Hukum Lupa Hafazan Al-Quran
20 November 2009

Hari ni genap seminggu saya bercuti di rumah. Cuti masih berbaki lagi 2 minggu. Sepanjang seminggu yang lepas, macam mana dengan masa cuti? Adakah saya menghabiskan masa saya dengan perkara-perkara berfaedah? Selain dari tolong ummi dan ayah dengan menjadi suri rumah sepenuh masa, macam mana saya menjaga hafazan Al-Quran?? Subhanallah, Maha Suci Allah kerana DIA masih memberi peluang kepada saya untuk muhasabah kembali sejauh mana saya menjaga hafazan Al-Quran yang telah sekian lama saya hafaz.

Beberapa hari sebelum ini, semasa saya sedang menyiapkan tugasan, saya terjumpa satu artikel dalam 'pendrive' saya yang telah sekian lama bersarang. Niat di hati tujuan saya 'save' dari internet, sebab nak membaca dan dijadikan peringatan. Tapi manusia sememangnya tak lari dari sifat pelupa, jadi tergolonglah saya di kalangan orang yang pelupa itu kerana tidak membacanya dengan sebaiknya. Artikel tersebut bertajuk "Hukum Lupa Hafazan Al-Quran" tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Sebenarnya artikel itu berkisarkan persoalan seorang hamba Allah mengenai hukum apabila ayat-ayat Al-Quran yang dihafaz semasa zaman kana-kanak, terlupa apabila dewasa. Persoalannya juga mengenai adakah berdosa kerana tidak mengulang bacaan ayat-ayat tersebut sehingga menyebabkan kita lupa.

Maka, ustaz Zaharuddin pun menjawab sedemikian:

Asas hukum di dalam isu ini adalah hadith-hadith berikut :-
قال  رسول الله صلى الله عليه وسلم : ما من امرئ يقرأ القرآن ثم ينساه إلا لقي الله عز وجل أجذم
Ertinya : "Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil"
( Riwayat Abu Daud ; Al-Munziri mengatakan ada perawinya Yazid Bin Abi Ziyad, hadithnya tidak dijadikan hujjah; Dhoif menurut Albani ; no 1474, hm 176)

Abu Ubayd menyebut : "Ajzam" di dalam hadith di atas bermaksud terpotong tangan, manakala Ibn Qutaybah pula menyebut ianya bermakna kerdil.
( Ma'alim as-Sunan, AL-Khattabi, 1/253 ; Awnul Ma'bud, Ibn Qoyyim)

Terdapat ulama yang menjadikan hadith di atas sebagai hujjah dalam isu melupakan hafazan al-Quran. Disebut huraian "yaqra" di atas merangkumi maksud membaca dengan melihat, membaca secara hafaz dan membaca makna Al-Quran kemudian meninggalkan pembacaannya secara lupa atau sengaja. Bagaimanapun hadith di atas telah dihukum sebagai dhoif.

Antara hadith lain adalah :

عرضت عليّ ذنوب أمتي فلم أر ذنباً أعظم من سورة من القرآن - أو أية -  أوتيها رجل ثمّ نسيها

Ertinya : " Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya"
( Riwayat At-Tirmidzi, bab Fadhail Quran dari Rasulullah SAW, no 2840 ; At-Tirmidzi : Gharib; Al-Munziri : Dhoif kerana perawi bernama Abd Majid Bin Abd Aziz ; rujuk Tuhfatul Ahwazi)

Para ulama salaf berbeza pandangan dalam bab melupakan ayat Al-Quran, sebahagian mereka menjadikannya sebagai dosa besar, antaranya Ulama Syafie seperti Syeikh Ar-Ruyani, Al-Qurtubi dan lain-lainnya yang mengatakan melalaikan pembacaanya adalah penyebab kepada lupa ayatnya, lupa ini menunjukkan tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap Al-Quran. Malah di sebut dalam sebuah riwayat Mawquf :

 ما من أحد تعلم القرآن ثم نسيه إلا بذنب أحدثه , لأن الله يقول : وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم

Ertinya : Tiada seorang pun yang mempelajari Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana Allah berfirman : " Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri" " .Mereka menambah : tiada musibah yang lebih besar dari melupakan al-Quran.

