A NICE STORY FOR MOTIVATION
18 NOVEMBER 2009

KISAH SAIDINA ALI DAN PENGEMIS

Siti Fatimah, isteri Saidina Ali telah didatangi seorang peminta sedekah. Ketika itu Saidina Ali mempunyai 50 dirham. Setelah menerima wang, pengemis itu pun balik. Di tengah jalan, Saidina Ali bertanya berapa banyak yang diberi oleh Saidatina Fatimah. Apabila diberitahu 25 dirham, Saidina Ali menyuruh pengemis itu pergi sekali lagi ke rumahnya.

Pengemis itu pun pergi dan Fatimah memberikan baki 25 dirham kepada pengemis itu. Selang beberapa hari, datang seorang hamba Allah berjumpa Saidina Ali dengan membawa seekor unta. Orang itu mengadu bahawa dia dalam kesusahan dan ingin menjualkan untanya. Saidina Ali tanpa berlengah menyatakan kesanggupan untuk membelinya, meskipun ketika itu dia tidak berwang.

Dia berjanji akan membayar harga unta itu dalam masa beberapa hari. Dalam perjalanan pulang, Saidina Ali berjumpa dengan seorang lelaki yang ingin membeli unta itu dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal.

Saidina Ali pun menjualkan unta itu kepada orang itu. Setelah mendapat wang, Saidina Ali pun menjelaskan hutangnya kepada penjual unta. Beberapa hari kemudian, Rasulullah s.a.w berjumpa Saidina Ali lalu bertanya:

"Ya Ali, tahukah kamu siapakah yang menjual dan membeli unta itu?"

Apabila Saidina Ali mengatakan tidak tahu, Nabi menerangkan yang menjual itu ialah Jibril dan yang membelinya ialah Mikail.

MORAL & IKTIBAR


  • Allah membalas atau memberi ganjaran berlipat ganda jika kita menolong orang yang dalam kesusahan. Memberikan bantuan kepada orang yang susah merupakan satu aset yang balasannya akan diterima di dunia lagi.


  • Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan.


  • Keyakinan kepada balasan baik Allah merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak

Apabila bercakap tentang motivasi, ia merupakan satu kuasa yang dapat meningkatkan kekuatan dan keyakinan diri kita untuk melakukan sesuatu. Sirah Rasulullah s.a.w telah melakarkan bahawa baginda selalu memberikan motivasi kepada para sahabat dalam mengabdikan diri kepada Allah s.w.t dan menyebarkan dakwah Islamiah kepada masyarakat.

Satu perkara yang terkesan kepada diri saya adalah mengenai hadis Rasulullah s.a.w tentang pembukaan Kota Konstantinople yang akan dibebaskan oleh umat Islam yang merupakan sebaik-baik raja dan memiliki sebaik-baik tentera. Satu perkara yang amat mustahil pada pemikiran para sahabat kerana Islam pada ketika itu umat Islam bukanlah dikalangan umat yang paling kuat untuk membebaskan kota yang paling kebal. Satu janji yang dilihat keterlaluan ketika itu.

Tetapi, beginilah cara Rasulullah s.a.w memotivasikan para sahabat!! Meskipun tidak diketahui bilakah masanya Kota Konstantinople akan dibebaskan, namun kita dapat saksikan dalam nukilan sejarah bahawa selama 800 tahun usaha yang dilakukan oleh umat Islam untuk merealisasikan janji Rasulullah s.a.w dalam hadis tersebut. Pelbagai usaha dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Islam bermula pada zaman sahabat, sehingga para tabi' dan tabi'in dan akhirnya tanggal 29 Mei 1453, seorang anak muda yang bukan berbangsa Arab, malah bukan tergolong di kalangan manusia yang hidup dalam 300 kurun terbaik dengan Rasulullah s.a.w telah berjaya membebaskan kota yang sangat kebal pada usia yang sangat muda.

Inilah KEPERCAYAAN DAN KEYAKINAN umat-umat terdahulu terhadap janji Rasulullah s.a.w dan Allah s.w.t. Mereka mendapat motivasi yang tinggi daripada kata-kata Rasulullah s.a.w dan mereka pasti bahawa kemenangan akan memihak kepada Islam suatu hari nanti. Lalu, di manakah kedudukan kita pada hari ini?? Dalam Al-Quran terlalu banyak janji-janji Allah s.w.t kepada hamba-hambaNYA. Namun, adakah kita mendapat motivasi dari kalam Allah s.w.t Yang Maha Hebat?? Kita tidak perlukan kata-kata dari manusia untuk mencipta motivasi dalam diri andai tidak wujud sekelumit rasa "bermotivasi" dalam diri kita dengan Kata-kata Allah s.w.t. Tepuk dada, tanya iman.
0 Responses

Catat Ulasan