MENELADANI UMMAHATUL MUKMININ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu: "Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, Maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut'ah* dan Aku ceraikan kamu dengan cara yang baik. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, Maka Sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar." (Al-Ahzab: 28-29)
*mut'ah: suatu pemberian yang diberikan kepada perempuan yang telah diceraikan menurut kesanggupan suami.

MUQADDIMAH
Penglibatan Muslimat di dalam perjuangan Islam bukanlah suatu perkara yang baru. Bahkan, kejayaan, kemenangan dan keunggulan kaum Muslimat, yang menjadi sayap kiri perjuangan Islam telah tercatat di dada Sejarah semenjak dari wujudnya ‘alam maya ini. Seterusnya, penyertaan Muslimat dalam gerakan Islam ; adalah suatu keperluan yang dimestikan memandangkan peranan Muslimat di kalangan kaum wanita adalah penting dalam usaha menyeru kearah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran. Muslimat yang juga merupakan Isteri bagi para suami dan ibu kepada anak-anak perlu memahami kewajipan, bijaksana dalam membuat pembahagian masa, memiliki kekuatan, kecekapan berfikir dan bertindak dalam melakukan tugas kepada keluarga, masyarakat, agama dan negara.

Kita kembali mengambil pengajaran daripada kehidupan Ummahatul Mukminin yang banyak menyokong dan membantu Nabi dengan kekuatan peribadi mereka, kebijaksanaan, kecerdasan, ketabahan, kesetiaan, harta, pengaruh dan pergaulan yang luas dalam memperluaskan syariat ALLAH dan pengaruh Empayar Islam di muka bumi ini. Mereka ini adalah golongan yang dikatakan oleh ALLAH melalui firmanNya….
Sesungguhnya ALLah akan memasukkan mereka ke dalam suatu tempat (syurga) yang mereka menyukainya. Dan sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui lagi Maha Penyantun (Al-Hajj : 59)

GEDUNG ‘ILMU
Ummahatul Mukminin yang terdiri daripada 13 orang tersebut selain daripada menjadi Isteri kepada baginda Rasul SAW juga menjadi tempat rujukan ilmu para Muslimat zaman tersebut. Bahkan, selepas Rasulullah SAW wafat maka beberapa di antara mereka terus menjadi sumber rujukan utama kaum Muslimin. Ini dapat kita lihat melalui peranan Saidatina Saudah r.a , Saidatina Aisyah r.a , Saidatina Hafsah r.a , Saidatina Raihanah r.a, Saidatina Syafiyah r.a, Ummu Habibah r.a dan Ummu Salamah r.a . Saidatina Aisyah r.a pula memang termasuk sebagai ahli Ilmuan dalam Al Qur’an, hadith, fiqh, sejarah dan bahasa Arab. Sebagaimana yang diterangkan oleh Abu Burdah bin Musa dari ayahnya:
“…setiap sahabat yang menemukan kesulitan dan bertanya kepada Aisyah r. a pastilah mereka mendapat jawapan yang mantap dan ilmiah…”

Selain daripada itu, tercatat dalam tinta sejarah bahawa Saidatina Aisyah r.a termasuk salah seorang daripada 7 orang ahli Majlis Syura selain Umar Ibn Khattab r.a, Ali bin Abi Talib r.a , Abdullah Ibn Mas’ud, Zaid bin Thabit, Abdullah bin Abbas dan Abdullah bin Umar. Saidatina Aisyah r.a, Hafsah r.a dan Ummu Salamah juga banyak meriwayatkan hadith daripada baginda RasuluLLah SAW yang menjadi mereka sebagai golongan Muhaddisah . Kehadiran mereka ini sesungguhnya telah dapat membantu baginda Rasul SAW dalam menyampaikan mesej Islam sehingga ke semua peringkat termasuklah kaum wanita hari ini . Seterusnya menaikkan martabat wanita yang pada awalnya dinilai sebagai golongan yang sial dan berada pada tahap yang sebegitu rendah dari sudut kaca mata masyarakat Arab Jahiliah ketika itu. Ini seterusnya membuktikan kepada kita pada hari ini bahawa wanita yang berilmu juga harus diberikan penghormatan yang tinggi dalam Islam dan memberikan satu input yang cukup berguna dalam meneruskan kesinambungan perjuangan.