Sebuah lagi sambungan hadith di atas tetapi bertaraf mursal menurtu Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqolani;
Ertinya : "..tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya"
(Dikeluarkan oleh Ibn Abi Daud ; Rujuk Fath Al-Bari)

Imam Al-Qurtubi pula berpendapat bahawa sesiapa yang menghafaz Al-Quran maka telah tinggi darjatnya sekadar mana yang ia hafaz, apabila rosak kedudukan ini kerana lupa maka ia akan membawa kepada jahil, maka jahil selepas berilmu adalah amat buruk.
( Rujuk Fath al-Bari, bab : Kelebihan Al-Quran, no 4650)

Bagaimanapun, sebahagian ulama salaf pula pula menghuraikan maksud lupa di sini adalah melupakannya dengan meninggalkan beramal dengan ayat itu. Ini kerana amaran jikalau lupa ini hanya tertakluk kepada lupakan hafazan al-Quran maka akan berkatalah seseorang , bahawa LEBIH BAIK TIDAK PERLU MENGAHAFAZ TERUS. Maka ia bertentangan dengan objektif Syariah.

Kesimpulannya : Apapun tafsiran dan kekuatan dan kelemahan rawi hadith, sememangnya menjadi kewajiban bagi menjaga hafazan Al-Quran demi mengekalkan ketinggian maqam di sisi Allah s.w.t, juga amat wajib bagi yang telah mempelajari ilmu-ilmu dari Al-Quran dan memahaminya kemudian melupakannya. Justeru, amat perlu bagi kita umat Islam mengingati hafazan dan ilmu dari al-Quran untuk di baca dan di amal. Wallahu ‘alam.


Demikian jawapan yang telah diberikan oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman mengenai hukum lupa hafazan Al-Quran. Bagi sahabat-sahabat saya yang pernah menghafaz Al-Quran, tak kira pernah menghafaz walau satu juzu' apatah lagi yang telah khatam hafazan 30 juzu',  kita semua sedia maklum bahawa melupakan hafazan Al-Quran adalah satu dosa besar bagi kita yang menghafaznya. Bahkan sebelum kita mengambil keputusan menceburi bidang hafazan Al-Quran, kita juga sudah maklum bukan sahaja kelebihannya, tetapi risikonya sekira kita melupakan.

Ramai orang suka menyebut perkataan "hafal" Al-Quran berbanding "hafaz" Al-Quran. Sedangkan yang lebih tepat sebutannya adalah "hafaz" yang berasal dari perkataan bahasa Arab "ha-fa-zho" bermaksud "menjaga". Bukan sahaja kita menjaga kalam Allah s.w.t. yang kita ingat untuk diri kita semata-mata, bahkan kita saling menjaga antara sahabat-sahabat yang se'jalan' dengan kita. Menjaga di sini saya ertikan sebagai mentadabbur dan menghayati isi kandungan Al-Quran seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan. Bukan mudah untuk mengambil tanggungjawab berat ini kerana tidak semua manusia mempunyai kekuatan yang sama untuk menjaga Kalamullah. Saya juga merasai situasi ini apatah lagi memiliki adik-beradik di rumah yang sama-sama se'jalan' dengan saya. Kami sama-sama memikul amanah dan tanggungjawab yang berat ini. Jika bukan kami yang menjaga, siapa lagi yang nak tolong jagakan??

Saya 'post'kan artikel ini sebagai peringatan kembali buat diri saya dan sahabat-sahabat saya dari MMP, IMTIAZ dan DQ Jakim. Kita pernah bersama-sama bermujahadah di Taman Al-Quran, dan janganlah kita sia-siakan mujahadah kita selama bertahun-tahun (walaupun tak sampai 10 tahun) dengan meninggalkan hafazan Al-Quran tanpa rasa tanggungjawab. Bukan sahaja kita ingat ayat-ayat Al-Quran, malah masa inilah peluang untuk kita mentadabbur ayat Al-Quran yang dihafaz dan praktikkan di posisi kita berada sekarang.  Bagi yang baru nak menceburi bidang hafazan, teruskan niat dan semangat anda. Jangan lemah semangat dengan risiko yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya Allah s.w.t tahu kemampuan hamba-hambaNYA.

