Hukum Lupa Hafazan Al-Quran
20 November 2009

Hari ni genap seminggu saya bercuti di rumah. Cuti masih berbaki lagi 2 minggu. Sepanjang seminggu yang lepas, macam mana dengan masa cuti? Adakah saya menghabiskan masa saya dengan perkara-perkara berfaedah? Selain dari tolong ummi dan ayah dengan menjadi suri rumah sepenuh masa, macam mana saya menjaga hafazan Al-Quran?? Subhanallah, Maha Suci Allah kerana DIA masih memberi peluang kepada saya untuk muhasabah kembali sejauh mana saya menjaga hafazan Al-Quran yang telah sekian lama saya hafaz.

Beberapa hari sebelum ini, semasa saya sedang menyiapkan tugasan, saya terjumpa satu artikel dalam 'pendrive' saya yang telah sekian lama bersarang. Niat di hati tujuan saya 'save' dari internet, sebab nak membaca dan dijadikan peringatan. Tapi manusia sememangnya tak lari dari sifat pelupa, jadi tergolonglah saya di kalangan orang yang pelupa itu kerana tidak membacanya dengan sebaiknya. Artikel tersebut bertajuk "Hukum Lupa Hafazan Al-Quran" tulisan Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.

Sebenarnya artikel itu berkisarkan persoalan seorang hamba Allah mengenai hukum apabila ayat-ayat Al-Quran yang dihafaz semasa zaman kana-kanak, terlupa apabila dewasa. Persoalannya juga mengenai adakah berdosa kerana tidak mengulang bacaan ayat-ayat tersebut sehingga menyebabkan kita lupa.

Maka, ustaz Zaharuddin pun menjawab sedemikian:

Asas hukum di dalam isu ini adalah hadith-hadith berikut :-
قال  رسول الله صلى الله عليه وسلم : ما من امرئ يقرأ القرآن ثم ينساه إلا لقي الله عز وجل أجذم
Ertinya : "Tiada siapa pun yang membaca Al-Quran kemudian melupakannya kecuali ia akan bertemu Allah SWT di hari kiamat dalam keadaan kerdil"
( Riwayat Abu Daud ; Al-Munziri mengatakan ada perawinya Yazid Bin Abi Ziyad, hadithnya tidak dijadikan hujjah; Dhoif menurut Albani ; no 1474, hm 176)

Abu Ubayd menyebut : "Ajzam" di dalam hadith di atas bermaksud terpotong tangan, manakala Ibn Qutaybah pula menyebut ianya bermakna kerdil.
( Ma'alim as-Sunan, AL-Khattabi, 1/253 ; Awnul Ma'bud, Ibn Qoyyim)

Terdapat ulama yang menjadikan hadith di atas sebagai hujjah dalam isu melupakan hafazan al-Quran. Disebut huraian "yaqra" di atas merangkumi maksud membaca dengan melihat, membaca secara hafaz dan membaca makna Al-Quran kemudian meninggalkan pembacaannya secara lupa atau sengaja. Bagaimanapun hadith di atas telah dihukum sebagai dhoif.

Antara hadith lain adalah :

عرضت عليّ ذنوب أمتي فلم أر ذنباً أعظم من سورة من القرآن - أو أية -  أوتيها رجل ثمّ نسيها

Ertinya : " Dibentangkan kepadaku dosa-dosa umatku dan tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari satu surah dari Al-Quran atau satu ayat ,yang diberikan kepada seorang lelaki kemudian ia melupakannya"
( Riwayat At-Tirmidzi, bab Fadhail Quran dari Rasulullah SAW, no 2840 ; At-Tirmidzi : Gharib; Al-Munziri : Dhoif kerana perawi bernama Abd Majid Bin Abd Aziz ; rujuk Tuhfatul Ahwazi)

Para ulama salaf berbeza pandangan dalam bab melupakan ayat Al-Quran, sebahagian mereka menjadikannya sebagai dosa besar, antaranya Ulama Syafie seperti Syeikh Ar-Ruyani, Al-Qurtubi dan lain-lainnya yang mengatakan melalaikan pembacaanya adalah penyebab kepada lupa ayatnya, lupa ini menunjukkan tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap Al-Quran. Malah di sebut dalam sebuah riwayat Mawquf :

 ما من أحد تعلم القرآن ثم نسيه إلا بذنب أحدثه , لأن الله يقول : وما أصابكم من مصيبة فبما كسبت أيديكم

Ertinya : Tiada seorang pun yang mempelajari Quran kemudian melupakannya kecuali ditimpa dosa, kerana Allah berfirman : " Tiadalah musibah yang menimpa kamu kecuali dengan sebab tangan-tangan kamu sendiri" " .Mereka menambah : tiada musibah yang lebih besar dari melupakan al-Quran.

