak kerja sentiasa berjalan setiap hari
sang murabbi tidak putus2 memberi, mencurah
dengan penuh kasih sayang.

Tingkatan 4 langkah berubah arah ke Bumi Penyu
tak sempat merasai kemanisan bulatan bulat di tempat baru
dugaan menimpa diriku dan sahabat2
Bumi Besut menjadi saksi
pendidikan kami diperkotak-katikkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab
langkah kami terarah ke Bumi Dungun
cabaran demi cabaran di hadapi
akhirnya aku bertemu bulatan bulat sejati
bersama 8 orang muawwalun yang terpilih
ku ucapkan terima kasih buatmu murabbi

Kami ber8 berusaha
sedikit demi sedikit
selangkah demi selangkah
melahirkan adik-adik pewaris
yang akan menjaga bi'ah solehah sekolah itu
yang kian terhakis masa demi masa
meskipun bekalan kami sebagai pemberi
bukanlah yang terbaik
hanya itulah yang mampu kami berikan buat mereka yang memerlukan.

Bulatan bulat itu
lebih aqrab aku kenali
tika langkah pertama di Bumi Barakah Darul Quran
Tahun pertama aku berkenalan dengan Paradise Seekers
diberi, dicurahi, dikongsi
segala ilmu, kasih sayang
di situlah aku mengenali erti kasih sayang yang sebenar
di bulatan bulat Paradise Seekers itulah
aku mula merubah diriku
menjadi seorang yang mudah berkasih-sayang
lebih-lebih kepada adik-adik ku di rumah.
Subhanallah, Maha Suci Allah atas nikmat yang Kau kurniakan ini.


Tahun kedua aku dikurniakan anak-anak Wajhul Musfirah
yang penuh dengan kasih-sayang
tugasan aku untuk memberi dan mencurahi pula
meskipun masaku bukanlah yang terbaik dapat ku berikan kepada mereka
tetapi kasih sayang mereka kepada ku melebihi dari yang aku sangkakan
indahnya Bulatan Bulat
kerana mereka lah yang menjadikan aku DIRIKU HARI INI

Ku teruskan langkahku ke Taman Budi dan Ilmu
aku bertemu kembali Bulatan Bulat yang aku idam-idamkan
Bulatan Bulat Saadah menyatukan hati-hati kami
yang sangat dahagakan curahan ilmu
kerana kami lahir dari Bulatan Bulat
maka sudah pastilah Bulatan Bulat yang kami inginkan



Tahun kedua aku diberikan Bulatan Bulat untuk aku memberi dan mencurahi
meskipun aku tahu aku bukanlah yang terbaik
aku cuba untuk memberi apa yang terbaik
alhamdulillah sehingga saat ini kami masih bersama 
meskipun jarang-jarang sahaja Bulatan Bulat ini dapat membulat

Hari ini aku bersama-sama Bulatan Bulat MAMA DAN IBU
Hari ini aku bersama-sama Bulatan Bulat Paradise Seekers Junior
ini bukan bererti aku melupakan Bulatan Bulatku yang sebelum-sebelum ini
kerana mereka masih segar dan sentiasa segar
dalam hati dan diri ini
kerana AKU SAYANG MEREKA.

Buat MAMA dan IBU, dan adik-beradik
izinkan hati ini bertaut dengan hati-hati kalian
izinkan diri ini mendapat dan berkongsi ilmu dari kalian
kerana kalianlah yang berada dekat dengan diri ini, di saat ini

Buat anak-anak Paradise Seekers
ku abadikan nama Bulatan Bulat yang melahirkan DIRIKU HARI INI
bersama kalian semua 
bukakan pintu hati kalian menerima kekurangan diri ini
izinkan hati kalian untuk menerima kasih sayang dari diri yang lemah ini
kerana aku juga sedang belajar, dan akan terus belajar
untuk menerima segala teguran dari kalian
maafkan diri ini atas kekurangan
dalam tempoh seketika kita bersama
masa masih memberi peluang kepada kita untuk membaikinya.




Salam rindu buat mereka yang setia bersama-samaku menemani perjalanan Bulatan Bulat ini

*MMP- along Fatimah Mujahid
*Imtiaz- Nisa', Hasna, Azizah
*DQ- ayong syazila, anjang farhana, along Fatimah, angah Suhana, alang Rohimah, acik Za, andak Baini, anje Zue, ateh Irah, uda Fatimah, usu Keon, adeq Aziah
*DQ- along Naimah, acik Fatin, anjang Anisah, uda Aflah, adik Nadhirah, ucu Faizah, alang
*UIA
- along Nana, ayong Yati, angah Masyitah, acik Elly, alang Zahidah, anje Zue, uda Fatimah, ateh Lina
- farah, nabilah, yana, imani, asmah, masyi, ayuni, zulaikha, aminah, sasa
- k.ina, majdah, siso, mahirah, sakinah, didi, rodhy, Nuha
- along Mira, angah Fathanah, alang Hidayah, ateh Nadzifah, ayang Nida', acik Mariam, anje Hajar, adik Farah, andak Farhana, kakDe.
-mama Imah, ibu Laila, along Tiqah, acik Sha, andak Kinah, anje Zue, ateh Ainul, ayong Iffah, aniq Wana, ucu Rokiah, adik Ain, kakak Habibah, alang Jiha 

Ramainya mereka yang bersama dalam Bulatan Bulat ku
walaupun aku tahu aku bukanlah seperti Mus'ab bin Umair
yang merupakan naqib pertama dihantar Rasulullah 
yang berjaya melahirkan ramai generasi
tetapi aku tetap berdoa moga aku berjaya mencontohi
susuk tubuh bernama MUS'AB BIN UMAIR ini.

Bingkisan hati nurani insan yang terlahir dari sebuah Bulatan Bulat yang suci.