Mohon kemaafan andai posting saya kali ini banyak kelemahan. Seandainya ada kesilapan pada posting kali ini, harap ada yang sudi menegur. Salam Mujahadah!!!
A NICE STORY FOR MOTIVATION
18 NOVEMBER 2009

KISAH SAIDINA ALI DAN PENGEMIS

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali telah didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya.

Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu. Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu bahawa dia dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang.

Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal.

Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta. Beberapa hari kemudian, Rasulullah s.a.w berjumpa Saidina Ali lalu bertanya:

"Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?"

Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.

MORAL & IKTIBAR


  • Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong orang yang dalam kesusahan. Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang balasannya akan diterima di dunia lagi.


  • Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan.


  • Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak

Apabila bercakap tentang motivasi, ia merupakan satu kuasa yang dapat meningkatkan kekuatan dan keyakinan diri kita untuk melakukan sesuatu. Sirah Rasulullah s.a.w telah melakarkan bahawa baginda selalu memberikan motivasi kepada para sahabat dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dan menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat.

Satu perkara yang terkesan kepada diri saya adalah mengenai hadis Rasulullah s.a.w tentang pembukaan Kota Konstantinople yang akan dibebaskan oleh umat Islam yang merupakan sebaik-baik raja dan memiliki sebaik-baik tentera. Satu perkara yang amat mustahil pada pemikiran para sahabat kerana Islam pada ketika itu umat Islam bukanlah dikalangan umat yang paling kuat untuk membebaskan kota yang paling kebal. Satu janji yang dilihat keterlaluan ketika itu.

Tetapi, beginilah cara Rasulullah s.a.w memotivasikan para sahabat!! Meskipun tidak diketahui bilakah masanya Kota Konstantinople akan dibebaskan, namun kita dapat saksikan dalam nukilan sejarah bahawa selama 800 tahun usaha yang dilakukan oleh umat Islam untuk merealisasikan janji Rasulullah s.a.w dalam hadis tersebut. Pelbagai usaha dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Islam bermula pada zaman sahabat, sehingga para tabi' dan tabi'in dan akhirnya tanggal 29 Mei 1453, seorang anak muda yang bukan berbangsa Arab, malah bukan tergolong di kalangan manusia yang hidup dalam 300 kurun terbaik dengan Rasulullah s.a.w telah berjaya membebaskan kota yang sangat kebal pada usia yang sangat muda.

Inilah KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN umat-umat terdahulu terhadap janji Rasulullah s.a.w dan Allah s.w.t. Mereka mendapat motivasi yang tinggi daripada kata-kata Rasulullah s.a.w dan mereka pasti bahawa kemenangan akan memihak kepada Islam suatu hari nanti. Lalu, di manakah kedudukan kita pada hari ini?? Dalam Al-Quran terlalu banyak janji-janji Allah s.w.t kepada hamba-hambaNYA. Namun, adakah kita mendapat motivasi dari kalam Allah s.w.t Yang Maha Hebat?? Kita tidak perlukan kata-kata dari manusia untuk mencipta motivasi dalam diri andai tidak wujud sekelumit rasa "bermotivasi" dalam diri kita dengan Kata-kata Allah s.w.t. Tepuk dada, tanya iman.
Zainab al-Ghazali : Permata Dakwah Yang Berkilau Di Era Jatuhnya Islam
Kali ini saya mengambil peluang untuk memperkenalkan tokoh muslimat terbaik yang saya tahu dan kenal. Meskipun saya tidak pernah bertemu mata dengannya, tetapi perjuangan srikandi Islam ini memberi saya satu motivasi dan inspirasi yang sangat tinggi dalam perjuangan Islam. Mungkinkah era kebangkitan muslimah ini akan berkilau dan gemerlap semula?? Ayuh kita soroti tokoh muslimat pilihan : ZAINAB AL-GHAZALI

