Berhibur tiada salahnya.....
Terngiang-ngiang lirik lagu di atas nyanyian kumpulan Raihan. Berkebetulan, 3 hari lepas saya buka FB, terbaca satu status seorang sahabat, merupakan mafhum dari sepotong ayat al-Quran:
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" ~Al-An'am: 32~
Bercerita tentang hiburan, pada 2 malam yang lepas, saya bersama-sama keluarga telah meluangkan masa untuk menyaksikan tayangan perdana filem " Dalam Mihrab Cinta" dan Forum Bicara Selebriti di Balai Islam Lundang bersempena Hari Hiburan Islam (HAI) anjuran Kerajaan Negeri Kelantan.
Apa yang menariknya program ini, pada pandangan saya ia merupakan satu transformasi dalam pendekatan dakwah untuk menarik masyarakat mengenali keindahan Islam dengan lebih dekat dan mendalam melalui platform hiburan. Tayangan filem umpamanya, kita melihat lambakan filem dan drama di media-media elektronik yang sememangnya sangat sedikit filem yang dihasilkan berunsurkan Islam. Tambahan lagi, terlalu banyak filem dan drama yang ditayangkan adalah buatan barat dan negara jiran lain seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.
Namun begitu, dalam lambakan sinetron Indonesia yang ada, masyarakat kita hari ini segolongannya mula berminat dengan filem-filem islamik. Umpamanya, fenomena demam Ketika Cinta Bertasbih (KCB) yang telah mengeluarkan sirinya sehingga 4 keluaran, KCB, KCB 2, KCB Special Ramadan dan yang terbaru, KCB Meraih Redha Ilahi. Drama yang terkenal dengan adaptasi dari novel tulisan novelis terkenal Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi a.k.a Kang Abik ternyata telah berjaya menarik masyarakat dan beberapa penggiat seni untuk mencontohi pendekatan beliau. Drama dan filem yang dibuat beliau memberikan begitu banyak input berguna kepada masyarakat tentang Islam, dan melaluinya saya melihat bahawa mesej sesuatu dapat disampaikan dengan baik oleh pelakon tanpa perlu menggadaikan aturan Islam seperti bersentuhan dan aksi-aksi yang melanggar syariat.
Pada malam tersebut, kami sekeluarga menonton filem "Dalam Mihrab Cinta", sebuah lagi karya Kang Abik yang di adaptasi dari novel beliau. Memang best ceritanya, mengisahkan tentang nasib seorang pelajar yang difitnah sebagai pencuri, dan apabila dibuang dari pesantrennya, dia benar-benar telah menjadi pencuri wang saku kerana desakan hidup tiada duit. Namun, akhirnya dia insaf dan memulakan kerjaya sebagai pendakwah muda yang terkenal. Yang menariknya, dia menjadi pencuri yang sangat baik. Selepas berjaya mencuri beberapa dompet, dia akan mencatat setiap jumlah duit yang diperolehi. Kadang-kadang dia akan mendermakan sebahagian duit tersebut di tabung-tabung masjid. Dan akhirnya, apabila telah insaf dia telah mengembalikan semula dompet berserta wang yang dicuri kepada tuan empunya semula, diselitkan bersama surat memohon kemaafan. Wah, Subhanallah...Alangkah indahnya kalau dompet saya yang dicuri 2 tahun yang lepas dikembalikan sebegitu..
Keesokan malamnya, kami berkesempatan bersama-sama panelis dari kalangan figure-figure: Dr. Mohd Asri, Wardina Safiyyah, Sham Kamikaze dan Ustaz Hasrizal. Forum yang dimoderatorkan oleh Abang Amin Idris ternyata semakin menarik dengan keletahan beliau dan tujahan-tujahan soalan panas yang diberikan samada dari beliau sendiri atau penonton-penonton. Secara keseluruhan saya melihat forum Bicara Selebriti ini memberikan gambaran dan perkongsian baru tentang bagaimana memahami Islam melalui perkongsian dari artis-artis Malaysia yang melakukan penghijrahan seperti Wardina dan Sham Kamikaze. Mereka berkongsi apa yang mereka rasai dan lalui sebelum dan selepas berhijrah. Disamping itu, penerangan tentang hukum berhibur dan bagaimana untuk berubah sebagaimana yang disampaikan oleh Dr. Mohd Asri dan Ustaz Hasrizal yang disertakan dalil-dalil dari hadis dan sirah nabawi ternyata memberi input yang berguna, bukan sahaja menjernihkan beberapa soalan kontroversi, bahkan membuka minda kita sebagai orang Islam bahawa Islam itu adalah agama yang mudah dan memberikan pelbagai alternatif kepada setiap masalah yang kita hadapi.
Kepada sesiapa yang terlepas peluang menyaksikan forum tersebut bolehlah saksikannya di
Kelantan TV.
Islam itu agama yang sangat indah, agama yang memudahkan seluruh penganutnya. Jadi kita sebagai penganut agama Islam janganlah kita memayahkan dalam semua urusan kerana Islam memberikan jalan keluar kepada setiap permasalahan. Maka, belajarlah dan teruskan belajar tentang Islam. Kajilah tentang hadis-hadis nabi dan pandangan-pandangan ulama' tentang sesuatu perkara supaya kita tidak mudah melenting dan mudah berlapang dada dengan pandangan yang berbeza-beza.
الإسلام يعلوا ولا يعلى عليه
"ISLAM ITU TINGGI DAN TIADA YANG LEBIH TINGGI DARIPADANYA"
Catat Ulasan