3 Februari 2011/ 29 Safar 1432
Firman Allah s.w.t:
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada akibat perbuatan mereka agar mereka kembali ke jalan yang benar"
(Ar-Rum: 41)
TUNISIA
Pergolakan yang tercetus di negara ini bukanlah yang pertama berlaku di dunia bahkan adalah rentetan dari peristiwa di beberapa negara Arab sebelum-sebelum ini. Pergolakan di Iraq sehingga jatuhnya pemerintahan Saddam Hussin, gerakan Intifadhah di Palestin melawan cubaan penaklukan Palestin oleh Israel laknatullah yang sehingga hari ini tiada penghujungnya, ternyata pemerintahan kuku besi Tunisia di bawah Presiden Zine El-Abidine El-Ali tidak berjaya dipertahankan apabila rakyat negara itu bangkit bertindak menggulingkan pemerintahan diktator tersebut.
Presiden Zine El-Abidine El-Ali- sekutu USA
Mesir
Hanya beberapa minggu berlaku isu Tunisia, Mesir menggemparkan dunia dengan kejadian yang sama seperti Tunisia. Kebangkitan rakyat Tunisia rupa-rupanya menjadi pemangkin semangat kepada umat Islam Mesir untuk menjatuhkan pemerintahan kuku besi Husni Mubarak. Sehingga hari ini dan saat ini, pergolakan masih belum berhenti. Rakyat Malaysia turut terkesan dengan keadaan Mesir jika di bandingkan di Tunisia kerana di sana terdapat hampir 11 ribu rakyat Malaysia yang menuntut ilmu. Dan semalam menyaksikan perhimpunan besar-besaran di Wisma Putra, Putrajaya bagi mendesak kerajaan Malaysia menghantar bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia di sana.
Husni Mubarak-pemerintah kuku besi
Medan Tahrir tempat perhimpunan besar-besaran rakyat Mesir
Malaysia
Negara yang terkenal dengan aman dan damai ini pula sebenarnya tidak terlepas dari isu-isu yang tak pernah sunyi dari kontroversi. Umpamanya, selepas Pilihanraya Kecil Tenang, dan kemenangan memihak kepada Parti Barisan Nasional dengan majoriti 3 ribu lebih, ternyata tidak mampu memberi ketenangan kepada rakyat Malaysia. Sehari selepas kemenangan mereka, rakyat dikejutkan dengan kenaikan harga minyak ron97 sebanyak 10 sen. Sudahlah isu Pilihanraya Kecil Tenang, dan banjir yang semakin meruncing di Johor masih belum reda, kerajaan Malaysia membuka satu lagi isu yang bakal membawa kemarahan rakyat Malaysia. Adakah Malaysia bakal menyusul Tunisia dan Mesir?? Adakah rakyat kita ada kesedaran tersebut??
Pada pandangan saya, tidak mustahil rakyat Malaysia bakal menjejak langkah rakyat Tunisia dan Mesir jika pihak kerajaan terus-menerus menyusahkan rakyat dan mengenyangkan perut 'orang-orang' mereka. Slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" hanya sekadar menjadi slogan syok sendiri mereka. Realiti yang berlaku adalah sebaiknya.
*****
Isu pelajar-pelajar Malaysia yang berada di Mesir masih menjadi tajuk perbualan di laman-laman internet. Dapat dilihat bahawa pelajar-pelajar tajaan didahulukan jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar persendirian lebih-lebih lagi pelajar jurusan agama. Pro dan kontra isu ini dibincangkan dan tidak dinafikan Kerajaan Malaysia sedang berusaha sebaik mungkin untuk membantu pelajar-pelajar Malaysia di Mesir. Namun masih ada segelintir pihak yang mempolitikkan isu ini. Antara petikan blog yang saya dapat :
"Majoriti pelajar-pelajar Malaysia yang ada di Mesir adalah penyokong-penyokong Pas. Disana boleh dikatakan kilang untuk melahirkan pemimpin-pemimpin Pas.
Oleh yang demikian saya mencadangkan kepada Kerajaan BN , jika hendak hantar pesawat untuk angkut mereka pulang, pastikan beri keutamaan kepada pelajar-pelajar yang menyokong Umno dan BN terlebih dahulu. Jangan pedulikan mereka-mereka yang menyokong Pas. Biarkan mereka melalak-lalak, utamakan orang kita terlebih dahulu.
Orang-orang seperti mereka tidak perlu diutamakan untuk diberi pertolongan. Waktu mereka susah baru mereka ingat nak minta tolong kerajaan. Waktu senang merekalah yang menjadi barua-barua menghentam kerajaan.
Selama ini mereka-merekalah yang sering menghentam Kerajaan BN kononnya zalim, rasuah dan sebagainya sedangkan dalam masa yang sama mereka menikmati pelbagai kemudahan untuk pergi belajar disana."
Dalam saat-saat genting begini masih wujud golongan manusia sebegini yang mementingkan diri. Adakah benar mereka takut kepulangan pelajar-pelajar Malaysia yang digelar pro-pembangkang bakal mengubah politik Malaysia menjelang PRU-13 tidak lama lagi??
Menggeleng kepala saya melihat situasi ini. Sesama umat Islam sendiri berpecah-belah membandingkan sumbangan masing-masing kepada masyarakat. Tanpa kita sedar, syaitan-syaitan Yahudi sedang bertepuk tangan kerana berjaya memecah-belahkan orang-orang Islam.
Namun begitu, dalam pada isu-isu di atas berlaku, wujud juga golongan 'katak di bawah tempurung' yang langsung tidak tahu-menahu mengenai apa yang sedang berlaku kepada dunia hari ini. Lebih menyedihkan bilamana golongan ini adalah terdiri daripada mahasiswa bijak pandai universiti. Sedarlah wahai anak muda! Bangun dari tidurmu! Sama-sama bertindak !
****
Mungkin sedikit perkongsian dari saya sekadar sebagai ulasan terhadap krisis dunia yang berlaku hari ini. Kiamat kian menghampiri kita semua, lalu di manakah persediaan kita semua untuk menghadapinya?? Sebagaimana dalam firman Allah s.w.t yang saya titipkan di awal penulisan bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi adalah berpunca dari tangan manusia itu sendiri, dan apa yang berlaku hari ini itulah buktinya. Pertumpahan darah, peperangan-semuanya tercetus dari manusia itu sendiri. Tirai 2011 masih baru di angkat, pejam celik 2012 bakal menyusul. Adakah ada agenda tersembunyi di sebalik semua yang berlaku..?? Mari kita sama-sama singkap...
Catat Ulasan