Zainab al-Ghazali bukanlah seperti wanita biasa. Seperti Aisha Abdul Rahman, beliau merupakan rakyat Mesir dan mempertahankan hak-hak wanita Islam berdasarkan apa yang diyakini beliau sebagai fahaman Islam yang betul. Beliau dilahirkan di Al-Bihira pada tahun 1917 di dalam keluarga yang terhormat, keturunan Umar al-Khattab dan al-Hasan bin Ali bin Abi Talib. Ayah beliau juga merupakan lulusan al-Azhar. Beliau lebih terkedepan sebagai pejuang dan aktivis Islam daripada seorang yang ulama’. Sewaktu mudanya, beliau aktif dalam pergerakan feminis, dan menyertai Kesatuan Wanita Mesir (Egyptian Feminist Union) yang diasaskan oleh Huda as-Syarawi pada tahun 1923. Beliau telah keluar daripada persatuan itu disebabkan tidak bersetuju dengan idea dan landasan perjuangan gerakan pembebasan wanita. Pada umur 18 tahun (1936), beliau mengasaskan Persatuan Wanita Islam untuk menguruskan hal-ehwal dan akitiviti-aktiviti wanita berlandaskan ajaran Islam dan tujuan ke arah Islam.

Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan al-Banna pada 1928 mempunyai perancangan untuk mengasaskan sayap wanita di dalam pertubuhannya. Hasan al-Banna telah meminta beliau untuk mengetuai bahagian wanita dalam Ikhwan Muslimin. Beliau dan persatuannya menolak tawaran ini tetapi menyatakan persetujuan untuk memberikan kerjasama. Setelah Ikhwan Muslimin dibubarkan pada tahun 1948, Zainab al-Ghazali telah berbaiah kepada Hasan al-Banna pada tahun 1949 untuk menyokongnya dan bersama memperjuangkan sebuah daulah Islam. Malangnya Hasan al-Banna telah gugur syahid tidak lama setelah itu. Kesedihan hati Zainab telah tercoret dalam bukunya yang masyhur, Hari-hari Dalam Hidupku. Beliau menyambung perjuangan dan mengotakan baiahnya kepada pemimpin Ikhwan Muslimin yang menggantikan Hasan al-Banna iaitu Hasan al-Hudhaibi. Beliau menyertai dan bersama dengan ahli Ikhwan Muslimin terutama apabila Ikhwan Muslimin diharamkan dan mereka terpaksa bergerak secara rahsia di bawah pemerintahan Jamal Abdul Naser sekitar tahun 1950-1960an.Dalam satu temuramah dirumahnya di Heliopolis, Mesir pada tahun 1981, Zainab al-Ghazali berkata:

“Islam telah menyediakan segala-galanya untuk lelaki dan perempuan. Islam memberikan wanita semuanya-kebebasan,hak ekonomi,hak politik,hak sosial, hak awam dan juga hak persendirian. Islam telah memberikan hak-hak wanita di dalam keluarga lebih daripada persatuan dan agama lain. Wanita boleh berkata tentang kebebasan wanita dalam masyarakat Kristian,Yahudi dan juga masyarakat pagan, tetapi dalam masyarakat Islam adalah satu kesilapan besar untuk berkata tentang kebebasan wanita. Wanita Muslim perlu mempelajari Islam supaya mereka tahu Islam telah memberikan mereka semua hak-hak mereka.”