Firman ALAH SWT yang mafhumnya:
ALLAH meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ‘ilmu pengetahuan beberapa darjat…( Al Mujaadalah : 11 )

KEKUATAN EKONOMI & SIKAP PEMURAH (DANA PERJUANGAN)
Perjuangan Islam sejak daripada awal perjuangan baginda Rasul SAW lagi menunjukkan kepada kita akan peri pentingnya kemantapan ekonomi untuk menjana dan meneruskan kelangsungan perjuangan. Baginda SAW banyak dibantu oleh kemantapan dan keutuhan ekonomi yang dimiliki oleh Isteri baginda yang tercinta iaitulah Saidatina Khadijah binti Khuwailid. Sayyidah Khadijah, Ummul Mukminin pertama dalam sejarah Islam adalah seorang wanita bangsawan dan hartawan yang gigih. Beliau senantiasa memberikan dorongan besar terhadap perjuangan Rasulullah SAW di samping memainkan peranan sebagai penolong, pembela, pelindung Rasulullah SAW daripada ancaman orang-orang Musyrikin Quraisy. Selepas kewafatan Sayyidah Khadijah ketika berusia 65 tahun, Rasul SAW begitu bungkam sekali. Sehinggakan tahun tersebut dicatatkan dalam Sejarah Islam sebagai Tahun Duka Cita (bukan setakat terhadap baginda SAW tetapi juga kepada semua makhluk yang beriman kepada ALLAH). Rasulullah juga beranggapan bahawa baginda bukan setakat kehilangan Isteri yang setia tetapi kehilangan seorang pembantu dan pembela baginda dalam melanjutkan tugas suci iaitu menyeru manusia kepada ALLAH SWT.

Di samping itu, sejarah telah menukilkan betapa Ummahatul Mukminin semuanya adalah insan-insan beriman yang bersikap pemurah dan dermawan. Contohnya, Sayyidah Saudah r.a mengikut catatan sejarah pada tarikh kewafatannya, tidak langsung meninggalkan harta yang masih menjadi miliknya walau sedikit. Kesemua hartanya telah dibahagi-bahagi kepada sesiapa yang memerlukan ketika hayatnya. Demikian jugalah halnya beberapa Ummahatul Mukminin yang lain. Sayyidah Zainab r.a misalnya terkenal dengan gelaran Ibu Orang-orang Miskin (Ummul Masakin) lantaran sifatnya yang cukup mengambil berat kebajikan dan nasib kaum dhu’afa’ serta memberikan bantuan kepada mereka.

KEMAHIRAN PSIKOLOGI YANG TINGGI
Psikologi atau juga yang dikenali sebagai Ilmu Kejiwaan amat memainkan peranan penting dalam bidang kehidupan seseorang khususnya para pemimpin/ pejuang dan juga gerakan yang dibawanya. Mengimbau ketinggian Ilmu Psikologi yang ada pada Ummahatul Mukminin, dapat kita simpulkan bahawa mereka berjaya menguasainya sehingga dapat membantu perjuangan baginda SAW dalam perjalanan yang terarah, tenang di samping ketetapan bantuan ALLAH SWT.

Pernah berlaku satu peristiwa di mana Rasulullah SAW amat sedih lantaran arahan baginda (selepas perjanjian Hudaibiyah ditandatangani dengan pihak Quraisy) kepada para Muslimin agar menyembelih haiwan sebagai dam (denda) kerana mereka tidak menunaikan haji pada tahun tersebut dan kemudian menyuruh mereka mencukur rambut sebagai tanda tahallul tidak diikuti oleh seorang pun. Maka baginda kembali ke rumah Ummu Salamah dan menceritakan hal tersebut dengan nada bersedih. Lantas, dengan ketinggian ilmu Psikologi yang ada pada Ummu Salamah yang memahami keadaan suaminya yang tercinta maka beliau berkata :
Ya RasuluLlah…! Sukakah engkau mengerjakan itu..? Kalau engkau suka hendaklah engkau keluar dan jangan berkata-kata walau sepatahpun dengan mereka, sehingga engkau menyembelih untamu kemudian engkau panggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu….!”