Sebuah lagi sambungan hadith di atas tetapi bertaraf mursal menurtu Al-Hafidz Ibn Hajar Al-Asqolani;
Ertinya : "..tidak aku nampak dosa yang lebih besar dari dosa penghafaz al-Quran kemudian meninggalkannya"
(Dikeluarkan oleh Ibn Abi Daud ; Rujuk Fath Al-Bari)

Imam Al-Qurtubi pula berpendapat bahawa sesiapa yang menghafaz Al-Quran maka telah tinggi darjatnya sekadar mana yang ia hafaz, apabila rosak kedudukan ini kerana lupa maka ia akan membawa kepada jahil, maka jahil selepas berilmu adalah amat buruk.
( Rujuk Fath al-Bari, bab : Kelebihan Al-Quran, no 4650)

Bagaimanapun, sebahagian ulama salaf pula pula menghuraikan maksud lupa di sini adalah melupakannya dengan meninggalkan beramal dengan ayat itu. Ini kerana amaran jikalau lupa ini hanya tertakluk kepada lupakan hafazan al-Quran maka akan berkatalah seseorang , bahawa LEBIH BAIK TIDAK PERLU MENGAHAFAZ TERUS. Maka ia bertentangan dengan objektif Syariah.

Kesimpulannya : Apapun tafsiran dan kekuatan dan kelemahan rawi hadith, sememangnya menjadi kewajiban bagi menjaga hafazan Al-Quran demi mengekalkan ketinggian maqam di sisi Allah s.w.t, juga amat wajib bagi yang telah mempelajari ilmu-ilmu dari Al-Quran dan memahaminya kemudian melupakannya. Justeru, amat perlu bagi kita umat Islam mengingati hafazan dan ilmu dari al-Quran untuk di baca dan di amal. Wallahu ‘alam.


Demikian jawapan yang telah diberikan oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman mengenai hukum lupa hafazan Al-Quran. Bagi sahabat-sahabat saya yang pernah menghafaz Al-Quran, tak kira pernah menghafaz walau satu juzu' apatah lagi yang telah khatam hafazan 30 juzu',  kita semua sedia maklum bahawa melupakan hafazan Al-Quran adalah satu dosa besar bagi kita yang menghafaznya. Bahkan sebelum kita mengambil keputusan menceburi bidang hafazan Al-Quran, kita juga sudah maklum bukan sahaja kelebihannya, tetapi risikonya sekira kita melupakan.

Ramai orang suka menyebut perkataan "hafal" Al-Quran berbanding "hafaz" Al-Quran. Sedangkan yang lebih tepat sebutannya adalah "hafaz" yang berasal dari perkataan bahasa Arab "ha-fa-zho" bermaksud "menjaga". Bukan sahaja kita menjaga kalam Allah s.w.t. yang kita ingat untuk diri kita semata-mata, bahkan kita saling menjaga antara sahabat-sahabat yang se'jalan' dengan kita. Menjaga di sini saya ertikan sebagai mentadabbur dan menghayati isi kandungan Al-Quran seterusnya dipraktikkan dalam kehidupan. Bukan mudah untuk mengambil tanggungjawab berat ini kerana tidak semua manusia mempunyai kekuatan yang sama untuk menjaga Kalamullah. Saya juga merasai situasi ini apatah lagi memiliki adik-beradik di rumah yang sama-sama se'jalan' dengan saya. Kami sama-sama memikul amanah dan tanggungjawab yang berat ini. Jika bukan kami yang menjaga, siapa lagi yang nak tolong jagakan??

Saya 'post'kan artikel ini sebagai peringatan kembali buat diri saya dan sahabat-sahabat saya dari MMP, IMTIAZ dan DQ Jakim. Kita pernah bersama-sama bermujahadah di Taman Al-Quran, dan janganlah kita sia-siakan mujahadah kita selama bertahun-tahun (walaupun tak sampai 10 tahun) dengan meninggalkan hafazan Al-Quran tanpa rasa tanggungjawab. Bukan sahaja kita ingat ayat-ayat Al-Quran, malah masa inilah peluang untuk kita mentadabbur ayat Al-Quran yang dihafaz dan praktikkan di posisi kita berada sekarang.  Bagi yang baru nak menceburi bidang hafazan, teruskan niat dan semangat anda. Jangan lemah semangat dengan risiko yang bakal ditempuhi. Sesungguhnya Allah s.w.t tahu kemampuan hamba-hambaNYA.

Mohon kemaafan andai posting saya kali ini banyak kelemahan. Seandainya ada kesilapan pada posting kali ini, harap ada yang sudi menegur. Salam Mujahadah!!!
2 Responses

  1. HAMBA ALLAH Says:

    Assalamualaikum,saya nak tanya.Selalunya kita kalau nak menghafaz al-quran kita kena,hafaz dengan betul dan mempunyai niat yang betul.Ttp di sekolah,sekolah menengah biasa wajib menghafaz ayat al-quran sprti surah luqman:ayat 12-19,surah al-mukminin:ayat 1-11, dan surah al-hasyr:ayat 21-24.Surah itu sukar untuk saya hafaz kerana terlalu panjang dan saya x selalu mengamalkan kerana sejujurnya saya tidak ada niat untuk menghafaz surah-surah ini lagi tetapi kami mesti menghafaz surah2 tersebut.Walaupun dipaksa,dan saya masih x ada niat untuk menghafaznya,adakah saya akan mendapat dosa besar??? Saya harap saudari/saudara dapat membalas soalan saya agar saya tidak berasa bersalah dengan kesillapan dan memperbetulkan kesilapan.Assalamualaikum :)


Catat Ulasan