AKHIRNYA AKU BEBAS
2 MAC 2010

Alhamdulillah setelah seminggu bergelumang dengan suhu badan yang sekejap panas dan sekejap sejuk, dan beberapa kali bermain dengan jarum injection dari Fever Centre Hospital Selayang, akhirnya malam tadi saya disahkan bebas dari  wabak yang boleh membawa maut..DENGGI. Gejala yang saya alami tidaklah seteruk mangsa denggi yang lain sehingga berlaku pendarahan tetapi kandungan platlet dalam badan saya semakin berkurang dari sehari ke sehari dan perkara ini agak merisaukan saya kerana saya teringat kembali kepada satu peristiwa yang berlaku kepada junior saya semasa di Sek. Men Imtiaz Dungun dulu. Pendarahan yang berlaku kepada si 'adik' ini yang pada awalnya disangka diserang denggi bertukar kepada penyakit lain yang lebih berbahaya. Alhamdulillah Allah s.w.t akhirnya mengembalikan semula kesihatan si 'adik' ini setelah berbulan-bulan cuti dan mendapat rawatan.

Bukan peristiwa tersebut saja yang berlegar-legar dalam kepala saya semasa sedang sakit, bahkan peristiwa yang pernah di alami oleh ummi kesayangan saya semasa mengandungkan anak ke-10. Ummi diserang demam panas-sejuk sebagaimana yang saya alami selama hampir lebih kurang 2 minggu tanpa diketahui puncanya. Ketika itu musim denggi yang teruk sedang menular di negara kita dan tentulah menjadi satu kerisauan yang amat membimbangkan bagi seorang ibu yang mengandung. Setelah hampir seminggu ditahan wad, barulah dapat dikenalpasti ummi mengalami demam kepialu yang merupakan wabak yang dikategorikan bahaya juga. Alhamdulillah setelah mendapat rawatan yang sewajarnya, ummi dan bayi dalam kandungannya kembali sihat.

Saya bernasib baik kerana tidak mengalami simptom-simptom yang teruk sepanjang demam dan tidak perlu ber'kampung' dalam wad.(walaupun pernah ditahan selama 2jam..). Terima kasih kepada pakcik dan makcik saya yang banyak membantu saya. Tak lupa juga buat k.cik Elly tersayang dan adik beradik yang lain yang banyak membantu memberikan sokongan moral.

Saya menyedari bahawa sepanjang semester ini, saya kerap mengalami masalah kesihatan yang sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran saya kerana terpaksa 'absent' dari kelas. Lagi beberapa minggu saya bakal menghadapi final exam untuk semester pertama kuliah saya. Memikirkan beberapa subjek yang saya agak ketinggalan dan beberapa assignment yang masih belum selesai cukup menggusarkan saya. Namun saya menganggap segala ujian kesakitan yang Allah berikan kepada saya sebagai satu kaffarah atas dosa-dosa saya selama ini. Saya mengharapkan dengan ujian yang saya hadapi ini, akan lebih mematangkan diri saya menghadapi cabaran hidup sebagai hamba Allah, seorang pelajar dan anak di bumi ini.

Entri kali ini mungkin agak membosankan sebab saya sekadar berkongsi pengalaman hidup. Cumanya nasihat saya bagi sahabat-sahabat yang mengalami demam, jangan dipandang remeh dengan demam tersebut kerana mungkin natijah yang mendatang lebih teruk, siapa yang tahu?? Apa-apa pun, setiap ujian yang Allah berikan kepada kita anggaplah ia sebagai satu kaffarah atas dosa-dosa yang pernah kita lakukan dan ada hikmah tersendiri yang hanya Allah lebih mengetahui.
0 Responses

Catat Ulasan