Inilah intipati pemikiran Zainab al-Ghazali berkenaan dengan status wanita seperti yang selalu diluahkan dan disampaikan beliau dalam ceramah-ceramah beliau dan juga karya-karya beliau di dalam majalah al-Da’wa, dimana beliau merupakan editor sebuah ruangan untuk pembangunan rumah tangga Muslim yang sebenar. Perkara utama dalam perjuangan beliau adalah pentarbiyahan, iaitu untuk memberi kefahaman Islam di dalam pemikiran wanita, mendidik mereka tentang hak-hak dan tanggungjawab mereka dan mengubah masyarakat untuk membina sebuah daulah Islamiah yang berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Zainab al-Ghazali meyakini bahawa Islam membenarkan wanita untuk bergiat aktif dalam hal sosial, memegang jawatan, memasuki politik dan juga memberi pendapat. Beliau percaya Islam membenarkan wanita memiliki harta, menguruskan perniagaan dan apa sahaja yang mereka mahu dalam perkhidmatan masyarakat Islam. Beliau berpendapat tugas utama wanita Muslimah ialah menjadi ibu dan isteri. Oleh itu, tiada tanggungjawab lain yang boleh mengatasi tanggungjawab ini. Jika wanita itu mempunyai masa luang untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan setelah tugasnya sebagai ibu dan isteri telah dipenuhi, maka dia boleh berbuat demikian kerana Islam tidak melarang perbuatan tersebut.

Zainab al-Ghazali sangat meyakini tanggungjawab agama dan sosial apabila berkahwin. Pada perkahwinan beliau yang pertama, suami beliau tidak bersetuju untuk membenarkan beliau bergiat aktif dalam perjuangan Islam. Dengan sebab itu, beliau telah meminta cerai daripada suaminya kerana pra-syarat yang diletakkan oleh beliau sebelum berkahwin adalah membenarkan beliau memperjuangkan Islam. Suami beliau yang kedua memahami semangat dan gagasan perjuangan beliau dan melibatkan diri dalam penulisan untuk menyokong beliau dan sama sekali tidak menghalang beliau dari perjuangan. Didalam buku ‘Hari-hari dalam Hidupku’ (Ayyam min Hayati) beliau mengisahkan bagaimana suami beliau walaupun sangat bimbang akan diri beliau tetapi terus menerus menyokong perjuangan suci beliau. Zainab al-Ghazali juga menekankan beliau tidak akan mengabaikan tanggungjawab kepada suami dan keluarga beliau walaupun beliau Amirah sayap wanita Ikhwan Muslimin. Tanggungjawab beliau yang berat itu menyebabkan beliau perlu bekerja pada waktu yang panjang di pejabat beliau dan aktiviti bersama Ikhwan Muslimin. Setelah kematian suaminya yang kedua, beliau masih di dalam penjara. Beliau merasakan tanggungjawabnya terhadap perkahwinan telah selesai dan beliau bebas untuk mengorbankan seluruh masanya untuk perjuangan Islam.

Sebagaimana pejuang-pejuang Islam yang lain, beliau juga kecewa dengan revolusi Mesir 1952 yang didokong mereka pada mulanya dan akhirnya pejuang Islam telah dikhianati oleh Jamal Abdul Naser. Zainab al-Ghazali menyatakan bahawa rejim Jamal Abdul Naser adalah musuh kepada Islam. Setelah beberapa tokoh Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dihukum mati dan ramai dipenjara, beliau mendahului pergerakan untuk menolong isteri, janda dan keluarga pejuang yang telah dibunuh dan dipenjarakan. Walaupun dipenjara, beliau meningkatkan usaha tarbiyyah secara rahsia diketuai oleh pimpinan Ikhwan Muslimin. Dalam tahun 1962, beliau dapat berhubung dengan Sayyid Qutb melalui dua orang adik Sayyid Qutb dan menerima tulisan beliau berkenaan perjuangan Islam dan tafsir al-Quran dan hadith serta syariah Islam. Beliau juga menerima sebahagian dari buku yang dikarang oleh Sayyid Qutb dalam penjara yang kemudian diterbitkan dengan judul Ma’alim Fit-Tariq (Petunjuk Sepanjang Jalan).