Nasihat isteri tercinta dituruti oleh baginda kerana pada pandangan baginda ia suatu saranan yang bagus. Ternyata keberkesanannya kerana apabila melihat tindakan Rasul SAW itu, semua kaum Muslimin mengikuti perbuatan baginda. Baginda berasa amat gembira dan memahami bahawa hanya dengan kata-kata sahaja kurang berkesan dalam mengajak manusia. Di sini juga dapat kita rumuskan betapa psikologi terhadap anak-anak buah/ orang-orang bawahan amat perlu dipertingkatkan dalam usaha kita mengarah mereka ke jalan ALLAH SWT.

Ummu Salamah merupakan antara salah seorang Ummahatul Mukminin yang bijak dan berwibawa. Ini termasuklah dalam peranannya menasihati Siti Aisyah yang melibatkan diri dalam pertelingkahan antara Muslim selepas kewafatan RasuluLLah SAW dan juga nasihatnya kepada Sayidina Usman Affan agar mendekati dan memahami rakyat di bawah pemerintahannya. Sesungguhnya, Ummul Mukminin ini telah berjaya memainkan peranannya dalam 3 zaman iaitu zaman Rasul SAW, Zaman Khulafa Ar Rasyidin dan pemerintahan Muawiyah, pemula kepada pemerintahan Bani Umaiyyah. Sikap, ketegasan dan pengorbanan Ummu Salamah dalam melayani karenah-karenah kaum Muslimin khususnya selepas kewafatan Rasul SAW juga harus dijadikan contoh. Ketika Muawiyah berkempen mengajak ummat Islam untuk mengutuk Ali bin Abi Talib dalam suatu tabligh akhbar, Ummu Salamah segera mencabar dan memberikan nasihat kepada Muawiyah dan kaum Muslimin. Beliau berkata dengan penuh semangat lagi pantas….
“Sesungguhnya kamu sekalian telah melaknati ALLah dan RasulNya di atas mimbarmu. Kerana kamu telahpun melaknati dan mengutuk Ali bin Abi Talib serta orang-orang yang mengikutinya. Dan saya bersaksi bahawa ALLAH dan RasulNya amat mencintai Ali bin Abi Talib.”

HUBUNGAN DIPLOMATIK ANTARA KAUM
Sirah perkahwinan Rasul SAW dengan para isteri baginda SAW amat jelas bukanlah didasari atas kehendak dan kepentingan nafsu. Bahkan, sejarah telah membuktikan betapa di antara kalangan 13 orang wanita yang dinikahi baginda, hanya seorang sahaja yang bertaraf gadis iaitu Sayyidatina Aisyah r.a. Manakala selebihnya telah pernah berkahwin. Ada yang merupakan janda daripada para sahabat yang telah gugur syahid di medan jihad mempertahankan Islam. Ada pula yang merupakan abdi @ tahanan perang dan ada juga yang telah diceraikan oleh para suami terdahulu. Rasul SAW menikahi mereka sebagai langkah untuk menjaga kebajikan mereka dan tidak kurang juga hasil daripada arahan wahyu ALLAH, contohnya pernikahan baginda dengan Siti Aisyah r.a dan Zainab binti Jahsyi r.a.

Apa yang ingin diketengahkan di sini ialah peranan perkahwinan tersebut dalam perspektif hubungan diplomatik dan antara kaum. Ummahatul Mukminin, Mariyah Al Qibtiyah r.a contohnya ialah Puteri Syam’un dari kalangan penganut agama Nasrani ( Kristian ) Mesir, manakala ibunya berasal dari Rom, Itali. Beliau menjadi salah seorang penghuni Istana Muqauqis. Raja Muqauqis pula amat sayangkan dan menghormati beliau. Walau bagaimanapun, sebagai menghormati Nabi Muhammad SAW yang telah mengutuskan warkah kepada Raja Muqauqis, maka Mariyah telah dihadiahkan untuk Nabi Muhammad SAW. Dalam perjalanan menuju ke Madinah, Mariyah telah tertarik dengan kecantikan akhlaq Islam yang ditunjukkan oleh Hatib bin Balta’ah, orang kepercayaan Rasulullah SAW, lantas beliau memeluk Islam. Rasul SAW pula telah mengangkat martabatnya menjadi salah seorang daripada Ummahatul Mukminin. Hasil daripada hubungan ini, maka ahli keluarga Mariyah Al Qibtiyah juga kagum dengan akhlaq yang ditunjukkan dalam Islam. Hubungan antara ketiga-tiga buah negara semakin baik dan Islam selanjutnya dapat dikembangkan di Mesir dan Romawi, melalui hubungan perkahwinan tersebut.

