Renungan Hari Ini
Sebuah kisah sebagai renungan:

Lelaki bertongkat leka menikmati sarapan sempena mesyuarat agung sebuah syarikat di Kuala Lumpur. Mulutnya ramah menegur orang di sekeliling . "Kita baru sampai pagi tadi, mandi pun belum," katanya dalam loghat Utara.

Dia duduk di satu sudut dan mulutnya sama laju bercakap dan makan. Katanya, datang mesyuarat sekali setahun kena keluar sendiri duit tambang."Sarapan, syarikat dah tanggung. Kalau ada makanan lebih kita bawa balik," katanya sambail berseloroh. Mungkin sikapnya yang peramah, lelaki itu terus berceloteh walaupun orang di sekelilingnya baru dikenali hari itu.

"Anak saya ramai kerja kat KL. Kata orang tak susah nak cari tempat tidur. Tapi hari ini saya tak tidur rumah anak kerana datang sekejap aje, tak sempat buat giliran. Untuk tidak mengecilkan hati anak dan elak berlaku tidak adil, saya akan sewa bilik murah dan ajak anak menemui saya di satu tempat untuk makan-makan. 

"Kita dah pencen mana mampu belanja anak di restoran besar, jadi kita cari tempat makan yang sesuai dengan bajetlah," katanya.

" Biasalah sekali sekala jumpa, anak akan hulur duit sebelum pulang. Saya tolak balik duit itu bukan tak nak tapi rasa kecil hati kerana cara anak menghulurkan duit itu seolah-olah kita ni mengemis. Simpanlah duit tu, abah bukan datang sini nak minta sedekah..tapi kalau mahu bagi juga, masuklah saja dalam akaun abah," katanya berkias.

Kata-kata lelaki itu bagaikan tamparan kepada anak yang menyedari perasaan kecil hati seorang ayah terhadap anak yang dididik dan dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Sejak pertemuan itu, si lelaki bertongkat itu hanya perlu memeriksa akaun setiap awal bulan untuk melihat sumbangan yang diberikan anak.

-TAMAT-

Kisah ini saya petik dari satu keratan akhbar yang boleh dijadikan renungan bersama terutamanya kepada anak-anak muda zaman sekarang. Kita lihat, tindakan lelaki tua bertongkat dalam kisah di atas adalah satu didikan secara tidak langsung kepada anak-anaknya tentang peranan mereka terhadap ibu bapa. Fenomena dalam kisah di atas bukanlah lakonan atau rekaan semata-mata, tetapi itulah realiti yang berlaku dalam dunia hari ini.

Anak-anak terutama yang lelaki perlu tahu tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa walaupun sudah berumahtangga. Perkahwinan dalam erti kata yang sebenar bukan sahaja berkahwin dengan pasangan masing-masing, malahan berkahwin dengan keluarga pasangan. Si isteri jika si suami ingin berbakti kepada ibu bapanya, janganlah dihalang kerana syurga seorang lelaki terletak di bawah tapak kaki ibunya. Manakala si suami pula, jika si isteri ingin berbakti kepada ibu bapanya janganlah juga dihalang meskipun redha seorang isteri terletak pada suaminya kerana anak dan menantu yang baik dan soleh ialah mereka yang berbakti kepada orang tua mereka samada ibu bapa kandung atau ibu bapa mertua dalam masa yang sama tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap suami atau isteri dan anak-anak.

Perkongsian ini sekadar renungan bersama buat para suami dan isteri, juga bakal-bakal suami dan isteri, tidak terlepas juga anak-anak muda yang masih bujang kerana kita menyaksikan banyak kepincangan yang berlaku dalam institusi keluarga pada hari ini. Perlu diingat, apa yang kita lakukan pada hari ini kepada ibu bapa, itulah yang akan dilakukan oleh generasi anak-anak kita apabila kita sudah tua nanti. What you give, you get back!!
Label: edit post
0 Responses

Catat Ulasan