Tulisan dan petunjuk daripada Sayyid Qutb di dalam penjara dan juga ayat-ayat al-Quran akan dipelajari dalam satu kumpulan terdiri daripada lima hingga sepuluh pemuda yang berjumpa pada waktu malam di rumah Zainab ataupun tempat lain. Perbincangan, pandangan dan pendapat diutarakan di dalam pertemuan tersebut. Dengan persetujuan Sayyid Qutb dan pimpinan Ikhwan Muslimin, keputusan untuk menjalankan program tarbiyyah selama 13 tahun sepertimana zaman Rasulullah saw di era Mekah. Apabila tempoh ini berakhir, maka studi dan kajian akan dibuat adakah sekurangnya 75% daripada rakyat Mesir sudah yakin dengan keperluan adanya daulah Islam dan membangunkannya. Jika ianya terjadi maka gerak kerja menubuhkan daulah Islam akan dilakukan dan jika belum lagi mencapai tahap tersebut, program pentarbiyahan akan dilakukan semula selama 13 tahun lagi sehingga sehingga rakyat bersedia untuk membina daulah Islam, menerima pakai undang-undang syariah Islam dan menegakkan hukum Islam berpandukan al-Quran dan Sunnah Rasulullah saw.

Apabila kerajaan Mesir berasa curiga dengan perkumpulan rahsia dan matlamat mereka ini, Ikhwan Muslimin diserbu pada tahun 1965. Ikhwah dan akhawat pergerakan Ikhwan Muslimin semuanya ditangkap dan dipenjarakan. Zainab al-Ghazali adalah salah seorang daripada mereka. Jemaah wanita Ikhwan Muslimin dibubarkan. Beliau dibicarakan bersama sahabiah yang lainnya pada tahun 1966 dan dihukum penjara seumur hidup dengan kerja berat. Satu hukuman yang tidak masuk akal bagi seorang wanita. Namun pada tahun 1971 beliau telah dibebaskan apabila kematian Jamal Abdul Nasir dan Anwar Sadat mengambil alih tampuk pemerintahan. Setelah itu, beliau terus sahaja meneruskan perjuangan beliau tanpa mengenal penat lelah dalam mendaulatkan Islam dibumi Mesir.

Beliau merupakan wanita yang terkemuka setelah jatuhnya khilafah Islamiah di Mesir. Beliau tidak mempunyai anak dan segalanya hidupnya diserahkan kepada perjuangan Islam. Beliau juga menjadi sanjungan dan pendorong kepada perjuangan wanita di seluruh dunia. Beliau dihormati oleh kawan dan lawan, malah disegani oleh tokoh-tokoh ulama’ kerana perjuangannya yang luar biasa.

Zainab al-Ghazali kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 3 Ogos 2005 di kala umur beliau 88 tahun. Ternyata umur yang panjang yang dianugerahkan Allah pada beliau telah digunakan tanpa sia-sia sedikitpun, semuanya dikorbankan demi menegakkan agama Allah yang mulia. Beliau terus menjadi idola dakwah kepada pejuang-pejuang Islam di seluruh dunia. Beliau juga menjadi bukti kukuh bahawa sebenarnya Islam mampu membina wanita yang berjuang untuk Islam. Sejarah hidup beliau persis hidup srikandi di teratak Rasulullah saw. Jadi tidaklah salah jika kita menggelarnya sebagai Ummul Mujahidah pada masa kini. Moga Allah mencucuri rahmat yang melimpah ruah kepada beliau dan menjadikan beliau di kalangan para siddiqin,amilin dan mujahidin.

Label: 0 ulasan | edit post
HEBATNYA AL-FATEH
Di sebalik kejayaan seorang anak muda menawan Kota Konstantinople pada tahun 1453 ketika usianya baru 22 tahun, berdiri di belakangnya insan-insan mulia dan hebat yang sentiasa mendidik dan memberi semangat kepadanya. Kisah kejayaan anak muda yang disembunyikan oleh sejarah ini wajar dikongsi bersama untuk tatapan umat Islam hari ini sebagai satu iktibar dalam menegakkan kembali Islam di muka bumi. Itulah dia SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH..




Antara faktor kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh adalah kerana penguasaan ilmu yang dimiliki oleh baginda. Kehebatan baginda menguasai 7 bahasa dalam usia yang sangat muda adalah sesuatu yang luar biasa jika dibandingkan dengan anak muda zaman sekarang. Tujuh bahasa tersebut adalah bahasa Arab,Latin, Greek, Serbia, Turki, Parsi dan Hebrew

Ilmu-ilmu lain yang dipelajari oleh baginda bukan sekadar dalam lingkungan bidang agama semata-mata bahkan penguasaan ilmu kemahiran seperti sains, matematik, falak, sejarah,  ilmu peperangan, geografi, dan astronomi adalah kunci kepada persoalan bagaimana baginda Al-Fateh berjaya meruntuhkan tembok kota yang paling kebal di dunia dan telah bertahan selama 1100 tahun sebelum berjaya ditawan.