Selain daripada itu, perkahwinan baginda SAW dengan Barrah Al Harris atau kemudiannya ditukarkan nama oleh baginda kepada Juwairiyah r.a juga telah merapatkan hubungan antara kaum iaitu antara Kaum Quraisy – Islam dengan Kabilah Bani Al Mustaliq, satu kelompok yang begitu memusuhi Islam di Madinah . Ini dapat kita lihat melalui kata-kata Ummahatul Mukminin Sayyidatina Aisyah r.aSungguh, telah dimerdekakan dengan sebab perkahwinannya itu, seratus keluarga kaum Bani Mustaliq. Maka tidak pernah ku ketahui seorang wanita yang banyak berkatnya atas kaumnya, lebih daripada Juwairiyah..."
Ayahanda Juwairiyah r.a iaitu Al Harrsi Abi Dhirar juga telah memeluk Islam di hadapan menantunya, Muhammad SAW.

Ummahatul Mukminin ini juga telah menjadi tempat rujuk berkenaan hukum selepas kewafatan baginda SAW. KHIDMAT MASYARAKAT kalangan Ummahatul Mukminin juga telah meninggalkan contoh kepada perjuangan masakini khususnya di kalangan Muslimat berkenaan persoalan khidmat masyarakat. Ini dapat kita perhatikan melalui peranan yang telah dimainkan oleh Ummahatul Mukminin, Maimunah r.a. Walaupun baginda SAW telah tiada, namun Maimunah r.a tetap menunjukkan kesetiaan yang penuh kepada Nabi SAW. Beliau tetap menjaga silaturrahim antara beliau dan madunya.

Terdapat dalam catatan sejarah bahawa 
Maimunah r.a banyak mengarahkan perhatiannya kepada masalah kaum wanita, terutama remaja Islam. Beliau membentuk satu pertubuhan wanita bagi memberi bantuan pertolongan cemas terhadap para pejuang yang tercedera dalam peperangan. Oleh itu, beliau sangat menonjol dalam Perang Tabuk yang terjadi dalam Bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah, ketika itu Rasulullah SAW masih hidup. Saat itu, Maimunah r.a berada di antara kaum Muslimin pada barisan terdepan sekali . Ketika itu, beliau menyantuni para pejuang Islam yang tercedera dan merawat mereka dengan penuh kasih sayang dan ikhlas, bahkan beliau sendiri pernah hampir disambar anak panah musuh. Sikap dan kemahiran ini terus beliau kembangkan setelah Rasulullah SAW wafat, bahkan para sejarahwan mengatakan bahawa beliaulah orang yang pertama sekali menubuhkan Persatuan Wanita. Kelebihan beliau ini juga mendapat pujian daripada Sayyidatina Aisyah r.a melalui kata-katanya:
"Beliaulah ( Maimunah ) orang yang paling taqwa di antara kami ( para isteri Rasulullah SAW ) dan yang paling banyak melakukan silaturrahim !"

RUMUSAN
Ummahatul Mukminin begitu banyak meninggalkan suri tauladan kepada pejuang-pejuang Muslimat masakini. Dalam soal keilmuan, komunikasi, diplomasi, perdamaian, atursiasah dan langkah-langkah strategi serta termasuklah apa jua aspek sekalipun. Pengorbanan yang ditumpahkan ikhlas oleh mereka bukan setakat membantu kaum Muslimat bahkan juga kaum Muslimin dan yang lebih penting ialah khususnya perjuangan baginda Raulullah SAW itu sendiri. Tetapi malangnya, dewasa ini ramai ummat Islam yang terpengaruh oleh kenyataan kaum intelektual sekular yang menyatakan bahawa peranan Ummahatul Mukminin ini hanya terbatas dalam soal melayani kehendak individu Rasul SAW.

Semoga apa yang dibentangkan ini akan menjadi input yang berguna dalam menjana sokongan dan kerjasama seluruh pejuang Islam, tidak kira Muslimin atau Muslimat.

"Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu adalah bersaudara"(Al-Hujurat: 10)

SUMBER





"Muslimat tidak boleh lagi menganggap diri mereka hanya sebagai pelengkap kepada golongan lelaki di dalam medan juang, tetapi mereka juga perlu berperanan sebagai tiang seri yang menongkat istana perjuangan."

0 Responses

Catat Ulasan