"Rahsia para pahlawan mukmin sejati terletak pada tradisinya berguru dengan orang-orang yang terbaik yang hidup di zamannya."

Kehebatan Al-Fateh bukanlah lahir dari dirinya sendiri. Tetapi kehebatan baginda adalah kerana baginda berdamping dengan para murabbi yang terbaik ketika baginda masih muda.
Antara murabbi yang menjadi tulang belakang disebalik kejayaan Sultan Muhammad al-Fateh ialah:
  • SYEIKH AL-KURAINI
:: Nama sebenar beliau AS-SYEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL AL-KURAINI . Beliau terkenal dengan gelaran Abu Hanifah  di zamannya. Merupakan murabbi Al-Fatih di zaman ayahandanya, Sultan Murad II dan telah diberi kuasa oleh Sultan Murad II untuk memukul Al-Fateh jika  enggan mengikuti tunjuk ajar guru, yang mana sebelum ini Al-Fateh tidak mengendahkan ajaran guru-guru yang dihantar kepadanya kerana ketika itu usinya masih muda dan berada di zaman kanak-kanak.

*Peristiwa yang membawa perubahan kepada Al-Fateh(ketika baginda berusia 5 tahun):
:: Syeikh Al-Kuraini memberitahu Al-Fateh tentang keizinan yang diberikan oleh ayahandanya untuk memukulnya, tetapi diketawakan oleh Al-Fateh, lalu beliau memukul Al-Fateh dengan kuat. Al-Fateh tidak menerima hukuman tersebut bulat-bulat tanpa mengetahui apakah sebab di sebalik dia dipukul. Lantas, dengan penuh berhikmah, Syeikh al-Kuraini menyatakan sebabnya. Beliau ingin Al-Fatih merasai kesakitan sebagaimana yang di alami oleh rakyat-rakyatnya apabila dizalimi, kerana suatu hari nanti Al-Fatih akan menjadi Sultan menggantikan ayahandanya, Sultan Murad II. Maka dia perlu di asuh sebagai seorang pemimpin. Kesannya, Al-Fateh benar-benar berubah dan lebih serius dalam menuntut ilmu.

:: Tarbiah beliau berjaya mencorak peribadi Al-Fatih, corak pemerintahan dan adat resam Daulah Uthmaniyyah. Antaranya:
1)menegur jika sultan buat silap
2)memanggil sultan dengan nama
3)apabila bersalam dengan sultan, tangan beliau akan dicium oleh sultan.
  • SYEIKH AS-SYAMSUDDIN 
:: Nama sebenar : SYEIKH MUHAMMAD BIN HAMZAH AL-DIMASYQI AL-RUMI. Dikenali sebagai Sheikh Syamsuddin Al-Wali. Nasab beliau sampai kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq r.a.

:: Anak murid Syeikh Bayram, ulama di zaman Sultan Murad yang merupakan seorang pakar hadis. Juga seorang penasihat sultan ,menggantikan Syeikh Bayram selepas beliau meninggal dunia.

:: Beliau meletakkan inspirasi kepada Al-Fateh, memberikan baginda misi dan tujuan pemerintahan yang jelas dan bersama-sama baginda sehingga Kota Konstantinople berjaya ditawan.

:: Insan yang paling banyak memberikan tunjuk ajar dan semangat dalam kehidupan Al-Fateh.

:: Dikenali sebagai Penakluk Rohani Konstantinople.

:: Insan yang paling banyak memberikan tunjuk ajar dan semangat dalam kehidupan Al-Fateh.

: Beliau telah menyampaikan khutbah pertama di Masjid Aya Sofia setelah kejayaan menawan Kota Konstantinople.

:: Beliau disayangi oleh Al-Fateh. Baginda pernah berkata: “…sesungguhnya kamu semua melihat aku gembira sekali. Kegembiraanku ini bukanlah semata-mata kerana kejayaan kita menawan ini, akan tetapi ia adalah kerana hadirnya di sisiku Syeikhku yang mulia, dialah pendidikku, As-Syeikh Syamsuddin.

:: Menjadi rujukan semasa Al-Fateh ingin menawan Kota Konstantinople selepas berbulan-bulan berperang. Menurut firasat beliau:" Kota Konstantinople akan ditawan pada hari ke-53, hari Selasa, pukul 11.00 pagi..”

Selain 2 tokoh besar di atas terdapat juga guru-guru lain yang telah mendidik dan memberikan tarbiah kepada Sultan Muhammad al-Fateh. Mereka ialah:
  • SYEIKH BAYRAM
:: Beliau merupakan ulama dan penasihat sultan di zaman Sultan Murad II dan pernah juga menjadi penasihat  kepada Al-Fateh semasa Sultan Murad beruzlah ke Pulau Magnesia. Seorang pakar hadis dan merupakan guru tahfiz bagi Sultan Muhammad Al-Fateh.

  • PANGLIMA THARHAN
:: Beliau adalah Adinda kepada Sultan Murad II. Beliaulah yang paling berjasa besar dalam mendidik sultan Muhammad Al-Fateh dengan ilmu kepahlawanan dan peperangan seperti menunggang kuda dan menggunakan senjata semenjak Al-Fateh masih kecil.

Inilah antara insan yang banyak berjasa dalam menyumbang kejayaan menawan Kota Konstantinople. Tanpa mereka, mana mungkin lahirnya orang yang hebat seperti Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebagaimana hari ini kita melihat para pimpinan dunia sama ada kerajaan atau bukan kerajaan, mereka tidak akan sampai ke tahap setinggi seorang pemimpin dunia andaikata tanpa tunjuk ajar seorang GURU.

Contoh terbaik seperti Sultan Muhammad Al-Fateh inilah yang mendorong saya dan sahabat-sahabat untuk mencari guru-guru terbaik seperti Syeikh Syamsuddin Al-Wali, Syeikh al-Kuraini, Syeikh Bayram dan Panglima Tharhan di samping ingin menguasai pelbagai bidang ilmu dalam mencapai matlamat ke PUTRAJAYA.

Firman Allah s.w.t :
 
"......maka bertanyalah kamu kepada "AhluzZikri” jika kamu tidak mengetahui."(Al-Anbiya':7)


Label: 0 ulasan | edit post
WAJAH BARU
8 NOVEMBER 2009

Alhamdulillah..

Tiada ungkapan yang mampu di ungkapkan saat ini melainkan syukran ila Allah..

Setelah sekian lama mencari punca kenapa blogku bermasalah..asyik problem je setting blog..dah tukar template pun masih muncul masalah yang sama..akhirnya jalan penyelesaian di ambil untuk menukar URL blogku..masih mengekalkan nama yang sama MUJADDID REVOLUSI MUSLIMAH dan misi serta visi yang sama.

Adus..aku ni bukan suka sangat tukar-tukar..akan menyusahkan diri dan menyusahkan orang lain..Mohon maaf kepada sahabat-sahabat atas masalah teknikal yang berlaku..xmampu dielakkan.

Mungkin aku terlalu mencari kesempurnaan dalam menghasilkan blog yang menarik walaupun hasil tulisanku tidaklah semantap sahabat-sahabatku yang lain..Kalau di ikut dalam perkiraan, ini adalah blog ketiga yang aku hasilkan.Tapi xpelah,pemilihan wajah baru untuk blogku ni sebenarnya sebagai penaik semangatku semula untuk lebih berusaha dalam bidang penulisan ini. Temanya warna merah..memang pembangkit semangat la ye!! Teringat bait lagu Jalur Gemilang:

"MERAHMU BARA SEMANGAT WAJA..."

Harapnya lepas-lepas ni aku mampu menghasilkan penulisan yang lebih baik dari blog sebelum ni.MUSLIMAT POWER!!